Isnin, September 30, 2013

ALIRAN SAINS PENUH CABARAN

Ramai pihak mungkin sedang kalut memikirkan apakah langkah alternatif terbaik bagi meningkatkan jumlah pelajar sains pada masa depan.
Walaupun pelbagai inisiatif sudah diambil bagi menarik minat pelajar memilih aliran itu, peningkatan disasarkan masih belum lagi mencapai matlamatnya.
Kurangnya sokongan terhadap usaha itu pastinya menjejaskan matlamat melahirkan golongan bidang profesional berimpak tinggi selain meneroka kepesatan teknologi dan inovasi.
Apakah senario ini boleh dikaitkan dengan kelemahan sistem pendidikan negara yang dilihat masih kurang mampu menawan minat pelajar mengikuti aliran ini.
Ataupun kerana standard diletakkan begitu tinggi sehingga gagal dicapai pelajar menerusi kemampuan akademik?
Jika penolakan terus berlaku, apakah impak terpaksa ditanggung negara pada masa depan?
Beras Perang UKM.
Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012 yang juga profesor kanan di Universiti Selangor (Unisel), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Ibrahim berkata, kekurangan pelajar memilih aliran sains perlu dilihat dalam komposisi berbeza.
Beliau berkata, meskipun ia dianggap aliran berprestij, kelayakan akademik, keinginan, kekuatan emosi dan mental pelajar harus diambil kira.
“Aliran sains penuh dengan cabaran yang sukar ditafsirkan melainkan anda mempunyai kekuatan atau pandangan berbeza mengenainya.
“Maksudnya, sains bukan sekadar belajar mengira, menghafal dan memahami tetapi pelajar perlu berusaha membabitkan satu konteks pemahaman luas.
“Dengan kata lain, aliran ini merangkumi semua gabungan pelbagai aspek sama ada hukum alam, logik dan tidak logik yang memerlukan satu tindakan kompleks daripada pelajar, guru dan persekitaran,” katanya.
Beliau tidak menafikan aliran lain seperti perdagangan, ekonomi atau sastera mempunyai kepentingan serta cabaran tertentu, namun sains dilihat lebih ketara.
“Aliran ini antara aset utama untuk menyokong pembangunan negara terutama dalam menghasilkan inovasi dan teknologi.
“Bagaimanapun, jangan salah anggap, saya tidak kata aliran lain tidak penting namun kepentingannya menjurus pada aspek lain. 
“Setiap aliran ada keutamaan dalam sistem pendidikan negara. Namun, yang menjadi isunya ialah mengapa aliran sains masih gagal menarik perhatian pelajar?” katanya.

Beliau berkata, aliran sains dulu dianggap sebagai pemangkin kepada asas pembangunan negara jangka panjang bagi dinikmati generasi seterusnya.
Menurutnya, kejayaan aliran sains dulu dikaitkan dengan keterbukaan penerimaan pelajar yang melihatnya sebagai satu konsep cukup unik.
“Pelajar dulu melihat sains sebagai satu gabungan subjek merangkumi semuanya bermula dari bilik darjah, makmal, persekitaran hingga kehidupan.
“Selain itu, daya kreativiti guru yang mengolah sains sebagai aspek unik serta mudah difahami menjadi penyumbang kepada keterujaan pelajar memasuki aliran itu.
“Mereka melihat semua proses itu sebagai satu klasifikasi pembelajaran merangkumi semua konsep pendidikan hingga menjadikan aliran sains mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, bukan semua pelajar mampu memasuki aliran itu kerana faktor tertentu seperti kemampuan kewangan walaupun ibu bapa menggalakkannya.
Menurutnya, biarpun ibu bapa juga pelajar kekurangan dari segi maklumat, namun keinginan mengikuti aliran itu sangat tinggi.
“Sekarang berbeza pula kerana kemampuan (kewangan) bukan masalah malah kita juga mempunyai ramai pelajar yang bijak.
“Malangnya masalah kurang minat sains timbul kerana ada kemungkinan pelajar melihat sains itu dari perspektif berbeza.
“Lebih kritikal, ia melanda ketika negara sedang bergelut menuju taraf negara maju, sekali gus boleh menimbulkan impak jika tidak ditangani segera untuk jangka panjang,” katanya. 
Menjelaskan impak itu, antaranya boleh memberi kesan pada pengembangan inovasi dan teknologi serta kerjaya profesional, beliau berkata, kebimbangan negara terhadap kemerosotan pelajar aliran berkenaan tidak boleh dipandang mudah.
“Kita berpaksi pada hakikat bahawa apa saja yang ada di sekeliling ada kaitannya dengan sains.
“Malah, tidak boleh menolak kenyataan sains antara ciri penting dalam setiap unsur kehidupan manusia.
“Bayangkan jika sains tidak lagi menjadi pilihan, perancangan dalam aspek lain juga akan terjejas kerana kebergantungan terhadapnya tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Pelajar kini tanpa mengira sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, tidak lagi melihat aliran sains sebagai satu aliran prestij tapi subjek sangat sukar.
Tambahan lagi, katanya, penilaian masyarakat terhadap keputusan berdasarkan akademik adalah paling utama tanpa mengira aliran.
“Atas faktor itu, pelajar lebih rela mengikuti aliran lain selain sains bagi memperoleh keputusan cemerlang.
“Penghujungnya, kepincangan terhadap kemerosotan pelajar aliran ini meruncing seperti yang terjadi kini,” katanya mengakui adalah wajar semua pihak berasa bimbang terhadap kemerosotan itu.
“Pelajar aliran sains dulu antara mereka yang menjadi penyumbang utama dalam memastikan kita mampu menikmati kemajuan inovasi dan teknologi kini.
“Tapi apabila kemerosotan (bilangan pelajar) semakin ketara, apakah jaminan yang mampu kita berikan untuk generasi masa depan pula?
“Kita sedang menikmati hasil pembangunan teknologi dan inovasi sains pelajar dulu, bagaimana pula generasi selepas kita andai kata pelajar sekarang semakin merudum minatnya?” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan dengan senario itu kerana ia akan membabitkan konflik pengajian peringkat tinggi.
Cili Bangi UKM.
“Apabila pelajar aliran sains di sekolah semakin kurang, jumlah kemasukan di peringkat tinggi juga akan berkurangan.
“Sebaliknya berlaku peningkatan dalam program lain yang akhirnya akan melahirkan lambakan graduan dalam bidang bukan kritikal.
“Masalah ini akan saling berkait jika tiada usaha mengatasinya,” katanya.
Ditanya apakah usaha boleh dilakukan, beliau menyarankan agar penekanan khusus diberikan kepada sistem sedia ada untuk menjadikan subjek sains pilihan utama pelajar.
“Kita perlu potretkan sains sebagai satu mekanisme pendidikan yang bersifat ‘mesra’ untuk menarik minat pelajar.

“Pendekatan harus berubah selari kehendak zaman. Nampak sukar namun kita perlu melaksanakannya tanpa bertang­guh demi kelangsungan generasi seterusnya,” katanya.
Sumber: Harian Metro
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI