Isnin, April 25, 2011

NewsPortal : Program Khas UKM Untuk Sedia Siswa Ke Medan Kerjaya






Oleh : Kuah Guan Oo

BANGI, 25 April, 2011 – Seperti menghiaskan kek sebelum dipasarkan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengatur mengadakan satu program khas bagi menyediakan siswazahnya menghadapi medan kerjaya.

Program Kebolehan Siswazah (GAP) ini adalah suatu kursus 17 hari untuk membimbing hampir 500 pelajar melalui pelbagai modul menyedarkan peserta terhadap potensi serta kekuatan dan kelemahan mereka supaya dapat memenuhi apa yang diharapkan majikan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Saran Kaur Gill berkata program itu yang akan berlangsung pada  9 - 25 Mei ini adalah yang julung kali diperkenalkan UKM untuk pelajar tahun akhir dan tahun ke-3, termasuk sebilangan siswazah yang masih menganggur.

“Pelajar sebelum ini menumpukan perhatian penuh terhadap pelajaran dan peperiksaan mereka dan kini difikirkan mereka perlu disediakan dengan kebolehan untuk menghadapi medan kerjaya dan kehidupan sebenar di luar kampus,” katanya di sini.

GAP adalah sebahagian projek “1Million 1IPTA” yang dicadangkan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempertingkatkan peluang siswazah universiti awam mendapat pekerjaan. Program itu akan dikendalikan oleh Scicom Academy, cabang latihan Kumpulan Scicom.

Antara objektif GAP ialah untuk melengkapkan para peserta  dengan kemahiran professional di tempat kerja, memahami apa yang diperlukan majikan untuk memberikan khidmat cemerlang, meningkatkan kebolehan mereka untuk berfikir dan melengkapkan diri dengan logik serta meningkatkan  kebolehan mereka untuk pasaran. 

Modul-modul latihan berjumlah 70 jam itu yang dijalankan di dewan kuliah UKM, akan menitikberatkan tiga tema:  kecerdasan emosi, mengantarabangsakan para pelajar dan kemahiran di tempat kerja. Di samping itu, para pelajar itu akan diberi 20 jam pelajaran Bahasa Inggeris yang akan disampaikan dalam bentuk jambori.

Prof Saran berkata pengelola GAP itu telah membantu pegawai UKM merekrut pelajar dan sehingga 20 April, 2011, seramai 488 pelajar telah mendaftar untuk program itu.


“Bagi menilai kesan program terhadap kemajuan individu, ujian sebelum dan selepas GAP akan dijalankan ke atas para peserta. Harapan kami ialah latihan itu akan memberi faedah dan meningkatkan kualiti pelajar kami,” katanya.