Isnin, Mei 28, 2012

Cadangan Himpunan Jutaan Belia Terus Diadakan Dikemuka Ke Kabinet


PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet agar penganjuran Himpunan Jutaan Belia diteruskan di sini tahun depan, bagi menyerlahkan kesepakatan golongan muda melaksanakan aktiviti kreativiti mereka.


Ahmad Shabery berkata beliau sangat berpuas hati dengan sambutan hari belia tahun ini dan menganggap tiada kota besar lain sebaik Putrajaya, yang merupakan bandar mesra belia, dapat menganjurkan Himpunan Jutaan Belia seumpamanya.

"Kita percaya penganjuran karnival ini akan membangkitkan semangat golongan muda dan cinta pada Putrajaya sekaligus meneruskan kejayaan negara yang ada sekarang," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat media di sini.

Ahmad Shabery berkata penganjuran Himpunan Jutaan Belia, yang diadakan sempena Hari Belia Negara, turut disertai pelancong antaranya dari Thailand, Singapura dan Jepun yang turut terlibat dalam program-program yang diadakan.

Beliau berkata daripada 500 aktiviti yang diadakan sepanjang lima hari karnival itu, hampir keseluruhan kejayaan penganjurannya adalah hasil daripada kreativiti golongan muda.

-- BERNAMA