Isnin, Disember 12, 2011

Daulat Tuanku !

KUALA LUMPUR: Keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pagi ini, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.
Gambar Majlis Menjunjung Kasih Tuanku yang berlangsung semalam.
Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada pukul 11 pagi.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya Datin Seri Che Sharifah Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan isteri Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai 'muskat' turut menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Baginda berdua kemudian berangkat bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Persiapan menanti Tuanku Sultan Mizan
Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 12.35 tengah hari didahului dengan perarakan mengikut tradisi kesultanan Melayu, dikepalai seekor gajah dilengkapi tandu yang dihiasi payung kuning dan kain baldu berwarna merah.

Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali berserta lambaian dari semua yang hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua.

Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat berlepas meninggalkan KLIA menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 1.15 petang.

Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong Ke-14
Manakala Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, yang telah dipilih buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berangkat bagi menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani sumpah jawatan di Istana Negara esok.


Baginda Sultan yang memegang gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu`tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu`adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, sebelum itu hari ini dalam Majlis Istiadat Pemasyhuran Jemaah Pemangku Sultan dengan melantik satu jemaah pemangku Sultan Kedah bagi memastikan pemerintahan negeri berjalan dengan sempurna selepas keberangkatan baginda ke Istana Negara esok.

Anggota jemaah yang dilantik terdiri daripada adinda baginda Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Tuanku Sultan Abdul Halim akan berangkat ke Istana Negara pada esok Selasa bagi melaksanakan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun.

Daulat Tuanku !