PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Khamis, April 28, 2011

Motivasi & Solat Hajat

MPP Idrul memberi sedikit kata-kata motivasi sambil diperhatikan oleh Dr. Wan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji-pujian bagi Allah sekalian Alam yang memberi taufiq dan hidayahnya kepada kita semua. Sekali lagi MPP Idrul turun ke KTSN bersua muka bersama-sama pelajar-pelajar Tahun 2 yang bakal menduduki peperiksaan ulangan bermula 2 Mei 2011.

Sedikit kata-kata perangsang dari MPP Idrul ditambahkan lagi dengan pengalaman serta kata-kata motivasi dari mantan MPP Fakulti Perubatan yang sudah bergelar doktor iaitu saudara Wan Nuruddin Shah Wan Johan.

Dr. Wan memberikan sedikit kata-kata perangsang kepada adik-adik

Kata Dr Wan " Abang, Idrul dan senior-senior lain pasti tidak menginginkan adik-adik sekalian tertinggal di Tahun 2 lagi, kami harapkan 78 orang dikalangan kalian semuanya akan sama-sama melayakkan diri ke Tahun 3 tahun klinikal."

Sesi motivasi dan solat hajat ini bermula dari solat berjemaah maghrib bersama-sama di Surau D, kemudian diteruskan dengan motivasi oleh saudara Wan Nuruddin. Kemudian program diteruskan lagi dengan solat isya dan solat hajat secara berjemaah. Selepas itu, beberapa kumpulan kecil dibentuk dan diketuai oleh abang-abang dan kakak-kakak dari KTDI untuk sesi luahan rasa dan bantuan kepada adik-adik secara lebih mendalam.

Sebahgian senior yang membantu dalam slot kumpulan kecil. Syabas!!


"Kakak dan abang-abang yang turun pada malam ini bukanlah penyibuk atau busy body tetapi mereka sangat memahami perasaan anda semua yang terpaksa mengambil peperiksaan ulangan tatkala kawan-kawan lain berehat di rumah. Kami rasa dan faham perasaan anda. Kami turun untuk membantu sekadar mampu. Insyallah anda semua akan naik ke tahun 3 dengan jayanya tidak akan ada seorang pun akan tertinggal." kata-kata MPP Idrul semasa berlangsungnya program.

Pelajar-pelajar khusyuk mendengar motivasi dan perkongsian abang-abang


Turut hadir MPP Hatem memberi semangat kepada pelajar-pelajar Tahun 2

Sesi kumpulan kecil. Berkongsi Rasa.

Diharapkan pelajar-pelajar tahun 2 tidak berputus asa, selagi masih ada ruang dan peluang gunakanlah sebaik mungkin. Insyallah Allah akan membantu kalian.Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan kita semua.

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan              hina-dina.
Surah Ghafir 40 : 60 

Perjumpaan Bersama Mahasiswa Perubatan Kecemasan

Sumber : Blog MPP FPerubatan



Pada 21 April yang lepas satu sesi perjumpaan telah diadakan bersama-sama dengan warga baru Fakulti Perubatan iaitu mahasiswa jurusan Perubatan Kecemasan. Bagi mendekati serta memahami masalah mereka MPP Idrul sekali lagi turun ke KTSN untuk mendengar aduan dan masalah mereka.



Sesi ini berlangsung lebih kurang 45 minit di kafeteria KTSN selepas mereka semua tamat menduduki peperiksaan akhir semester. Seramai 12 orang pelajar perubatan kecemasan yang hadir. Aduan mereka berkisar permasalahan kebajikan, isu penempatan kolej dan beberapa masalah lain. Segala aduan dan luahan mahasiswa Perubatan Kecemasan akan diambil perhatian oleh MPP Idrul.



Kata beliau " Kita selaku pelajar Fakulti Perubatan perlu menolong antara satu sama lain tak kira jurusan apa pun yang kita ambil. Apa yang penting adalah kita satu fakulti. Siapa nak tolong (fakulti perubatan) kalau bukan kita. Insyallah kita pasti akan serasi bersama dalam Fakulti PerubatanBidang kesihatan tidak boleh berdiri sendiri tanpa doktor, jururawat dan pembantu-pembantu perubatan. Marilah kita mula belajar sebagai satu pasukan dari sekarang."


Insyallah diharapakan MPP Fakulti Perubatan dapat terus membantu Mahasiswa Fakulti Perubatan. Semoga usaha kecil ini dapat menyatupadukan kita sebagai Satu Fakulti yang kukuh dan mantap.

Mahasiswa Perubatan Kecemasan berbincang dan mengutarakan aduan mereka
MPP Idrul mendengar aduan dari Mahasiswa untuk diambil perhatian

Isnin, April 25, 2011

NewsPortal : Program Khas UKM Untuk Sedia Siswa Ke Medan Kerjaya






Oleh : Kuah Guan Oo

BANGI, 25 April, 2011 – Seperti menghiaskan kek sebelum dipasarkan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengatur mengadakan satu program khas bagi menyediakan siswazahnya menghadapi medan kerjaya.

Program Kebolehan Siswazah (GAP) ini adalah suatu kursus 17 hari untuk membimbing hampir 500 pelajar melalui pelbagai modul menyedarkan peserta terhadap potensi serta kekuatan dan kelemahan mereka supaya dapat memenuhi apa yang diharapkan majikan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Saran Kaur Gill berkata program itu yang akan berlangsung pada  9 - 25 Mei ini adalah yang julung kali diperkenalkan UKM untuk pelajar tahun akhir dan tahun ke-3, termasuk sebilangan siswazah yang masih menganggur.

“Pelajar sebelum ini menumpukan perhatian penuh terhadap pelajaran dan peperiksaan mereka dan kini difikirkan mereka perlu disediakan dengan kebolehan untuk menghadapi medan kerjaya dan kehidupan sebenar di luar kampus,” katanya di sini.

GAP adalah sebahagian projek “1Million 1IPTA” yang dicadangkan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempertingkatkan peluang siswazah universiti awam mendapat pekerjaan. Program itu akan dikendalikan oleh Scicom Academy, cabang latihan Kumpulan Scicom.

Antara objektif GAP ialah untuk melengkapkan para peserta  dengan kemahiran professional di tempat kerja, memahami apa yang diperlukan majikan untuk memberikan khidmat cemerlang, meningkatkan kebolehan mereka untuk berfikir dan melengkapkan diri dengan logik serta meningkatkan  kebolehan mereka untuk pasaran. 

Modul-modul latihan berjumlah 70 jam itu yang dijalankan di dewan kuliah UKM, akan menitikberatkan tiga tema:  kecerdasan emosi, mengantarabangsakan para pelajar dan kemahiran di tempat kerja. Di samping itu, para pelajar itu akan diberi 20 jam pelajaran Bahasa Inggeris yang akan disampaikan dalam bentuk jambori.

Prof Saran berkata pengelola GAP itu telah membantu pegawai UKM merekrut pelajar dan sehingga 20 April, 2011, seramai 488 pelajar telah mendaftar untuk program itu.


“Bagi menilai kesan program terhadap kemajuan individu, ujian sebelum dan selepas GAP akan dijalankan ke atas para peserta. Harapan kami ialah latihan itu akan memberi faedah dan meningkatkan kualiti pelajar kami,” katanya. 

Sabtu, April 23, 2011

Salam takziah buat keluarga Alllahyarham PM Dr Ahmad Redzuwan

Allahyarham Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus

Dukacita dimaklumkan bahawa Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, telah kembali  ke rahmatullah pada 22 April 2011 (Jumaat). Allahyarham juga bertugas sebagai Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung asal Allahyarham, di Temerloh, Pahang.

Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al Fatihah.

(ewarga/bul/bil.25042011-102)

Jumaat, April 22, 2011

Makluman Terkini Pendaftaran Kursus Semester 3(b) Sesi Akademik 2010-2011

Makluman terkini daripada Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) buat semua pelajar program Ijazah Pertama (Sarjana Muda) UKM berkenaan pendaftaran Semester 3(b) Sesi Akademik 2010-2011 .

Dengan merujuk Pekeliling Akademik Bil.11/2011 yang terbaru dikeluarkan oleh pihak Bahagian Pengurusan Akademik bertarikh 11 April 2011, pihak PMUKM ingin memaklumkan bahawa secara umumnya penawaran kursus-kursus tersebut hanya membabitkan Fakulti Ekonomi & Perniagaan (FEP), Fakulti Pendidikan (FPend) dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB). Kursus-kursus yang ditawarkan pula membabitkan (i) Kursus Tanpa Kuliah (bersifat projek/kontrak pembelajaran) dan (ii) Kursus Elektif.


Jadual dan maklumat pendaftaran kursus-kursus tersebut adalah seperti dilampirkan.


Untuk makluman, rakan-rakan mahasiswa yang berada dalam kategori Lulus Bersyarat (LB) pada semester 1 Sesi Akademik 2010-2011 dinasihatkan tidak mendaftar kursus pada Semester 3(b) ini;

Syarat-syarat pendaftaran Semester 3(b) adalah seperti berikut;
i.    Pendaftaran untuk Semester 3(b) Sesi Akademik 2010-2011 adalah pilihan
ii.   Pelajar dibenarkan mengambil tidak melebihi tiga (3) kursus sahaja
iii.  Pelajar tidak dibenarkan membuat penambahan dan pengguguran kursus selepas Semester 3(b) bermula
iv.  Penarikan diri daripada kursus boleh dilakukan sehingga minggu ke-5 perkuliahan iaitu sehingga 7 Ogos 2011 dan akan diberi gred TD
v.   Permohonan untuk tidak mengikuti Semester 3(b) bagi pelajar yang telah mendaftar kursus pada minggu pendaftaran hendaklah dibuat secara rasmi kepada Timbalan Pendaftar (Akademik) setelah disokong oleh Dekan Fakulti sebelum 17 Julai 2011 untuk mendapat pelepasan yuran. Permohonan selepas tarikh tersebut akan dikiran menarik diri daripada kursus dan diberi gred TD
vi.  Tempoh pengajian Semester 3(b) tidak diambilkira bagi menentukan tempoh maksimum yang dibenarkan untuk keperluan ijazah
vii.  Kursus yang kurang daripada sepuluh (10) orang pelajar akan dibatalkan dan pelajar diminta mendaftar kursus pada semester berikutnya
viii. Bayaran denda RM 15 akan dikenakan jika lewat mendaftar kursus
ix.  Semasa pendaftaran pelajar hanya perlu memilih butang Pendaftaran Kursus Semasa. Pelajar perlu memastikan pendaftaran kursus dibuat pada Semester 4 (iaitu bersamaan dengan Semester 3(b).

* Jika menghadapi sebarang masalah mengenai perkara di atas, sila emailkan kepada smpweb@pknet.cc.ukm.my atau akad@pkrisc.cc.ukm.my atau datang sendiri ke kaunter Bahagian Pengurusan Akademik / Fakulti untuk tindakan selanjutnya. 

Ops KISMIS

Oleh : Blog MPM Fakulti Perubatan



Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 



Segala puji-pujian bagi Allah, pada hari Rabu (20 April 2011) dan Khamis (21 April 2011) MPP Idrul  Daud dan beberapa orang Rakan MPP dari PPUKM telah turun ke Kampus Cawangan Kuala Lumpur bagi menjalankan OPS KISMIS sempena meraikan mahasiswa Fakulti Perubatan Tahun 2 yang akan menduduki peperiksaan ulangan pada minggu hadapan; 2 Mei 2011.



Diharapkan sedikit cenderamata dan keprihatinan kami dapat menaikkan motivasi anda semua dan seterusnya berjaya melangkah bersama-sama ke Tahun Klinikal. Pastinya Tahun Klinikal menghidangkan pelbagai sesi pembelajaran yang lebih menarik dan mengujakan.



