Isnin, April 04, 2011

Utusan Malaysia : Konvensyen Mahasiswa Sains Kesihatan di UKM


BERSATU Menerajui Profesion Kesihatan merupakan moto Konvensyen Mahasiswa Sains Kesihatan yang julung kali diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi baru-baru ini.

Konvensyen itu menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan sesama mahasiswa sains kesihatan seluruh Malaysia dan seterusnya menjadi medium untuk meningkatkan kualiti mahasiswa dalam memacu ke arah global.

Program itu dianjurkan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (PMFSKB) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Persatuan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (PMUSM).

Seramai 258 mahasiswa dari UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Program dimulakan dengan ceramah bertajuk Pemanasan Global dan Kesannya kepada Kesihatan yang disampaikan Ketua Jaringan Perhubungan Antarabangsa, FSKB, Profesor Madya Dr. Hidayatulfathi Othman.

Slot itu menerapkan kesedaran mahasiswa sains kesihatan untuk sentiasa cakna akan isu-isu kesihatan semasa di peringkat nasional dan global.

Forum kedua pula membicarakan Ke Mana Hala Tuju Kita kendalian UIAM yang membincangkan prospek mahasiswa sains kesihatan secara holistik. Perbincangan ilmiah ini menghuraikan perkhidmatan dan sumbangan yang boleh diberikan kepada rakyat dan negara.

Kemudian, ia diikuti dengan slot Interaksi Mahasiswa di bawah kelolaan USM. Slot ini ialah sesi suai kenal bagi mengukuhkan hubungan persahabatan antara mahasiswa sains kesihatan Se-Malaysia.

Pada sebelah malam pula, forum bertajuk Uniknya Mahasiswa Sains Kesihatan membicarakan keistimewaan mahasiswa sains kesihatan di dalam universiti masing-masing



Sumber : Utusan Malaysia