Rabu, Mei 02, 2012


CESMED Wadah Membina Minda Usahawan   


         Usahawan pemangkin kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Kemampuan untuk mencipta peluang pekerjaan kepada individu lain dan seterusnya dapat membantu untuk mengurangkan masalah pengangguran negara adalah satu kejayaan yang tidak dapat disangkal.

            Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berpendidikan tinggi, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)  memberikan sokongan penuh kepada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED) Universiti Kebangsaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Prof.Dr.Mohd Fauzi Jani untuk membudayakan minda usahawan dalam kalangan mahasiswa melalui program-program yang dijalankan.

         Antara program keusahawanan yang telah dianjurkan oleh PMUKM adalah Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya 2011,dimana program anjuran Biro Keusahawanan dan Kerjaya ini dibuat melalui perbincangan bersama dengan pihak CESMED sendiri. Perbincangan bersama Encik Padlee Akirul selaku Pengurus Pembangunan EKS dan Inkubasi Niaga CESMED menunjukkan kesungguhan pihak PMUKM untuk memperkasakan keusahawanan di UKM. Hal ini dapat dibuktikan melalui berjayanya objektif program untuk menanam minda usahawan dalam kalangan para peserta yang terdiri daripada pelbagai fakulti.

            Selain itu, program-program yang dianjurkan oleh CESMED seperti Lab Minda Usahawan, Kursus Asas Keusahawanan, ‘Business Plan Competition 2011’ dan lain-lain program sebenarnya lebih membuka minda mahasiswa tentang peluang yang ada bagi mereka menceburkan diri dalam bidang usahawan.

            Akhir kata, kami di pihak PMUKM menyokong segala program yang dijalankan oleh CESMED yang dipengerusikan oleh Prof.Dr.Mohd Fauzi Jani untuk meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa. Semoga CESMED terus maju untuk memberi kesedaran terhadap mahasiswa tentang kepentingan keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara.

“ Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti ”

Nurazidah Binti Mashan
Bendahari Kehormat dan Pengerusi Biro Keusahawanan dan Kerjaya
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia 2010/2011