Jumaat, Disember 09, 2011

BERITA : Mahasiswa bakal peroleh baucer buku RM200 tahun hadapan

PENGUMUMAN : Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sudah mendapatkan maklum balas daripada pihak Jabatan Bendahari berkenaan baucer buku RM 200 ini. Taklimat penerangan sedang dirangka dan disusun oleh Jabatan Bendahari dengan kerjasama PMUKM. Insyallah sebelum cuti semester, maklumat berkenaan baucer buku RM 200 tersebut akan dimaklumkan dengan segera kepada rakan-rakan. Harap maklum. Terima kasih.

 - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
27 Nov. - Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi Pengajian tinggi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor.

Beliau berkata mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucer dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin tidak lama lagi.

Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Kolej Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Malaysia, Prof Madya Kamarudin Kasim.

Ab Rahim berkata langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.

Terdahulu, dalam ucapannya Abd Rahim berkata Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi adalah bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT.

"Ini selaras dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

"Dasar ini juga adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian negara maju menjelang tahun 2020," katanya.- BERNAMA