Khamis, Disember 22, 2011

Bank Negara perkenal wang kertas, syiling baru

KUALA LUMPUR, 22 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) semalam memperkenalkan satu siri wang kertas dan duit syiling baharu yang akan berada dalam edaran pada separuh kedua 2012.

Wang kertas itu melibatkan denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 manakala duit syiling itu pula dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.


Duit syiling itu dilancarkan pada 25 Julai 2011 tetapi hanya akan berada dalam edaran Januari ini. Pelancaran wang kertas dan duit syiling itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Maklumat lanjut dan contoh gambar matawang ringgit dan syiling-syiling tersebut boleh diperoleh di  laman sesawang Bank Negara Malaysia.
Ciri-ciri unik matawang baru
Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk wang kertas Malaysia siri terbaharu ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri keempat wang kertas Malaysia ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional.

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.

Pelancaran wang kertas ini dilihat sebagai lanjutan kepada pengenalan wang kertas baharu dalam denominasi RM50 yang kini berada dalam edaran. Daripada semua wang kertas itu, hanya RM1 dan RM5 dihasilkan dengan penggunaan substrat polimer.

Ini kali keempat mata wang kertas baharu diperkenalkan dan kali ketiga untuk duit syiling.