Ada suatu yang menggamit hati ini untuk kembali menitip di
blog rasmi PMUKM. Khususnya buat hari Ulangtahun ke-42 tahun UKM ditubuhkan,
maka diri ini terpanggil untuk menulis walaupun tidak seberapa.
Ramai yang bertanyakan kepada saya berkenaan perjalanan
PMUKM pada penggal ini. 'Kelihatan sudah kehabisan tenaga kepimpinan PMUKM kali
ini' komen sebilangan rakan-rakan terdekat saya.
Ada benar, dan ada yang tidak benar premis tersebut.
MPP GMUKM bersedia menangi PMUKM sekali lagi ?
Acapkali jika ditanya kepada front Gabungan Mahasiswa UKM
atau sinonim di kalangan mahasiswa UKM dengan nama GMUKM, maka sudah pasti
dengan yakinnya kalimat 'Kita sedia menangi PMUKM sekali lagi!' . Ironinya,
sejauhmana kemenangan dan kejayaan GMUKM dirasai seluruh warga UKM.
Secara sinisnya, tiada apa yang mampu dilakukan oleh
mana-mana MPP dengan DAN tanpa campur tangan pihak atasan. Pengalaman hampir
sepenggal saya menjadi MPP membenarkan. Sekiranya kita selaku MPP tidak menjalinkan
hubungan baik dengan kakitangan pentadbiran, maka sedikit sebanyak urusan PMUKM
agak tergendala.
Sinis juga memikirkan senario politik di kalangan beberapa
pihak sama ada di pejabat utama pentadbiran mahupun di fakulti-fakulti lain.
Benar, sewajarnya kita di perbukitan ilmu, mengapa perlu disekat-sekat, perlu
ada karenah birokrasi yang melampau? "Ada malaikat menyulam jaring
labah-labah belang di tembok keraton putih. Kenapa tidak kau goyangkan saja
locengnya, biar terdera.."
Maka saya secara peribadi, berbekal sedikit pengalaman
bekerja bersama-sama pasukan GMUKM-PMUKM berasakan wajar dan wajib karenah
birokrasi dihapuskan terlebih dahulu di dalam kampus; sama ada di tahap kabinet
PMUKM sendiri, sehinggalah kepada urusan di pejabat Naib Canselor. Itu yang
pertama harus diberi perhatian sekiranya mahu tiga paksi utama GMUKM;
Kebajikan, Keintelektualan dan Penghayatan Falsafah UKM dapat ditegakkan.
UKM - 42 tahun meniti usia matang
Saya sempat melihat kembali artikel yang dikeluar genap
setahun yang lalu oleh saudara Setiausaha Agung PMUKM sesi 2010-2011, Mohamad
Ezuan Mohd Saad dan komentar daripada saudara Presiden sendiri selang dua hari
selepas itu berkenaan UKM.
Tidak perlu saya titipkan di sini sejarah panjang bagaimana
UKM ditubuhkan. Cukup saya rumuskan, penubuhan UKM bukan semudah kita membuka
sebuah tadika mahupun sebuah pra-sekolah, tetapi ia lahir dari jerih payah
generasi terdahulu yang wajar kita hayati dan hadami sebuah perjuangan yang
luhur.
Nama-nama besar seperti Pendeta Za'ba, Ungku Omar, Ibrahim
Yaakub, Ibu Zain dan lain-lain yang kemudiannya diberi penghormatan menjadi
nama-nama kolej kediaman (dahulu dikenali kampung siswa - KAMSIS) kini tetap
malar hijau di bibir-bibir mahasiswa; sementelah mereka kerap menyoal, "Kolej
mana kau tinggal? "
Seandainya nama-nama tokoh besar tersebut masih bernyawa
hari ini, pasti mereka berbangga, nama-nama mereka masih diingati oleh generasi
semasa biarpun sejarah asal-usul perjuangan mereka agak kabur.
A'la kuli hal, apa pun wajar kita hari ini, 18 Mei 2012;
genap 42 tahun UKM ditubuhkan, kita sama-sama menyedekahkan bacaan Al-Fatihah
kepada pejuang-pejuang terdahulu kerana tanpa jerih payah mereka, mungkin hari
ini sebuah Universiti berkonsepkan kebangsaan mungkin masih belum terbina.
Juga bagi rakan-rakan mahasiswa, tidak kira di mana jua kini
sedang berada; sematkan di dalam diri untuk kita bersatu hati BERSAMA MAHASISWA
MEREALISASI VARSITI
p.s : Al-fatihah.
AIDA RAHAYU BINTI MOHD BADRI
Pengerusi Biro Informasi & Penerangan
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Sesi 2010-2011
BACA BERSAMA :