Kami di PPUKM menantikan kehadiran anda semua dan bersama-sama melangkah menjadi Doktor Perubatan yang lebih cemerlang dan terbilang. 




Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - 

* MPP FAKULTI PERUBATAN terdiri daripada MOHAMAD IDRUL B MOHAMAD DAUD dan KAMARUL HATEM B. MOHAMMED. Layari blog mereka di http://dr-mahasiswa.blogspot.com

Khamis, April 21, 2011

Pertemuan MPM Aida & Ikram Bersama Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari


Usaha menyuarakan hasrat mahasiswa berkaitan isu kafeteria ke pentadbiran tercapai jua apabila semalam, saya dan Ikram bertemu Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari UKM. Mesyuarat bersama Encik Mansor Shahid, Encik Nazri Putra Ramli dan Encik Kadir Rahmat bermula pada jam 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bendahari, Canselori.


Agenda pertama dimulakan dengan pembentangan analisis soal selidik untuk mahasiswa berkaitan dengan pemantauan kafeteria. Saya turut mengemukakan rekod aduan bagi setiap kafeteria seluruh kampus dalam sesi pembentangan itu.

Berkaitan harga makanan, kebanyakan mahasiswa berpendapat bahawa kadar harga yang ditetapkan oleh para pengurus cafeteria tidak sesuai untuk pelanggan utama mereka yang berstatus pelajar. Hal ini berlaku di cafeteria seperti di Kolej Keris Mas dan Kolej Burhannuddin Helmi. Selain harga makanan yang mahal, harga yang tidak menentu dan bergantung kepada penjaga kaunter turut berlaku terutama di kafeteria Fakulti Sains dan Teknologi dan Kolej Aminuddin Baki.

Berhubung dengan kebersihan makanan, banyak aduan yang dikemukakan adalah berkaitan bahan mentah yang dimasak sudah lama dan rosak seperti yang berlaku di kafeteria Kolej Ibu Zain. Malahan makanan di kafeteria Kolej Dato’ Onn seringkali mengandungi telur lalat. Secara keseluruhannya, kebanyakan kafeteria mempunyai masalah kebersihan makanan dan tempat penyediaan makanan.

Respon dari Encik Mansor Shahid memberitahu bahawa kafeteria seperti Kolej Rahim Kajai dan Kolej Aminuddin Baki yang sudah lama kontraknya akan tamat. Perlantikan tender kafeteria bagi kolej tersebut akan diadakan bagi memenuhi keperluan sesi semester akan datang. Dalam tempoh sebulan dari sekarang, sesi temuduga terhadap syarikat yang berminat akan dijalankan. Kafeteria Kolej Burhanuddin Helmi pula akan ditamatkan kontrak atas permintaan mahasiswa yang menghuni kolej tersebut kerana terlalu mahal. Baru kelmarin pihak Unit Penjanaan membuka kepada mana-mana syarikat yang berminat menggantikan kafeteria KBH yang ada sekarang.

Apabila diajukan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Kolej Keris Mas berkaitan kafeteria mereka, En Mansor memberitahu isu tersebut telah dimaklumkan ke pihak pentadbiran atasan universiti kerana melibatkan syarikat universiti. Manakala kafeteria di Kolej Pendeta Zaaba pula bukan dibidang kuasa Unit Penjanaan tetapi sepenuhnya Syarikat Kauthar.

Pihak Encik Mansor menyambut baik cadangan yang dikemukakan iaitu:

- Penetapan/penyelarasan harga makanan bagi satu tempoh tertentu.
- Penyelarasan pemantauan kafeteria oleh Unit Penjanaan dan Pusat Kesihatan untuk penggredan kafeteria.
- Soal selidik pemantauan kafeteria secara online untuk liputan menyeluruh dan membumi

En Kadir Rahmat merasakan pertemuan sebegini perlu lebih kerap demi menambahbaik dan memastikan kafeteria menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Katanya lagi, pihak Unit Penjanaan sangat berbesar hati menerima kunjungan dan ide pandangan dari mahasiswa.

