Khamis, April 05, 2012

PMUKM lancar Ops Kunci

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) terus dibanjiri aduan mengenai isu keselamatan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Belakangan ini, kes kehilangan motorsikal mahasiswa UKM semakin menjadi-jadi.

Sudah tentu perkara ini menjejaskan semangat serta kepercayaan mahasiswa UKM terhadap sistem keselamatan yang sedia ada. Tambahan pula, kesibukan dalam mengulangkaji pelajaran, ditimpa pula dengan berita ini, pasti mengorbankan rasa tenang di hati. PMUKM melahirkan rasa simpati terhadap mangsa kecurian serta kecewa dengan aktiviti yang tidak bermoral ini. 


Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga, PMUKM menyeru kepada mahasiswa UKM sekalian untuk memperkasakan sistem keselamatan kendiri. Dalam pada itu, tindakan awal sedang dilaksanakan oleh PMUKM dalam mendepani isu keselamatan ini. PMUKM sedang mengumpul maklumat secara terperinci, serta meneliti segala aduan yang diterima terutama isu kehilangan dan kecurian harta benda. 

Pada jam 12.00 tengah hari ini, (5 April 2012), PMUKM akan melancarkan Ops Kunci semasa sesi speaker corner di pusanika. Usaha ini adalah langkah berjaga-jaga serta memberikan kesedaran kepada warga kampus mengenai kepentingan keselamatan barang peribadi.

Ops kunci ini akan dilancarkan oleh Presiden PMUKM, Ahmad Muzammil Bin Mohd Hairi beserta barisan kepimpinan yang lain. Ops kunci adalah agenda bersama. Justeru, PMUKM menyeru kepada seluruh warga kampus agar bersama dalam memastikan perlaksanaan Ops Kunci ini berjaya.

Penekanan Sepanjang Cuti Pertengahan Semester

Hujung minggu ini, sebahagian besar mahasiswa UKM akan pulang ke kampung halaman, serta meninggalkan beberapa barang peribadi di bilik kediaman masing-masing. Sama ada yang tinggal di luar kampus mahupun di dalam kampus.

Kepentingan keselamatan barang peribadi ini bermula dengan tanggungjawab diri sendiri. Kelalaian dalam setiap perbuatan pasti mengundang kecelakaan yang tidak disangka-sangka. 

Sebarang masalah yang berkaitan atau pun komen, kritikan mahupun cadangan boleh diajukan terus di emel : pmukm1011@gmail.com atau di Fb : PMUKM 2010/2011 (MPP UKM).


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI