Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
(PMUKM) merupakan badan induk mahasiswa/i di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM). Menjadi tanggungjawab PMUKM bagi memastikan kebajikan mahasiswa/i
keseluruhannya terus terbela, di samping menjalinkan kerjasama dan hubungan
baik dengan semua badan, persatuan, kelab dan urus setia di UKM. PMUKM juga
sentiasa berusaha memartabatkan UKM dan mengharumkan nama varsiti tercinta ini
tanpa langsung menafikan usaha-usaha yang dilakukan oleh mahasiswa/I UKM sama
ada usaha yang dilakukan mereka secara berkumpulan mahupun secara individu.
Tetapi ada pihak yang cuba menjadi batu api,
dengan mewujudkan perbandingan tidak adil antara Majlis Eksekutif Pelajar (MEP)
dan PMUKM. (klik di sini). Ucapan tahniah daripada barisan
kepimpinan PMUKM buat MEP yang
sentiasa memerah keringat dan fikiran bagi merancang dan merangka program dalam
memartabatkan universiti agar sebaris dengan Universiti-Universiti terkemuka di
dunia. Saya agak terkilan apabila usaha murni MEP ini dipergunakan oleh pihak
Aspirasi bagi menggambarkan kehebatan mereka. Tindakan mereka ini sesuai
digambarkan dengan pepatah Melayu, hilang jasa beliung, timbul jasa rimbas.
Antara perbincangan dan mesyuarat PMUKM bersama MEP. |
Isu kebajikan sentiasa
menjadi perkara dasar yang diperjuangkan oleh PMUKM bagi kepimpinan kali ini.
Menyedari akan isu kebajikan sebagai isu bersama, PMUKM telah beberapa kali
duduk semeja bersama MEP bagi mencari resolusi dan jalan penyelesaian berkaitan
isu kebajikan mahasiswa/i UKM. Terima kasih tidak terhingga daripada PMUKM sesi
2012/2013 atas kerjasama yang telah diberikan MEP sepanjang hampir satu sesi
kita bekerjasama.
Sepanjang dua sesi GMUKM
memegang tampuk pemerintahan PMUKM, kami berusaha sedaya upaya bagi memastikan
dasar yang telah digariskan berjaya direalisasikan. Mengakui akan wujudnya
kekangan dan halangan, kami tidak pernah berundur walau setapak. Sebagai
Presiden PMUKM, saya mengajak semua MPP, GMUKM dan Aspirasi agar terus fokus
dengan tugasan dan tanggungjawab masing-masing. Lunaskan manifesto anda.
Pastikan mandat yang telah diberikan oleh rakan-rakan mahasiswa/i tidak
disia-siakan.
Isu Keselamatan: PMUKM, Wisma Aman, dan wakil MEP |
Keselamatan Siswi: PMUKM, Sekretariat Siswi MEP dan wakil PMF |
Ahmad Shukran Shaharudin
Presiden PMUKM
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI