KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia merasai gegaran ekoran gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter di Acheh, Sumatera Utara Indonesia pada Rabu.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.
Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang.
Beliau berkata pihak bomba dari lima balai di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bergegas ke beberapa kawasan yang merasai gegaran itu selepas menerima maklumat dari orang ramai.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 4.47 petang mengenai gegaran yang dirasai di beberapa tempat seperti Ampang dan Jalan Tun Razak.
Dalam pada itu, warga kerja di bangunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut merasai gegaran yang berlaku selama kira-kira 10 minit.
Di KANGAR, gegaran kecil turut dirasai di beberapa lokasi di Perlis, antaranya di Flat Seri Sena di Kampung Bakau yang menyebabkan penghuni flet 12 tingkat itu meninggalkan kediaman mereka dan berkumpul di tempat letak kereta bangunan itu.
Petugas di Bangunan KWSP yang turut menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut merasai gegaran kecil selama beberapa minit.
Di SELANGOR, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima lebih 30 panggilan daripada orang awam berhubung gegaran yang mereka dirasai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan pertama pada 4.48 petang daripada orang awam di sekitar kawasan Ampang.
"Panggilan turut diterima daripada penduduk awam di Kajang, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Shah Alam, Semenyih, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Pandan dan Damansara," katanya ketika dihubungi Bernama.
Di PULAU PINANG Dua gegaran dirasai sekitar George Town, Balik Pulau, Bayan Lepas, Batu Feringghi, Teluk Bahang, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Nibong Tebal.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menasihati pengunjung supaya tinggalkan kawasan pantai manakala nelayan diminta agar tidak turun ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Tinjauan Bernama di sekitar pusat bandar mendapati orang ramai yang berada di pusat beli belah seperti Komtar, Prangin Mall dan 1st Avenue bertindak mengosongkan premis apabila merasai gegaran selama lima minit itu.
Tinjauan di Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi pula mendapati anggota keselamatan iaitu polis serta bomba menjalankan rondaan manakala kawasan pantai lengang.
DI KEDAH Gegaran dirasai penduduk di sekitar Alor Setar, Langkawi, Kulim dan Baling.
Tinjauan Bernama di Alor Setar mendapati orang ramai berkumpul di luar bangunan sebaik merasai gegaran itu.
Petugas Bernama di pejabat Biro Kedah turut merasai gegaran selama hampir dua minit bermula kira-kira 6.45 petang.
Di Langkawi, kakitangan dan tetamu hotel bergegas keluar sebaik gegaran dirasai manakala Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) mengarahkan pelancong supaya menghentikan semua aktiviti di laut.
Ketua Balai Bomba Langkawi Yaakob Hassan berkata pihaknya belum menerima aduan mengenai kejadian yang tidak diingini ekoran gegaran tersebut namun bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk.
Di PERAK Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan antaranya Parit Buntar, Kamunting, Ipoh, Seri Manjong, Bidor, Bagan Serai dan Teluk Intan.
Di JOHOR Gegaran dilaporkan di Hotel Puteri Pacific Hotel dan flat Seri Impian di Johor Baharu dan Hotel Katerina di Batu Pahat.
Di TERENGGANU Beratus-ratus penghuni flat Ladang Gemilang di Kuala Terengganu bergegas menyelamatkan diri apabila kediaman mereka bergegar pada 4.30 petang.
-- BERNAMA