Bangi-MPP Faiz mengadakan pertemuan dengan YBhg. Prof Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor HEPA untuk membincangkan isu kursus HX yang menjadi bualan hangat khususnya kepada mahasiswa/i tahun 1 sejak akhir-akhir ini.
MPP Faiz mengulas bahawa kursus HX tidak mempunyai dokumen hitam putih yang jelas.
"HX adalah kursus, bukan aktiviti Ko-K biasa. Mahasiswa yang mendaftar kursus ini berhak tahu struktur kursus, pembahagian pemarkahan dan bagaimana mereka dinilai. Kita tidak mahu mahasiswa terlibat dengan sistem yang 'belum siap' sepenuhnya",kata beliau.
Beliau juga mengharapkan keterbukaan dan jasa baik pentadbiran untuk meneliti semula kursus ini.
"Saya mewakili suara mahasiswa amat berbesar hati sekiranya pentadbiran dapat menjalankan usaha penelitian semula. Kami sokong usaha untuk menaiktaraf Ko-K universiti. Tapi ada baiknya kalau respon mahasiswa yang terlibat diambil kira untuk buat penambahbaikan di peringkat awal", katanya.
Cadangan tersebut mendapat respon positif Prof. Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak yang bersedia untuk membuat pengkajian terhadap kursus tersebut.
"Kita akan teliti semula HX dan HE. Kalau boleh kita tak mahu memberat-beratkan mahasiswa dengan kursus Ko-K kerana ia adalah kursus sampingan. Kita mahu mahasiswa seronok melibatkan diri dalam kursus Ko-K",kata beliau.
Perbincangan tersebut juga bertujuan untuk mendapatkan perkembangan lanjut tentang cadangan MPP Mahasiswa sebelum ini yang mahukan suatu standard piawaian yang adil dalam proses permohonan dan pemilihan pelajar untuk menginap di kolej.
Hal ini berikutan sikap sesetengah pentadbiran kolej yang bersikap 'pilih bulu' dalam memilih pelajar yang layak untuk ditempatkan di kolej pada semester lepas.
MPP Faiz berkata, isu ini sudah berlaku sejak sesi-sesi sebelumnya. Justeru, beliau tidak mahu penyalahgunaan kuasa terus berleluasa disebabkan kepentingan politik pihak tertentu.
"Kita kecewa bila pelajar yang dapat merit kosong diterima masuk, tapi pelajar yang mendapat merit tinggi ditolak kerana tidak sebulu dengan kolej. Ini tidak profesional. Kita bukan cakap kosong, kita ada bukti. Jadi, saya harap kita dapat selesaikan dengan cara yang baik",kata beliau.
Beliau juga sangat berharap agar pihak pentadbiran mempertimbangkan idea ini dan membincangkannya secara serius.
"Biar Unit Perumahan Pelajar (UPP) yang uruskan proses permohonan dan pemilihan pelajar secara sistematik dan adil. Kita tidak mahu pelajar dinilai menggunakan merit, tapi dipilih berdasarkan 'citarasa' kolej", tambah beliau lagi.
Isnin, Ogos 16, 2010
Teliti Semula Kursus HX, Kaji Serius Standard Piawaian
14:13
Persatuan Mahasiswa UKM Sesi 2014/2015