Assalamualaikum dan Salam Kemerdekaan
31 Ogos bukan tarikh yang asing bagi penduduk tanahair kita. Tahun ini merupakan tahun yang ke-53 kita menyambut hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan Ramadhan. Ianya diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dengan slogan dan sorakan yang penuh bersemangat untuk menzahirkan rasa gembira kerana dapat hidup di atas muka bumi yang bebas daripada cengkaman penjajah.
Kebiasaannya, malam kemerdekaan menjadi tumpuan masyarakat untuk menanti detik-detik 12 malam. Letupan bunga api menghangatkan suasana dan menjadi simbolik ulangtahun kemerdekaan. Ramai anak muda dan golongan remaja tidak ketinggalan dalam menghargai kemerdekaan hasil titik peluh pejuang terdahulu.
Selain itu, ada yang memilih untuk mengadakan majlis berbuka puasa, ceramah kemerdekaan, bersolat terawih secara berjemaah dan Qiamullail untuk menyambut kemerdekaan di samping memuliakan Ramadhan. Kempen cegah maksiat turut digerakkan oleh NGO dan parti politik bagi membanteras perilaku sumbang dan maksiat. Kebanyakan daripada mereka yang terlibat terdiri daripada remaja belia. Mereka cenderung untuk meraikan kemerdekaan dengan berpesta, berkaraoke dan berseronok sehingga mengakibatkan pergaulan bebas dan gejala zina.
Berdasarkan realiti yang berlaku, adakah merdeka benar-benar difahami? atau adakah kemungkinan ianya telah disalahtafsir? Rata-rata golongan anak muda ini memahami bahawa merdeka merupakan kebebasan secara mutlak. Dalam erti kata lain, mereka bebas untuk melakukan apa-apa sahaja yang diingini tanpa kongkongan atau keterikatan mana-mana pihak. Lebih menyedihkan apabila mereka sanggup melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan agama atas alasan kebebasan individu dan menganggap bahawa diri mereka sudah merdeka.
Oleh yang demikian, mahasiswa perlu menggiatkan usaha untuk memimpin generasi muda ke arah memahami erti dan nilai kemerdekaan yang sebenar. Ianya perlu dirancang dengan teliti dan disusuli dengan pelaksanaan secara bersepadu. Hakikatnya, kemerdekaan BUKAN kebebasan mutlak. Kita masih terikat dengan sistem beragama yang mampu menjamin kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi. Justeru, sahutlah seruan pencerahan, buktikan bahawa generasi muda yang merdeka mampu menggoncangkan dunia!
>Muhamad Faiz Ismail, MPP Umum