Jumaat, April 08, 2011

MAJLIS RAMAH MESRA YB. MENTERI PENGAJIAN TINGGI BERSAMA MPP IPTA


Kuala Lumpur, 8 April - Seramai 9 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM telah mewakili barisan MPP UKM seluruhnya ke Majlis Ramah Mesra YB Menteri Pengajian Tinggi bersama MPP IPTA sesi 2010/2011 bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. 

Majlis ini mengumpulkan wakil-wakil MPP dari seluruh Malaysia yang bertujuan untuk mendengar ucapan Dato’ Seri Khaled Nordin di samping dapat bertukar-tukar pendapat serta idea bersama-sama dengan MPP daripada universiti yang lain. Delegasi daripada UKM yang berjumlah seramai 9 orang  ini diketuai oleh Presiden PMUKM iaitu Saudara Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh wakil MPP daripada UUM diikuti dengan makan malam. Kemudian ucapan daripada Jurucakap Jemaah YDP MPP daripada UTM dan seterusnya ucapan YB Menteri Pengajian Tinggi. 

Dalam ucapan Dato’ Seri Khaled Nordin ini, beliau menyatakan bahawasanya mahasiswa harus belajar untuk berfikir secara analitikal dan kritikal dalam mengharungi cabaran masa kini. Beliau juga sependapat dengan saudara YDP MPP UTM berkenaan dengan penganjuran Konvensyen Parlimen Mahasiswa Kebangsaan, yang mana akan berlangsung pada bulan Jun ini di USM yang bertindak sebagai tuan rumah.