Jumaat, Ogos 06, 2010

MPP Syafiq Sertai Misi Konvoi Ramadhan di Gaza


KL, 6 Ogos : Kira-kira jam 10 malam, seramai 45 peserta misi konvoi Ramadhan di Gaza (Radig) telah berlepas ke Kaherah,sebelum memasuki Gaza pada 9 Ogos ini.

Misi kemanusiaan ini adalah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim). Menurut ketua delegasi Radig, Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga setiausaha Mapim, kesemua peserta Radig dijangka kembali ke Malaysia pada 18 Ogos.



Mengulas lanjut, Azmi berkata, selain bertemu penduduk Gaza dan menyampaikan bantuan kepada mereka, peserta Radig juga diagihkan kepada lapan kumpulan untuk melakukan penyelidikan berkaitan keperluan mereka.

"Kita akan membuat lawatan ke lapan buah kem pelarian yang dikendalikan PBB, misi mencari maklumat iaitu mengenai status pendidikan, infrastruktur, keadaan masjid, status kanak-kanak dan wanita di sana,dan mencari fakta kedudukan sekolah dan agensi yang sedang berfungsi di sana”,katanya.

MPP Umum, Syafiq Abd. Aziz yang ditemui berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk mewakili mahasiswa ke Gaza.
“Mahasiswa harus memainkan peranan dalam menyokong inisiatif bagi meringankan beban rakyat Palestin yang sudah sekian lama ditindas. Usaha untuk membantu umat Palestin perlu dilaksanakan secara berterusan kerana isu Palestin merupakan isu sejagat yang perlu diberi perhatian penduduk dunia secara keseluruhannya.”tambah beliau yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).


Beliau turut meminta seluruh rakyat mendoakan keselamatan peserta Radig sepanjang menjalankan misi di sana dan mudah-mudahan selamat kembali ke tanah air.
Konvoi ini turut disertai bekas Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia, Ghani Shamsuddin, ahli politik, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan beberapa wakil media.