Isnin, Ogos 30, 2010

Krisis Malaysia-Indonesia perlu ditangani segera

Bangi- Mpp Mahasiswa menggesa kerajaan menamatkan segera kemelut antara Malaysia dan Indonesia kerana khuatir kira-kira 6,000 mahasiswa Malaysia di Indonesia menjadi sasaran untuk melepaskan geram.


Hal ini berikutan gerakan anti-Malaysia yang giat dianjurkan oleh Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) di negara itu.

MPP Faiz berkata, kerajaan perlu ke meja rundingan untuk menyelesaikan isu ini.

"Kenyataan pemimpin politik di media hanya akan mengeruhkan keadaan. Media juga tidak wajar ambil kesempatan dengan 'memanaskan' isu bagi melariskan akhbar sedangkan nyawa rakyat Malaysia di sana terus terancam,"kata beliau.

Beliau turut berharap agar pihak polis kedua-dua negara mampu meningkatkan kawalan keselamatan demi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

"Ini bukan ujian pertama. Malaysia dan Indonesia pernah melalui ujian yang lebih getir daripada ini. Justeru, kerjasama kedua belah pihak amat perlu untuk memastikan hubungan diplomatik yang sudah terjalin sekian lama tidak terputus disebabkan isu sebegini,"katanya.

Bendera baru-baru ini dilaporkan berdemonstrasi dan melemparkan najis di kedutaan besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, apabila bahagian penguatkuasa kementerian kelautan dan perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan polis marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.

Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan pada 17 Ogos lalu.