Khamis, April 05, 2012

Pengerusi LPU baru : PMUKM Ucap Tahniah

BANGI 2 April 2012 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti di dua universiti penyelidikan, Universiti Kebangsaan (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah bertukar tempat dan posisi mereka.

Profesor Emeritus Dato’ Ir Dr Mohamad Zawawi bin Ismail telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang baru secara rasmi pada 1 April 2012.



Perlantikan ini dilaksanakan dengan peralihan kuasa daripada Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan yang berpindah ke USM, juga sebagai pengerusi di sana. Selain itu, Prof Zawawi juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Inti Universal Holdings.

Prof Zawawi pernah sinonim dengan UKM dan situasi ini bukan sesuatu yang baru kepadanya. Beliau pernah berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan pada tahun 1989 dan juga Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada tahun 1991.

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) mengucapkan tahniah diatas perlantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang baru.

PMUKM menyokong sepenuhnya kehadiran Prof Zawawi di UKM serta niat murni beliau dalam menyumbang segala pengalaman yang dikumpul sepanjang bekerja di sektor awam mahupun swasta. Pendapat beliau mengenai keperluan untuk mewujudkan suasana kondusif dalam kalangan tenaga kerja adalah sesuatu yang sangat dihargai.

Hal ini kerana, keselarasan dalam bergerak kerja serta keberkesanan sesuatu komunikasi dalam kalangan ahli sesebuah organisasi mampu membuahkan hasil yang berprestasi tinggi. Organisasi berprestasi tinggi ini sangat diperlukan dan wawasan yang jelas perlu disampaikan agar terus memberi inspirasi kepada seluruh tenaga kerja.

PMUKM berharap agar prestasi UKM bukan sahaja terus gemilang di peringkat nasional, namun keharuman nama UKM di persada antarabangsa tetap hangat menjadi perbualan.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI