Khamis, Disember 15, 2011

KPT diminta pertimbangkan SYARAT ELAUN PENGAJIAN PELAJAR OKU :



Pada 9 Disember 2011,  saudara Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff selaku Presiden Kelab Mahasiswa Istimewa UKM merangkap Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ( PMUKM ) telah pergi ke Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) bagi menyerahkan satu kertas kerja lengkap bagi memohon pertimbangan KPT untuk meminda syarat yang diberikan terhadap pemberian elaun pengajian sebanyak RM700 kepada pelajar bekeperluan Khas di IPT.

Kertas Kerja ini telah dihantar di bangunan baru KPT dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Unit Biasiswa, Bahagian Biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ).

Sebelum ini saudara Mohd Abdullah pernah menulis di dada akhbar tentang ketidakrelevanan syarat yang dikenakan kepada OKU bagi melayakkan mereka menerima elaun pengajian sebanyak RM700 pada setiap sem. 

Syarat yang dikenakan ialah Pelajar OKU yang menerima biasiswa atas dasar kurang upayanya tidak layak menerima bantuan kewangan ini. Walau bagaimanapun, pelajar OKU yang menerima pinjaman pelajaran atau biasiswa atas merit akademik layak menerima elemen wang saku sahaja (Elaun pengajian tidak layak diterima).

Menurut beliau " Biasiswa yang diterima atas dasar akademik tidak boleh kita jadikan alasan untuk tidak memberi elaun pengajian sebanyak RM700; ini (kerana) elaun pengajian ini (merupakan) khidmat sosial kerajaan kepada mahasiswa OKU dan biasiswa ini diberikan atas faktor kelayakan akademik. Pelajar bukan OKU pun boleh terima biasiswa, jadi apa (yang kerajaan bagi) sebenarnya pada pelajar OKU?

" (Ini ) dua perkara yang berbeza. Sebab itu saya fikir tidak patut KPT meletakkan syarat tersebut. Jika elaun ini untuk semua OKU, bagi (sahaja) kepada semua pelajar berstatus OKU. Jangan pula kenakan syarat yang tidak patut. Nampak tidak ikhlas". 

Permohonan berserta kajian



Sehubungan dengan itu, Saudara Mohd Abdullah telah melampirkan bersama kajian yang telah dilakukan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr Hasnah Toran berkaitan halangan yang mahasiswa OKU hadapi.

Antaranya kos pembiayaan pengajian bagi pelajar OKU lebih tinggi berbanding dengan pelajar tipikal lain.

Tuntasnya, adalah sangat wajar kerajaan, khususnya KPT mempertimbangkan perkara tersebut bagi meringankan bebanan pelajar OKU selaras dengan Akta OKU 2008 yang meletakkan penggalakkan dan pembangunan kualiti hidup dan kesejahteraan orang kurang upaya.