Tidaklah usaha ini terhenti di sini, bahkan akan berjalan tanpa henti. Cuma mengharap sokongan dan dokongan dari rakan-rakan mahasiswa.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

MPM Ezuan : Kondisi FSSK

By : MPP Ezuan



Pada 13 April yang lalu, saya telah membuat pantauan di sekitar fakulti FSSK untuk melihat keadaan kemudahan di dewan-dewan kuliah dan bilik-bilik kuliah serta sekitarnya. Hasil daripada pantauan tersebut saya dapati terdapat beberapa aspek keselamatan dan keselesaan yang tidak dititikberatkan.

DK3F 202 : Wayar putus dan berselirat

DK3F 203 : Kerusi patah

DK3F 203 : Siling berlubang

DK3F 203 : Wayar terjuntai

DK 3F 302 : Kerusi rosak



Bilik Kuliah 3A 417 : Tingkap pecah

3A 506 : Lampu hampir jatuh akibat siling yang mendap

Bilik Kuliah 3A 505, 3A 503, 3A 502 : Siling bocor menyebabkan lantai berair


keadaan yang berterusan seperti ini boleh menyebabkan sesi pembelajaran tidak dapat dijalankan meja dan alatan lain rosak


banjir

Tirai yang rosak

Koridor blok A : siling yang menunggu masa untuk jatuh

Bimbang akan hal ini, saya telah mengutarakan perkara ini kepada pihak pentadbiran fakulti untuk membincangkan perihal ini dengan lebih serius.

Hasil daripada pertemuan yang berlangsung lebih kurang setengah jam itu, saya telah mengusulkan supaya adanya pantauan secara berkala dilakukan oleh pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP).

Akan tetapi, menurut Timbalan Dekan Prasiswazah & Alumni, Prof Madya Dr Mostafa Kamal Mokhtar, pantauan secara berkala sudah pun dilakukan oleh pihak JPP namun sehingga kini pihak berkenaan masih lagi tidak mengambil sebarang tindakan.


"Di pihak pentadbiran fakulti juga, segala aduan telah diajukan ke pihak yang bertanggungjawab namun hasilnya tetap mengecewakan."
-Prof Madya Dr Mostafa Kamal Mokhtar-

Beliau seterusnya memberi cadangan supaya para mahasiswa memanfaatkan Sistem Maklum Balas & Aduan Dalaman Pelajar [link] yang boleh diakses secara online. Menurut beliau, sistem ini merupakan satu bentuk desakan yang mampu membuka mata pihak yang bertanggungjawab agar tindakan dapat disegerakan.

Di peringkat saya, saya akan terus berusaha menyelesaikan masalah ini agar tidak timbulnya insiden-insiden yang tidak diingini yang membabitkan rakan-rakan mahasiswa di fakulti ini. 


"Bersama Mahasiswa Merealisasikan Varsiti"


MPP UKM Bersama MPKj, Wisma Aman Komited Tangani Masalah Anjing

MPP UKM mengambil perhatian masalah anjing yang menjadi-jadi apabila ramai di kalangan mahasiswi dikejar anjing-anjing liar yang berkeliaran sekitar UKM. Pada 13 April jam 4.00 petang lalu, operasi memerangkap anjing liar di kawasan kolej Burhanuddin Helmi dilakukan. Operasi ini melibatkan Wisma Aman, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan MPP iaitu MPP Fahmi, Ikram dan Ezuan.

Operasi ini adalah tindakan susulan yang diambil oleh Wisma Aman setelah cadangan telah dikemukakan kepada pihak mereka dalam pertemuan antara MPP Fahmi dan Izzuddin bersama Ketua Pejabat Pendaftar Encik Ab Aziz Othman dan wakil Pegawai Keselamatan, Leftenan Saidi. Cadangan yang dikemukakan sebelum ini agar diadakan kerjasama antara MPKJ & Pegawai Keselamatan UKM dalam menangani anjing liar yang berkeliaran di UKM sama ada di kolej kediaman mahupun fakulti.

Dalam operasi ini, satu perangkap anjing diletakkan di belakang blok mahasiswi iaitu blok 10 yang dilaporkan menjadi tempat anjing berteduh dan membiak. Menurut En Mawi wakil dari Majlis Perbandaran Kajang, "Sebelum ini terjumpa anak anjing di kawasan ini (KBH- Blok 10) tapi tak dapat ambil kerana menyorok dalam lubang. Pernah juga memasang perangkap tetapi sangkar perangkap hilang diambil orang oleh kerana perangkap yang dianggap bernilai."

Kata beliau lagi, " Kita akan pasang perangkap di tempat lain, namun buat masa sekarang kita cuba di sini dahulu. Kita tak boleh guna cara bagi makanan beracun untuk dimakan oleh anjing sebab kalau dia mati sukar untuk mencari anjing tersebut, selain tu bau bangkai anjing menganggu ketenteraman awam. Ia luar bidang kuasa kita kalau anjing tu dah mati.

Sewaktu operasi dijalankan, seekor anjing melarikan diri apabila pihak MPKJ & wakil pegawai keselamatan datang untuk memasang perangkap. MPKJ juga tidak melakukan kerja penembakan anjing kerana dibimbangi akan terkena manusia. Sebelum ini, kerja penembakan dijalankan pada waktu cuti semester oleh pihak luar (penembak anjing liar) dengan kerjasama wisma aman kerana bimbang akan terkena mahasiswa jika dibuat dalam waktu belajar.


·        Saranan dari pihak MPKJ & Wisma Aman adalah memaklum pada pihak MPKJ & Wisma Aman sekiranya mendapati kawasan yang menjadi tempat tinggal & pembiakan anjing liar. Mereka juga menasihat supaya tidak memberi makanan kepada anjing-anjing ini kerana ia akan menggalakkan anjing tersebut utk cenderung berada di sekitar kawasan sumber makanannya itu. 




BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


Rabu, April 20, 2011

Ambil Perhatian Faktor 731 Orang Bunuh Diri - MPM Ezuan

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) ingin menarik perhatian umum berkenaan jumlah yang membimbangkan rakyat Malaysia yang membunuh diri sehingga tahun lalu , berdasarkan laporan kepada Dewan Negara oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menjawab soalan tambahan Senator Usha Nandhini di Dewan Negara semalam.

Saudara Ezuan Saad selaku Setiausaha Agung PMUKM ketika mengulas isu ini berpandangan 'trend' membunuh diri sewajibnya diambil berat oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang berkuasa. Isu bunuh diri ini tidak seharusnya dipandang enteng dan diklasifikasikan sebagai kes terpencil, kerana menurut beliau, jumlah individu yang melebihi 700 orang tersebut menunjukkan 'ada sesuatu tidak kena' dengan sistem sosial di Malaysia.

" Daripada laporan yang dibentang dan dilaporkan di televisyen, Datuk Rosnah (Timbalan Menteri Kesihatan) semalam yang sempat saya ikuti, menunjukkan kecenderungan membunuh diri ini banyak disebabkan faktor sosio-ekonomi; seperti masalah pekerjaan, keluarga, dan tidak kurang masalah gagal dalam akademik.

" Tidak timbul isu bangsa mana yang 'mendominasi' trend membunuh diri. (Malah) pandangan saya, adalah tidak sopan mengelaskan 'trend' ini (membunuh diri) ini mengikut komposisi bangsa. Isu (membunuh diri) ini adalah masalah negara. (Justeru) apa yang lebih penting dibincangkan adalah mekanismenya, bagaimana ingin mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar tersebut.

" Sebagai mahasiswa, kita melihat (isu bunuh diri) ini amat membimbangkan. Kita melihat ada perlunya kita merujuk kembali kepada faktor utama (yang menyebabkan) hal ini berlaku, " komen saudara Ezuan.

