Rabu, Mei 09, 2012

Usaha UKM Membiak Kelip-Kelip

Oleh Norafandi Muhamad Zazli, Pelajar Latihan Industri UKM
Foto Abdul Razak Hussin


 





KUALA SELANGOR, 4 Mei 2012 – Berbagai aktiviti telah diusahakan UKM di sini untuk memulihara dan menentukan kelip-kelip yang berada di sini akan terus membiak.

Salah satu programnya adalah dengan syarikat Tenaga Nasional Berhad Research (TNBR) untuk membiakkan kelip-kelip itu melalui program menanam pokok berembang di sini.

Projek ‘Penanaman Berembang Untuk Konservasi Kelip-Kelip Bersama Komuniti’ telah dilancarkan di sini Ahad lepas oleh Prof Dr Mohamad Deraman dari Fakulti Sains dan Teknologi mewakili Naib Canselor UKM yang berharap penduduk kampung turut memainkan peranan menjaga kebersihan sungai agar ekosistem di situ tidak tercemar.

Beberapa aktiviti lain telah juga dijalankan di bawah projek itu termasuk mewujudkan Skuad Kelip-kelip untuk mengadakan dialog dengan penduduk kampung mengenai pemuliharaan kelip-kelip.



Skuad Kelip-kelip berperanan memberi tunjuk ajar kepada penduduk kampung bagaimana hendak menyemai dan menanam pokok berembang di tebing sungai. Pembiakan pokok berembang penting dalam usaha membiakkan kelip-kelip kerana ia menjadi sarang telur serengga itu.

Sebuah lagi badan, Skuad Cintai Sungai terdiri daripada golongan pemuda Seri Asahan telah ditubuhkan untuk memantau pemuliharaan sungai itu supaya pokok berembang yang ditanam akan membiak.

Naib Presiden Hal Ehwal Korporat TNB, Puan Adelina Iskandar berkata projek itu diharap dapat mewujudkan kesedaran serta pengetahuan terhadap pemuliharaan alam sekitar di kalangan orang ramai.

Program demikian akan juga membantu meningkatkan taraf kehidupan dan sosio ekonomi penduduk kampung di sekitar Pusat Pelancongan Kelip-kelip terutamanya para pendayung sampan yang masih lagi aktif.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Puan Hajah Noraini bt Roslan; Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Mohammad Yaakob bin Hj. Ismail; Pengarah Lembaga Air Selangor, Haji Md. Khairi bin Selamat dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran, En. Safii bin Ramli turut hadir di upacara itu.