Bangi, 15 Ogos- Cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik mencetuskan polemik dalam sistem pengajian tinggi negara. Konvensyen MPP yang berlangsung pada 6 hingga 8 Ogos yang lalu jelas memperlihatkan suara 57.01% ahli MPP daripada pelbagai kampus menyokong cadangan mahasiswa dibenarkan berpolitik.
Cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini. Namun, keputusan ‘segera’ kabinet kerajaan yang melarang mahasiswa terlibat dengan politik beberapa hari kemudian nyata menguburkan hasrat tersebut.
MPP Umum, Muhamad Faiz Ismail berkata, kerajaan sewajarnya bersikap terbuka dalam membincangkan isu ini. Pandangan ahli politik dan pensyarah universiti juga seharusnya dipertimbangkan.
“Saya akui ada pro dan kontra. Tetapi, keputusan yang dibuat seolah-olah membuktikan kerajaan belum bersedia untuk berdepan dengan suara politik mahasiswa yang dikatakan mampu menggugat. Pendapat yang mengatakan bahawa kerajaan boleh ‘tumbang’ sekiranya membenarkan mahasiswa berpolitik adalah sempit. Kerajaan tidak perlu risau selagi mereka berlaku adil,tidak amal korupsi dan mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik”, katanya.
Faiz membangkitkan tentang kewujudan kelab UMNO luar negara yang dianggotai oleh pelajar tanpa sebarang sekatan.
“Kalau tak benarkan mahasiswa berpolitik, semua mahasiswa baik dalam mahupun luar negara sepatutnya dilarang. Mengapa perlu wujud diskriminasi? Saya rasa ini tidak selari dengan keputusan kerajaan”,tambah beliau.
Beliau turut mengulas tentang kemerosotan peranan mahasiswa dalam menentukan halatuju negara. Kebenaran berpolitik dilihat mampu membantu mahasiswa membangunkan diri dan terlibat secara langsung dengan kancah masyarakat.
“Kebenaran berpolitik tidak bermakna mahasiswa bebas secara mutlak untuk menjadi wakil rakyat atau memegang jawatan dalam parti kerana mahasiswa masih punya tanggungjawab untuk belajar. Isu ini punya pengkhususan, jadi kerajaan kena teliti dan jangan buat keputusan melulu. Jutaan pengundi muda yang masih belum mendaftar sebagai pemilih sepatutnya memberi ‘signal’ yang jelas kepada kerajaan tentang sikap generasi muda yang tidak ambil peduli soal masa depan negara”,kata beliau.
Beliau juga berpendapat bahawa AUKU sepatutnya bersifat mendidik, bukan memaksa mahasiswa menurut perintah.
“Generasi seusia yang gagal ke universiti diberi kebebasan untuk berpolitik, namun mahasiswa yang dianggap sebagai golongan cerdik pandai ditekan dengan ‘alat’ ciptaan pemerintah. Ada yang berjaya ‘lolos’ dari cengkaman, tapi ada juga yang terjebak dengan sindrom malas berfikir, melihat ilmu menurut skop yang sempit, tidak sukakan cabaran dan mahu segalanya mudah. Ke mana hilangnya ‘survival’ mahasiswa? Cukupkah sekadar jadi pemimpin ‘pak turut’?”,katanya.
Faiz berkata, suara mahasiswa tidak akan lenyap akibat larangan berpolitik yang diumumkan kerajaan. Malah, mahasiswa akan berusaha lebih kuat. Segenap ruang yang ada akan dimanfaatkan untuk menegur dan memberi cadangan kepada pemerintah
“Kita harapkan keterbukaan. Apa yang pasti, suara anak muda perlu didengar. Beri ruang kepada mahasiswa membuat keputusan dan belajar dari kesilapan. Membimbing punya cara, jangan paksa ikut sistem hingga 'malap' nilai sukarela. Kepada aktivis, larangan ini adalah cabaran. Kalau semuanya kerajaan benarkan, tak teruji kemampuan kita (gerakan mahasiswa)”,jelasnya.
Ahad, Ogos 15, 2010
Kerajaan Belum Bersedia
23:35
Persatuan Mahasiswa UKM Sesi 2014/2015