Khamis, Mei 10, 2012

Kenyataan Media Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)


Isu keterlibatan mahasiswa dalam politik kepartian khususnya di arena politik tanah air mendapat liputan yang sangat meluas, khususnya selepas isu penahanan 4 orang pelajar UKM ketika kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangar sebelum ini. Perbicaraan terhadap keempat – empat pelajar tersebut menyaksikan mereka memenangi kes di mahkamah, kerana berjaya mewujudkan keraguan terhadapa Perkara 15 AUKU, dengan Perlembagaan Malaysia.

Kesinambungan daripada isu tersebut, mahasiswa mula menunjukkan kebangkitan untuk menuntut hak mereka, apabila mereka secara lansung dapat menyaksikan bahawa selama ini hak mereka dinafikan oleh suatu klausa di dalam AUKU, yang menyaksiakan percanggahan antara AUKU dengan Perlembagaan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, pada bulan Mac sehingga April yang lalu, perbahasan panjang mengenai perkara ini diparlimen telah berlansung, yang menyaksikan akhirnya AUKU telah dipinda, dan halangan kepada mahasiswa untuk berpartisipasi dalam politik kepartian, akhirnya berjaya dipinda. Perenggan 15 (2)(c) telah digugurkan yang mana sebelum ini melarang untuk mana – mana pelajar daripada bertanding bagi atau memegang apa – apa jawatan dalam mana – mana persatuan, pertubuhan, badan , atau kumpulan pelajar di dalam kampus, sekiranya memegang sesuatu jawatan dalam sesebuah parti politik.


Perkara ini kemudiannya telah diluluskan dan dinyatakan dalam ucapan penggulungan perbahasan rang undang – undang tersebut oleh Menteri Pengajian Tinggi di Parlimen baru – baru ini. Namun, demi untuk mengekalkan kesuburan akademik dan memastikan Universiti kekal sebagai pusat perkembangan ilmu, maka tegahan dan larangan untuk mana – mana parti politik luar untuk masuk kedalam kampus tetap dikekalkan. Hanya pelajar yang dibenarkan melibatkan diri dengan politik kepartian di luar kampus, bukannya parti politik luar yang masuk kedalam kawasan kampus universiti.

Namun, pihak PMUKM agak terkejut, kerana setelah undang – undang ini digazetkan, ia seolah – olah dipandang enteng dan diambil mudah oleh sesetengah pihak berkaitan isu ini. Hal ini kerana, bertarikh 8 Mei 2012, PMUKM telah menerima jemputan rasmi daripada UMNO Malaysia, yang dinamakan kepada EXCO MPP PMUKM untuk menghadiri Majlis Sambutan Hari UMNO ke – 66 pada 11 Mei 2012 (Jumaat), pada jam 7:00 petang bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sri Petaling, Kuala Lumpur. 

Perkara ini dipandang dengan serius, kerana tindakan terbuka UMNO Malaysia ini dilihat dengan angkuhnya menghina Perlembagaan Malaysia, kerana melakukan tindakan yang membelakangi perlembagaan yang telah disahkan di parlimen. Seperti yang dinyatakan diatas, tegahan dan larangan untuk mana – mana parti politik untuk masuk kedalam mana – mana kampus, masih dikekalkan.

Timbul sedikit persoalan dari pihak kami berkenaan surat jemputan ini, adakah pindaan undang – undang AUKU ini hanya sekadar kosmetik untuk menarik sokongan anak muda, atau ada agenda tertentu, khususnya menjelang pilihanraya umum yang akan berlansung hanya beberapa ketika daripada sekarang. Maka untuk mengukuhkan dakwaan ini, kami lampirkan bersama bukti surat jemputan tersebut seperti di bawah ini :



Justeru, kami memohon agar pihak Universiti Kebangsaan Malaysia khususnya, dan seluruh universiti di Malaysia amnya untuk tidak bersikap sambil lewa dan hanya memandang sebelah mata, apabila sesuatu isu itu berkaitan dengan pihak tertentu, akan tetapi cepat melatah apabila isu atau perkara yang datang dariapda pihak yang lain. Maka dalam kondisi meraikan tuntutan mahasiswa untuk menyuarakan hak, janganlah ianya dicemari dengan tindakan kotor pihak tertentu, yang menghalalkan segala apa yang mereka inginkan tanpa mengikut garis panduan dan ketetapan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Selaku wakil kepada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, PMUKM menyatakan pendirian untuk tidak terlibat samada menghadiri atau menyatakan sokongan kepada Sambutan Hari UMNO ke – 66 ini, kerana jemputan yang diberikan ini jelas menunjukkan wujudnya tindakan langsung daripada pihak UMNO, iaitu parti politik luar untuk masuk kedalam kampus dengan sesuka hati, tanpa mempedulikan kedaulatan Perlembagaan Malaysia yang menegah tindakan tidak beretika ini. 

Andai ada pihak yang ingin menghadiri program ini atas kapasiti peribadi, itu adalah keputusan individu dan masih selari dengan apa yang diperuntukkan dibawah perkara 15 AUKU, namun apabila adanya jemputan secara rasmi daripada pihak UMNO kepada Exco MPP PMUKM, ini jelas bercanggah dengan AUKU, dan mencemarkan reputasi UKM sebagai sebuah lubuk ilmu yang bebas daripada pengaruh mana – mana parti politik luar.

Sebagai kesimpulan, kami mendesak respon segera daripada Pihak Pentadbiran UKM, khususnya Naib Canselor UKM dan Menteri Pengajian Tinggi, berkaitan isu ini, demi membersihkan imej UKM daripada sebarang pengaruh anasir kotor daripada parti politik luar. Andai perkara ini terus didiamkan dan tindakan membisu dariapda pihak yang bertanggungjawab, maka jelas, pindaan AUKU dan segala bentuk perkara yang berlaku sebelum ini adalah sekadar retorik politik, yang penuh dengan kepalsuan dan tipu daya.

Mohon reaksi segera daripada pihak yang berkaitan. Sekian.
Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi
Presiden Persatuan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2010/2011.

Sumber : http://mediaperak.com/2012/05/10/umno-kerah-mahasiswa-ke-himpunan-raksaksa-11-mei/ 

Bersama Mahasiswa, Merealisasi Varsiti