Isnin, Mei 21, 2012

Negara-negara Asia Perlu Kongsi Maklumat Perubahan Iklim


Negara-negara Asia Perlu Kongsi Maklumat Perubahan Iklim



Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Gambar oleh Shahiddan Saidi


BANGI, 14 Mei 2012 - Negara-negara Asia harus bekerjasama berkongsi maklumat bagi menangani masalah bencana alam yang berkaitan dengan perubahan iklim, kata seorang pakar iklim antarabangsa dari Universiti Cambridge.

Profesor Julian Hunt memberitahu suatu forum perubahan iklim dan malapetaka alam di sini hari ini bahawa tahap pembangunan negara-negara Asia jelas menunjukkan banyak pihak kurang mampu untuk menghadapi bencana alam secara bersendirian.

Prof Hunt, yang juga felo Pusat Kajian Komanwel Malaysia, berkata berkongsi maklumat mengenai cuaca dan arus samudera merupakan dua cara yang dapat membantu kebanyakan negara.

Bagaimanapun, kata beliau, usaha demikian tidak mencukupi sekarang sepertimana yang disaksikan ketika bencana Tsunami pada Disember 2004 yang telah mengakibatkan kematian sehingga 30,000 orang di kawasan Asia Tenggara dan India.

Beliau berkata sesuatu negara yang maju patut membantu jiran yang kurang mampu jika ribut taufan atau ombak besar dapat dikesan awal.

Prof Hunt telah memberi pandangannya dalam sebuah forum di UKM di sini yang dianjurkan Institut Kajian Bencana Alam UKM ( SEADPRI-UKM).



SEADPRI-UKM diutubuhkan pada Jun 2008 bagi menjalankan penyelidikan yang bersifat holistik berkaitan bencana alam meliputi skop wilayah yang global bagi membantu kerajaan untuk membuat keputusan dasar mengenai bencana iklim, bencana geologi dan bencana teknologi.

Forum diacarakan oleh Timbalan Pengarah SEADPRI-UKM Prof Dr Joy Jacqueline Pereira, Felo Utama dan pensyarah di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM.

SEADPRI-UKM juga meningkatkan modal insan dan kemampuan tenaga kerja di peringkat tempatan, negara dan antarabangsa khususnya Asia Tenggara.

Profesor dari Universiti Cambridge itu menyarankan suatu rangkaian mampat ditubuhkan bagi memudahkan tugas dan menjalankan kerja secara bersepadu untuk menghadapi bencana alam.

Beliau menyifatkan tahap perkongsian maklumat sekarang sebagai kurang memuaskan kerana masalah perbezaan pendapat politik dan budaya.

Umpamanya, hubungan dingin antara Mexico dan Amerika Syarikat menyebabkan data penting mengenai kawasan perairan dan sungai di kawasan sempadan bersama mereka yang diperolehi Amerika tidak disalurkan kepada jiranya itu.

Ini, kononnya, kerana Amerika khuatir maklumat itu akan diguna oleh penyeludup dadah atau pengganas.

Prof Hunt juga mendakwa ada syarikat gergasi di Amerika yang dapat memantau keadaan alam sekitar atau perubahan iklim tetapi merahsiakan maklumat supaya mereka boleh mengunanya untuk bersaing dalam pasaran dunia.

Mereka ini, biasanya syarikat-syarikat makanan cuba manipulasi harga komoditi seperti kopi, teh, gandum dan jagung untuk  meraih keuntungan besar dalam pasaran antarabangsa.

Mereka menguna alasan kononnya maklumat itu sensitif dari segi keselamatan negara.

Menjawab soalan dari Portal Berita UKM, Prof Hunt menolak dakwaan kononnya kepanasan dunia dan perubahan iklim tidak dapat dibuktikan.

Beliau tegas mengatakan banyak bukti dilihat dalam tempoh 40 tahun lalu. Mereka yang mencurigai fenomena itu hanya guna data purata suhu permukaan laut dan ini tidak memadai.

Lebih penting lagi, suhu di dasar laut semakin naik, khasnya di kawasan tropika.

Beliau berkata walaupun memang benar tiada perubahan ketara suhu permukaan laut, tetapi perbezaan ketara dilihat bagi suhu bumi dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.

Perubahan iklim boleh berlaku pada rantau tertentu, atau seluruh bumi. Perubahan itu boleh berpunca daripada proses dinamik di bumi dan daya luaran termasuk kelainan pada kepanasan cahaya matahari dan juga dari kegiatan manusia.

Sumbangan manusia ini termasuk peningkatan tahap gas yang memerangkap haba (gas rumah hijau) seperti karbon dioksida di atmosfera bumi. Satu cara manusia menyumbang kepada gas rumah hijau adalah dengan membakar bahan api.

Adalah penting, kata pakar iklim itu, untuk menubuhkan sistem rangkaian ahli sains dalam Asia bagi menangani masalah demikian.

Beliau yakin masyarakat umum akan terima hakikat perubahan iklim dan pemanasan dunia jika banyak negara mengambil inisiatif secara bersepadu. Jika satu-satu negara sahaja yang ambil berat, orang ramai tidak akan memberi pandangan serius terhadapnya.

Prof Hunt berpengalaman 40 tahun dalam kajian iklim dan cuaca. Beliau adalah Profeser Emiritus Pemodelan Iklim di Jabatan Sains Bumi dan Profesor Matematik Kehormat di University College London.

Beliau adalah Felo di Trinity College Cambridge dan Prof Kehormat Jabatan Matematik dan Fizik Teori, University of Cambridge.

Beliau juga pernah manyandang jawatan Ketua-Pengarah dan Ketua Eksekutif Pejabat Kajicuaca Britain dari 1992-1997.