Saudari Aida Rahayu binti Mohd Badri selaku Pengerusi Biro Informasi & Penerangan PMUKM ketika mengulas pula berkata;

" Dengan kadar inflasi yang tinggi, menyebabkan institusi keluarga (mula) keberantakan apabila si suami-isteri terpaksa pulang lewat (kerana) 'overtime' menyebabkan ahli-ahli keluarga (anak-anak) mula putus hubungan. Rasa terbiar dan kurang perhatian (bagi anak-anak) di samping pengaruh kawan-kawan menyebabkan (mula) menyebabkan berlakunya masalah ponteng, lalu akademik mula menurun. Dan ini berterusan (sehingga) terbawa-bawa kepada penyelesaian yang kurang matang seperti (gejala) menghisap dadah, meragut dan lain-lain.

" Ada pula di kalangan (individu) profesional yang walaupun sudah mempunyai kerjaya yang stabil di pejabat-pejabat, tetapi turut mengalami masalah tekanan di tempat kerja disebabkan tekanan oleh bos (ketua) dan rakan-rakan sekerja. Apabila masalah tekanan ini gagal dikendalikan (dengan baik), (maka) berlaku masalah sosial yang teruk, (lalu) membawa kepada penagihan dadah dan alkohol dengan mereka gemar menghabiskan di tempat-tempat hiburan; yang kita ketahui tiada manfaatnya.

" Itu antara salah satu daripada 1001 kisah benar yang berlaku di luar sana; khususnya bagi masyarakat bandar seperti kita. Langkah mengatasinya akan jelas apabila kita jujur melihat faktor-faktor yang menyebabkannya, " ulas panjang MPM Aida.

" Maka kita di PMUKM mencadangkan kepada pihak kerajaan agar isu (bunuh diri) ini bukan sahaja difikirkan pihak Kementerian Kesihatan sahaja tetapi turut melibatkan kementerian-kementerian yang lain.

" Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat sebagai contoh, melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu segera memperkenalkan polisi-polisi yang mesra membina keluarga. Institut Sosial Malaysia dibawah kementerian ini juga perlu melakukan kerja-kerja penyelidikan yang serius berkenaan perkara ini dan kemudian digunapakai oleh agensi-agensi perlaksana yang lain.

" Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia pula dicadangkan menggabungkan tenaga pakar (untuk) membentuk modul dan sistem pendidikan yang komprehensif dan bermakna serta tidak terlalu 'exam-oriented' yang kita ketahui di akhirnya sekadar melahirkan rakyat yang pandai di dalam akademik, tetapi kosong di dalam 'survival' hidup mereka.

" Dalam pada itu, langkah kerajaan yang membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Pencegahan Bunuh Diri dan rawatan susulan bagi pesakit mental klinik-klinik kesihatan seluruh negara seperti yang disebut dalam laporan semalam; kita puji kerana inisiatif ini dilihat mampu mengurangkan jumlah pesakit-pesakit mental di Malaysia.

" Tetapi apa yang lebih bermakna buat kita sebagai rakyat Malaysia ingin lihat adalah usaha-usaha dan langkah-langkah untuk mengatasinya, dan usaha tersebut perlu membumi (praktikal). Justeru, kami selaku mahasiswa UKM kita ingin mencadangkan pihak kerajaan memaksiumkan pengupayaaan agensi-agensi kerajaan sepenuhnya; jangankan sudah terhantuk, baru ingin terngadah, " tambah saudari Aida lagi.

Mengikut rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia bagi tempoh tiga tahun sejak 2007-2010, seramai 731 individu dilaporkan telah membunuh diri di negara ini dan daripada angka itu membabitkan 545 lelaki dan 186 wanita,dan menunjukkan 321 kes membabitkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu dan 298 kes golongan bujang.

Menurut Laporan Kabinet kepada Dewan Negara itu semalam, gejala bunuh diri di kalangan rakyat Malaysia tersebut berlaku akibat beberapa penyebab yang berkait seperti faktor biologi, genetik, psikologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran dengan faktor kemiskinan, tiada pekerjaan, kegagalan akademik, hutang dan putus hubungan romantik juga menyumbang kepada kejadian itu. Gangguan untuk bunuh diri atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan substans dan alkohol dan gangguan personaliti juga boleh mendorong kepada perlakuan bunuh diri.