Selasa, Disember 06, 2011

SPS beraksi di peringkat nasional

KUALA LUMPUR - Baru-baru ini, pada 2 hingga 4 Disember 2011 telah diadakan Festival Mahasiswi Nasional (FEMINA) kali ke 2 di Universiti Malaya. Antara universiti lain yang turut serta dalam program khas siswi ini adalah seperti UPSI, UUM, UTM, UiTM, USIM, UTP dan UniKL-Micet. 

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga tidak ketinggalan untuk menghantar wakil yang terdiri daripada dua orang MPP Siswi PMUKM iaitu Saudari Muslimah Marsi selaku Naib Presiden II PMUKM dan juga MPP Noraini Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM. UKM juga turut menghantar beberapa wakil siswi lain antaranya saudari Siti Hajar Yussof, saudari Aida Tokachil dan saudari Noraini Masri bagi merealisasikan agenda membangunkan potensi siswi.

Pelbagai program telah dijalankan sepanjang Festival Mahasiswi Nasional (FEMINA) ini diadakan seperti forum "Manisnya menjadi Seorang wanita", Perbincangan mahasiswi berkaitan "Pendidikan Kesihatan Reproduktif", Ceramah "How to make you Beautiful" dan juga forum "Dua Dunia: Serupa tapi tidak Sama" yang menampilkan pelbagai tetamu jemputan yang hebat-hebat seperti Ustazah Asni, artis Wardina Safiyyah dan Farah Deeba, Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) Fedtri Yahya, Imam Muda Hizbur, Hajjah Raja Mazian dan ramai lagi. 


Selain itu, aktiviti khidmat masyarakat turut diadakan di 3 buah tempat yang berbeza iaitu rumah warga emas, rumah anak-anak yatim dan rumah orang kurang upaya (OKU) bagi melahirkan siswi yang prihatin di samping membentuk kredibiliti siswi dalam mengendalikan masyarakat dan memberi sumbangan tenaga serta masa kepada insan yang memerlukan.

Persidangan meja bulat antara wakil-wakil siswi setiap kampus turut diadakan pada malam terakhir bagi mencari solusi berkaitan pembangunan wanita dan juga keperluan Pendidikan Kesihatan Reproduktif sama ada untuk diteruskan atau dimansuhkan. Sewaktu persidangan dijalankan, hampir kesemua wakil siswi UKM telah bangkit menyuarakan idea dan pandangan masing-masing antaranya MPP Muslimah Marsi, MPP Noraini, Saudari Aida Tokachil dan juga Saudari Siti Hajar. Berteraskan tema "The real Women" dan objektif program yang bertepatan dengan apa yang dibawakan oleh MPP Noraini menerusi manifestonya, maka idea penubuhan Sekretariat Pembangunan Siswi telah dibentangkan kepada semua perwakilan yang hadir sebagai platform untuk memastikan siswi terus mahu ke hadapan dan menyumbang kepada masyarakat setelah bergelar graduan nanti. 


Hasil perbahasan dan hujah-hujah dari beberapa perwakilan yang bangkit bersuara, akhirnya idea dan cadangan MPP Noraini telah diterima dengan memperkasakan platform siswi yang sedia ada iaitu SENADA yang telah terkubur dan akan dihidupkan semula dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan siswi terus berjalan di setiap kampus dengan kerjasama dari pihak Kementerian Pembangunan Wanita & Keluarga serta NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW).


Fenomena "Siswi Mantap Pasti Tersentap" merebak ke UM


Slogan yang cukup sinonim dengan MPP Noraini iaitu "Siswi Mantap Pasti Tersentap" telah mendapat sambutan dalam kalangan peserta yang hadir ke FEMINA di UM. Slogan ini dilihat cukup serasi dengan tema yang dibawa FEMINA iaitu "The Real Women" yang telah dilaungkan oleh MPP Noraini selepas selesai membuat pembentangan sewaktu sesi perbincangan hangat mengenai Pro & Cons of Health Reproductive Education. Semoga slogan ini mampu memberi aura kepada semua perwakilan siswi untuk lebih terkehadapan seiring dengan matlamat yang disasarkan menerusi program Festival Mahasiswi Nasional yang diadakan ini.


Tahniah kepada MPP Noraini Jumahir dan juga kepada semua perwakilan siswi UKM yang sentiasa ke hadapan dalam menyuarakan pendapat dan semasa membuat pembentangan kumpulan. Semestinya "SISWI MANTAP PASTI TERSENTAP"



BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI