Kebolehpasaran mahasiswa/i
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan agenda utama pihak pentadbiran
yang dapat dicapai melalui pembentukan kemahiran insaniah, di samping pencapaian
akademik yang cemerlang.
Pentadbiran UKM telah merangka
dan melaksana sistem-sistem yang bertujuan untuk membentuk kemahiran insaniah
dalam kalangan mahasiswa/i UKM. Bermula dengan Sistem Penilaian Kompetensi
Generik (SPKG) sebagai nilai tambah bagi sistem kokurikulum sedia ada di bawah
kendalian Pusat Perkembangan Pelajar (PPP).
Pelaksanaan sistem kokurikulum
HHHX bermodelkan SPKG sebagai ganti kepada sistem SPKG yang dilihat tidak
memenuhi kehendak mahasiswa/i UKM. Keadaan mahasiswa/i UKM yang dinamik
memerlukan pihak pentadbiran untuk lebih bekerja keras bagi merangka sistem
baru.
Pusat Akreditasi Pembelajaran
(PAP) telah diwujudkan bagi menggantikan PPP. PAP telah diberi kepercayaan oleh
pentadbiran UKM bagi merangka dan melaksana satu lagi sistem pembentukan
kemahiran insaniah. Awal 2011 telah menyaksikan wujudnya sistem kokurikulum
berkredit berasaskan kontrak pembelajaran, HHHC 9118 Kemahiran Insaniah (LC)
sebagai ganti kepada sistem HHHX.
Satu garis panduan LC yang lebih
tersusun bagi memudahkan pelajar melaksanakan sistem LC telah diterbitkan pada
Julai 2011. Kesungguhan pihak pengurusan PAP dapat dilihat dengan wujudnya
sistem atas talian (online), Portal Sistem Pembangunan Insaniah (SPI) bagi
memudahkan pelajar berurusan dengan pihak pengurusan PAP.
Satu pertemuan singkat Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) Ahmad Muzzammil bin
Muhd Hairi bersama Pengarah PAP, Prof Madya. Dr Khaidzir Hj Ismail. Pertemuan pada
jam 5 petang (9 Mei 2012) tersebut turut disertai Timbalan Pengarah PAP (Penilaian &
Pengiktirafan), Dr Hj Jumali Hj Selamat.
Persatuan Mahasiswa Universiti
Kebangsaan Malaysia (PMUKM) sentiasa menyokong penuh segala usaha yang
dilaksanakan pentadbiran UKM ke arah pembentukan mahasiswa/i yang cemerlang.
Sebagai badan penghubung antara mahasiswa/i dengan pihak pentadbiran, PMUKM
telah menerima beberapa aduan daripada mahasiswa/i yang mengalami masalah
berkenaan pelaksanaan sistem LC. Antara masalah yang dibangkitkan adalah sistem
atas talian Portal SPI yang tidak mesra pengguna dan penetapan jam kredit bagi
program mahasiswa/i yang berubah-ubah dan tidak jelas.
Sehubungan itu, beberapa buah
pandangan serta penjelasan diberikan oleh pihak PAP berhubung masalah tersebut.
Kebanyakan mahasiswa mempunyai masalah dengan SPI yang baru diperkenalkan awal
tahun ini. Pihak PAP memberi respon terhadap perkara tersebut kerana melihat
atas faktor masalah teknikal. Sistem ini masih baru, peringkat awal
perlaksanaan memerlukan kesabaran.
Pihak PAP juga turut berpesan
agar usah menghukum terlalu awal, perlu diteliti sistem yang dilaksanakan. PAP
turut menekankan bahawa sistem LC ini sangat menarik dan memberi kelebihan yang
besar kepada segenap mahasiswa. Jumlah 8 jam kredit tersebut adalah sangat
besar jika dibandingkan dengan sistem kokurikulum yang ditawarkan oleh
universiti lain.
Selain itu, tujuan sistem LC
dilaksanakan adalah dalam memberi peluang kepada pelajar untuk merangka dan
melaksana program mengikut acuan mereka. Setiap program yang dilaksanakan
maksimum jam kredit diluluskan adalah 4 jam kredit. Hal ini kerana, PAP ingin
memberi peluang dan ruang kepada mahasiswa/i untuk mengendalikan
sekurang-kurangnya 2 program sepanjang pengajian.
Tindakan PMUKM ini jelas
membuktikan bahawa PMUKM sentiasa berurusan secara profesional dengan pihak
pentadbiran UKM amnya. Pengarah PAP sendiri mengakui kelemahan yang wujud dalam
sistem yang dilaksanakan secara berperingkat dan masih lagi di fasa pengukuhan.
Walaubagaimanapun, PAP turut
berinisiatif dalam menjelaskan pelaksanaan
perjalanan sistem LC ini dengan hadir ke kolej-kolej dan
fakulti-fakulti, bersemuka dengan mahasiswa/i UKM. Namun, penambahbaikan yang
sering berlaku terhadap sistem ini memerlukan kepada penerangan dan penjelasan
yang berterusan kepada mahasiswa/i UKM.
Bagi menjayakan hasrat dan usaha
murni UKM, PMUKM sentiasa bersedia untuk menjadi ejen penerangan kepada
mahasiswa/i. Diharapkan dengan bantuan PMUKM, sistem yang dirangka lebih
membumi kepada mahasiswa/i UKM.
Sebarang masalah yang berkaitan atau pun komen, kritikan mahupun
cadangan boleh diajukan terus di emel : pmukm1011@gmail.com atau di Fb :
PMUKM 2010/2011 (MPP UKM).
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti.