Khamis, April 21, 2011

Pertemuan MPM Aida & Ikram Bersama Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari


Usaha menyuarakan hasrat mahasiswa berkaitan isu kafeteria ke pentadbiran tercapai jua apabila semalam, saya dan Ikram bertemu Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari UKM. Mesyuarat bersama Encik Mansor Shahid, Encik Nazri Putra Ramli dan Encik Kadir Rahmat bermula pada jam 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bendahari, Canselori.


Agenda pertama dimulakan dengan pembentangan analisis soal selidik untuk mahasiswa berkaitan dengan pemantauan kafeteria. Saya turut mengemukakan rekod aduan bagi setiap kafeteria seluruh kampus dalam sesi pembentangan itu.

Berkaitan harga makanan, kebanyakan mahasiswa berpendapat bahawa kadar harga yang ditetapkan oleh para pengurus cafeteria tidak sesuai untuk pelanggan utama mereka yang berstatus pelajar. Hal ini berlaku di cafeteria seperti di Kolej Keris Mas dan Kolej Burhannuddin Helmi. Selain harga makanan yang mahal, harga yang tidak menentu dan bergantung kepada penjaga kaunter turut berlaku terutama di kafeteria Fakulti Sains dan Teknologi dan Kolej Aminuddin Baki.

Berhubung dengan kebersihan makanan, banyak aduan yang dikemukakan adalah berkaitan bahan mentah yang dimasak sudah lama dan rosak seperti yang berlaku di kafeteria Kolej Ibu Zain. Malahan makanan di kafeteria Kolej Dato’ Onn seringkali mengandungi telur lalat. Secara keseluruhannya, kebanyakan kafeteria mempunyai masalah kebersihan makanan dan tempat penyediaan makanan.

Respon dari Encik Mansor Shahid memberitahu bahawa kafeteria seperti Kolej Rahim Kajai dan Kolej Aminuddin Baki yang sudah lama kontraknya akan tamat. Perlantikan tender kafeteria bagi kolej tersebut akan diadakan bagi memenuhi keperluan sesi semester akan datang. Dalam tempoh sebulan dari sekarang, sesi temuduga terhadap syarikat yang berminat akan dijalankan. Kafeteria Kolej Burhanuddin Helmi pula akan ditamatkan kontrak atas permintaan mahasiswa yang menghuni kolej tersebut kerana terlalu mahal. Baru kelmarin pihak Unit Penjanaan membuka kepada mana-mana syarikat yang berminat menggantikan kafeteria KBH yang ada sekarang.

Apabila diajukan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Kolej Keris Mas berkaitan kafeteria mereka, En Mansor memberitahu isu tersebut telah dimaklumkan ke pihak pentadbiran atasan universiti kerana melibatkan syarikat universiti. Manakala kafeteria di Kolej Pendeta Zaaba pula bukan dibidang kuasa Unit Penjanaan tetapi sepenuhnya Syarikat Kauthar.

Pihak Encik Mansor menyambut baik cadangan yang dikemukakan iaitu:

- Penetapan/penyelarasan harga makanan bagi satu tempoh tertentu.
- Penyelarasan pemantauan kafeteria oleh Unit Penjanaan dan Pusat Kesihatan untuk penggredan kafeteria.
- Soal selidik pemantauan kafeteria secara online untuk liputan menyeluruh dan membumi

En Kadir Rahmat merasakan pertemuan sebegini perlu lebih kerap demi menambahbaik dan memastikan kafeteria menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Katanya lagi, pihak Unit Penjanaan sangat berbesar hati menerima kunjungan dan ide pandangan dari mahasiswa.

Tidaklah usaha ini terhenti di sini, bahkan akan berjalan tanpa henti. Cuma mengharap sokongan dan dokongan dari rakan-rakan mahasiswa.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI