PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Jumaat, September 30, 2011

PMUKM Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

Apabila membicarakan soal mahasiswa, terdapat banyak aspek dan dimensi perbicaraan yang boleh kita bincangkan. Adalah satu hal yang tidak perlu diterangkan lagi dan tidak perlu diulas panjang bahawa kelompok mahasiswa adalah merupakan kelompok terpenting dalam sesebuah masyarakat.

Sejarah telah banyak melakar contoh bagaimana kelompok mahasiswa memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan dan revolusi. Apa yang telah berlaku dalam sejarah telah membuktikan bahawa peranan mahasiswa dalam sebuah masyarakat ataupun negara bukanlah peranan yang picisan, tetapi adalah merupakan peranan yang sangat signifikan.

Namun, merenungi kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali k.w.j.: “Bukanlah orang muda yang hanya mengatakan: ‘Ayahku begini!’, tetapi orang muda adalah yang mengatakan: ‘Ini aku!’”, bukanlah sejarah itu yang ingin gila-gila dinostalgiakan, tetapi sekadar menyemangatinya dan meneladaninya agar dapat meniupkan semangat mahasiswa untuk membina dan melakar sejarah tersendiri.

Di atas robohan Kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka, Bersatu padulah segenap baka, Membela hak keadilan pusaka. - Dr. Burhanuddin Al-Helmy
Bait-bait pantun yang tersohor tersebut merupakan satu seruan oleh tokoh pejuang kemerdekaan negara yang terkenal, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, yang mengandungi maksud yang begitu mendalam maknanya. Kata-kata tersebut mengajak anak muda, khususnya mahasiswa, untuk bangkit daripada belenggu kongkongan dan memerdekakan jiwa daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar budaya dan jatidiri anak bangsa. Jatidiri bangsa tempatan, tidak lain dan tidak bukan, adalah jatidiri seorang mahasiswa yang sejati.

Justeru, seorang mahasiswa perlu memainkan peranannya dengan sebenar-benarnya. Seorang mahasiswa hadir ke universiti untuk menuntut, menguasai dan mengembangkan ilmu. Itu antara peranan utama mahasiswa.

Namun, noktahnya bukan di situ. Adalah sesuatu yang sangat malang apabila peranan mahasiswa dengan potensinya sebagai generasi perubah itu tersekat, sehingga kini mewujudkan fenomena 3K (kolej, kuliah, kantin) yang begitu menguasai dunia mahasiswa sehingga mereka hilang segala kekuatan idealisme,intelektualisme dan aktivisme.

Mahasiswa perlu kembali memperkasa peranan mereka dalam membina jiwa merdeka. Sepertimana yang pernah diungkapkan oleh seorang pemikiran Islam dari Algeria, Malek Bin Nabi tentang perlunya membina ‘istiqlālul-‘aql ba’da istiqlālul-watan’.

Persoalan yang sudah sekian lama timbul adalah adakah masyarakat di negara ini sudah betul-betul merdeka jiwa dan akalnya? Adakah masyarakat sudah benar-benar merdeka, yakni merdeka daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar jatidiri mereka sebagai masyarakat Islam?

Tentu sekali tidak. Masyarakat masih lagi memandang kepada masyarakat Barat sebagai kelompok yang superior. Produk-produk yang berjenama popular yang asalnya daripada Barat dilihat sebagai lebih berkualiti berbanding produk keluaran tempatan atau negara Islam yang lain. Sistem dan budaya di negara lain sering dijadikan contoh untuk diikuti di negara ini.

Perhatikan, berapa banyakkah rancangan-rancangan televisyen di negara ini yang merupakan carbon copy kepada rancangan-rancangan di Barat?

Sebagai kelompok yang paling berpengaruh dalam masyarakat, mahasiswa perlu keluar daripada kongkongan belenggu gaya hidup yang mewujudkan sifat mati rasa dan jiwa santai.

Justeru itu, sesuai dengan motto pada sesi kali ini, PMUKM mengajak agar kita "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti".


Mohamad Ezuan bin Mohd Saad
Setiausaha Agung
Persatuan Mahasiswa UKM 2010-2011

Rumah Terbuka PMUKM Dapat Sambutan Ramai

Kemeriahan Rumah Terbuka dirasai dengan kira-kira 1000 orang mahasiswa/i UKM yang hadir ke Rumah Terbuka PMUKM di Pusanika malam tadi. Majlis turut meraikan kehadiran Ayahanda Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TNCHEPA) Prof Ir Othman A. Karim.


MPP Wan Ahmad Fahmi bertanggungjawab memulakan majlis dengan alunan memuji Rasulullah iaitu Qasidah Muhammadiyyah seterusnya tazkirah pendek. Usai bacaan doa oleh MPP Izzuddin Pisol, para hadirin dijemput untuk menikmati juadah yang ada.

Sambil para hadirin menikmati juadah, kumpulan nasyid PMUKM yang dianggotai oleh MPP Ezuan, Afham, Firdaus & Syafiq mempersembahkan 2 buah lagu nasyid. Berganti pula dengan penampilan khas Imam Muda Najdi yang juga merupakan mahasiswa UKM menyanyikan 2 buah lagu iaitu Hijrah & HambaMu. Selain persembahan nyanyian, persembahan multimedia juga ditayangkan.

Pengerusi Majlis, Saudara Shukran mengambil peranan untuk menceriakan suasana dengan menjemput hadirin membuat ucapan. Turut disediakan Majalah Universiti Kebangsaan Malaysia (Majalah Aspirasi) Edisi ke-34 dan 3 buah naskhah dari GRADUAN ASPIRE sebagai buah tangan buat para hadirin.

Majlis ini dilihat dapat menjalinkan hubungan silaturrahim dan membina ukhuwwah di antara mahasiswa/i yang hadir terdiri dari pelbagai kolej, fakulti dan usia. Begitulah hasrat pihak penganjur yang diketuai MPP Nurul Mardhiah Kamaruddin selaku Ketua Pengarah.









Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan kami sendiri.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


Khamis, September 29, 2011

Hiburan: Prinsip dan Pelaksanaan

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kammu sekalian kepada Allah dan berkatalah perkataan betul nescaya Allah memperbaik kerja-kerja kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dia sudah berjaya dengan mendapat kejayaan yang besar.”
(Surah al-Ahzab, ayat 70-71)

Melihat kepada polemik yang berlaku, adalah menjadi suatu keperluan kepada PMUKM untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku, terutama dalam isu konsert hiburan tempoh hari. Kami yakin bahawa ini adalah suatu hikmah ilahiyyah yang membuka ruang yang lebih luas kepada PMUKM untuk menjelaskan, sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.

Terlebih dahulu, kami mulakan perbahasan ini dengan menjelaskan prinsip-prinsio umum hiburan dalam Islam.

Hiburan : Islam membenarkan
Islam bukan agama antihiburan dan seni. Cuma setiap perkara dalam Islam ada batasan dan disiplinnya. Ringkasnya, Islam mengharuskan hiburan. Kita harus mengakui bahawa manusia tidak selamanya dapat berterusan dalam keadaan seriua san tegas.

Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia menegaskan, “Hiburan itu merehatkan hati dan mengurangkan beban pemikiran. Hati ini apabila dipaksakannya ia akan menyebabkannya menjadi tumpul sementara merehatkannya akan membantunnya menjadi lebih bersungguh. Orang yang selalu sibuk dengan ilmu umpamanya terpaksa berehat pada hari Jumaat; kerana berehat satu hari akan membantunya untuk menjadi segar pada hari-hari yang lain. Berehat akan membantu dalam pekerjaan dan bersabar akan membantu untuk menjadi lebih tekun. Seseorang tidak akan selamanya dapat berada dalam keadaan serius. Realiti itu adalah pahit melainkan unti jiwa para Nabi ‘Alaihimussalam.”

Hiburan adalah ubat hati yang dapat merawat penyakit susah dan kebosanan. Ia wajar menjadi halal, namun ia tidak perlu diperbanyak sepertimana pengambilan ubat tidak boleh diperbanyak juga. Lantaran itu, berhibur dengan niat sebegini akan menjadi ibadat.

Islam meletakkan beberapa syarat agar sifat hiburan tersebut tidak tergelincir daripada lingkungan yang dibenarkan syara’. Dalam hal ini, kita harus meyakini bahawa syarat-syarat tersebut memiliki hikmah yang sangat banyak, sejajar dengan maqasid Islam, iaitu memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan / keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka. Antaranya:
  1. Isi kandungannya hendaklah bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajaran-ajarannya. Perlu dielakkan nyanyian yang menyanjung taghut, menyokong kemungkaran dan lain-lain yang sifatnya bercanggah dengan kebaikan dalam Islam.
  2. Cara persembahan mesti diambilkira. Getaran suara yang boleh memberangsangkan untuk mengghairahkan para pendengar yang mempunyai hati-hati yang berpenyakit boleh menjadi satu-saut nyanyian tersebut perlu dijjauhi, diragui atau makruh.
  3. Nyanyian tidak diiringi dengan perkara yang negatif, seperti minum arak, mendedahkan aurat atau bercampur aduk antara lelaki dan wanita, tanpa batas dan had.
  4. Seperti perkara-perkara yang harus lain, nyanyian harus diseimbangkan. Dalam erti kata lain, ia tidak berlebih-lebihan. Terutama nyanyian yang menyentuh perasaan serta berkisar tentang percintaan dan kerinduan. Menurut al-Qardawi, kita juga perlu untuk mempunyai nyanyian, program dan kehidupan dunia dan akhirat yang seimbang.

Dalam hal ini kami bersetuju dengan konsep hiburan terarah. Hal ini selari dengan pandangan mantan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin yang berkata, “Sekali lagi, saya bukan anti artis, hiburan atau seni. Anda boleh baca temu bual dengan saya oleh majalah Pentas terbitan Istana Budaya bulan Mac 2007. Namun saya sering membicarakan soal untung rugi dalam jangka masa panjang terhadap umat jika terus dibiarkan generasi kita tenggelam dalam arus hiburan yang tidak berdisiplin yang sedang pesat sekarang. Saya tidak anti artis secara melulu. Bahkan ada saya tahu ada artis-artis yang ternama juga membaca artikel saya. Setiap orang ada sumbangannya. Namun saya mengharapkan agar kegiatan seni tidak melanggari disiplin agama dan memusnahkan masa depan negara.”

Perlaksanaan: Bagaimana?
Islam bukanlan merupakan semata-mata pensyariatan dan perundangan. Sebaliknya Islam juga merupakan akidah yang menafsirkan erti kehidupan, ibadah yang mendidik rohani, akhlak yang membersihkan jiwa, pemahaman-pemahaman yang memperbetul pandangan, gambaran dan sistem nilai yang mengangkat martabat manusia dan adab kesopanan yang menghiasi kehidupan.

Masyarakat tidak dibina berdasakan pensyariatan sahaja, sebaliknya ia memerlukan kepada jalan yang lain iaitu dakwah dan pemahaman, kemudian pengajaran dan pendidikan di samping pensyariatan dan perundangan.

Islam bukan hanya sekadar datang untuk mengubati mereka yang menyeleweng, bahkan ia datang untuk membimbing mereka yang baik dan memelihara mereka dari menyeleweng.

Tidak dinafikan syariat Islam telah pun sempurna, namun perlaksanaan di zaman ini memerlukan kepada penyediaan dan persiapan untuk mengislahkan/mentransformasikan masyarakat kepada beriltizam dengan ajaran Islam sebenar setelah mana mereka melalui zaman pembaratan.

Hal ini memerlukan kepada pengembelengan tenaga untuk mengatasi cabaran dan halangan serta mewujudkan alternatif dan melatih pelaksana-pelaksana yang dapat mengintegrasikan antara kekuatan dan amanah. Untuk memperoleh kedua-dua perkara ini terhadap seseorang pun adalah sukar, apatah lagi orang-orang terdahulu pun sudah mengadu tentang hal ini seperti yang diadukan oleh Umar al-Khattab r.a kepada Allah SWT:

“Ya Allah Ya Tuhanku, aku mengadu kepadaMu tentang kelemahan orang-orang yang dipercayai dan kekuatan orang yang jahat”

Oleh yang demikian, menurut al-Qardhawi, tidak menjadi kesalahan jikalau syariat Islam itu dilaksanakan secara-secara berperingkat-peringkat. Sunnah tadarruj (berperingkat-peringkat) ini dimabil daripada ibrah manhaj Allah SWT yang mengharamkan arak secara berperingkat-peringkat.

Walaupun bagitu, al-Qardhawi dengan tegas meyatakan Perkara ini (berperingkat-peringkat) janganlah sampai dijadikan alasan untuk mengangguhkan usaha untuk melaksanakan syariat Islam dan dengan harapan ia mati dengan berlalunya masa atas alasan beransur-ansur dan membuat persediaan. Maksud di sini adalah jangan dbiarkan satu hari berlalu melainkan berlakunya pembaikan dan transformasi positif di samping hilangnya unsur negatif. Dengan ini, terlaksanalah unsur sunnah berperingkat yang dituntut. Berperingkat ini memberi erti: menentukan matlamat, menyediakan perancangan, meletakkan tahap-tahap tertentu dan memperkuatkan keupayaan untuk berkhidmat sehingga tercapainnya sasaran yang dirangkakan”.

Al-Qardawi menambah lagi,"Syariat Islam tidak mungkin akan dilaksanakan secara hakiki melainkan oleh orang-orang yang beriman dengan kesuciannya, Rabbaniyyah sumbernya, keadilan hukumnya dan ketinggian matlamatnya. Ia juga tidak dilaksanakan melainkan oleh orang-orang yang menjadikan perlaksanaannya sebagai ibadat. Ini akan menjadikan mereka prihatin untuk memahami syariat, hukum-hukum serta matlamat-matlamatnya secara mendalam. Mereka juga akan bersungguh-sungguh untuk mengatasi segala halangan yang merentanginya. Begitu juga mereka akan berusaha menjadi imej baik kepada prinsip-prinsip syariat dan teladan yang baik bagi orang-orang yang tidak berpuas hati dengannya sehinggakan mereka kelihatan sentiasa berada dalam keimanan dan berakhlak. Oleh kerana itu, orang-orang yang melihat mereka akan mencintai Syariat lantaran mereka melihat kesannya terhadap kehidupan mereka”.

Ringkasnya, usaha perlaksanaan tersebut tidak dilakukan melainkan oleh mereka yang faham dan bersungguh-sungguh melakukannya, berdasarkan segala kemampuannya.

PMUKM dalam pada itu bersedia bersama-sama ISIUKM untuk menjelaskan polemik ini. Semoga penulisan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua warga universiti.


Wan Ahmad Fahmi Wan Abdullah
Pengerusi Biro Kerohanian dan Pembangunan Insan
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia 2010/2011

Rabu, September 28, 2011

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) 2011

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bersama Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) 2011

Tarikh :  
29 September 2011 (Khamis)

Masa :
8.30 - 11.00 malam

Tempat : 
Tingkat atas, bangunan Pusanika UKM, Bangi

Tema : 
Berpakaian kemas, sopan & bertemakan hari raya.

Acara Menarik :
-Sesi dialog bersama barisan Exco PMUKM

* Pengangkutan pulang ke kolej-kolej turut disediakan

Ayuh beramai-ramai kita meriahkan Rumah Terbuka Hari Raya PMUKM 2011

Dapatkan 'Kisah UKM, Kisah Kami' Sekarang

Makluman kepada semua warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.

Terkini, Majalah Universiti Kebangsaan Malaysia (Majalah ASPIRASI Ke-34) terbitan Sidang Redaksi UKM sudah diedarkan di kolej-kolej kediaman anda.

Manakala bagi penghuni luar kampus, anda boleh mendapatkannya di Pejabat Urusan PMUKM di aras 3, bangunan Pusanika UKM.


Dengan helaian sebanyak seratus sembilan puluh (190) muka surat yang penuh warna-warni, naskah majalah tahunan UKM ini wajar dijadikan naskah WAJIB dimiliki oleh setiap mahasiswa UKM, tidak kira anda di tahun pertama, pertengahan atau akhir kerana saban tahun kita membayar yuran sebanyak RM 10 untuknya.

Justeru itu, segera dapatkan daripada JAKSA kolej kediaman anda. Jika terdapat sebarang masalah untuk memperolehinya, sila hubungi Pengerusi Biro Informasi & Penerangan PMUKM, saudari Aida Rahayu bt Mohd Badri di talian 013-7184367


'Kisah UKM, Kisah Kami'

Selasa, September 27, 2011

BERITA GEMBIRA : Biasiswa JPA Masuk Esok


Penyerahan surat sebelum perbincangan dengan pegawai


Di bilik rundingan 
Putrajaya, 27 semtember 2011 : Saudara Mohd Abdullah Bin Mohamed Yusoff, Timbalan Presiden PMUKM, telah membawa surat memohon penjelasan berkaitan kelewatan biasiswa JPA diterima oleh pemengang biasiswa JPA di UKM.

" setelah menerima rungutan pelajar UKM, kita ( PMUKM ) terus membawa isu ini kepada pihak berautoriti supaya dapat di bincangkan segera dan dapat maklumat yang betul. Saya cukup yakin, mahasiswa agak tertekan dengan kelewatan biasiswa diterima, ini kerana banyak perkara pada awal semester memerlukan kewangan. Kita ( PMUKM ) prihatin terhadap perkara ini " Timbalan Presiden PMUKM.

Sekitar pukul 3.30 petang , Saudara Mohd Abdullah telah disambut oleh Pegawai Bahagian Tajaan/Biasiswa JPA, En Fharzuq Hasan B Zulkepli. Setalah hampir satu jam perbincangan dan penerangan antara wakil pelajar dan pihak JPA, beliau memaklumkan bahawa esok ( atau paling lambat lusa. insyaallah ) duit biasiswa akan dimasukkan. 

"Ini perkhabaran yang menggembirakan kepada pelajar.   Saya mengucapkan terima kasih kepada Pegawai terbabit yang sudi berbincang dan menjelaskan kepada kita tentang kelewatan ini" Timb. Presiden.

Menurut Pegawai berkenaan, En Fharzuq Hasan B Zulkepli :

"Saya faham rungutan mahasiswa dan ada yang menghantar email kepada saya dengan bahasa yang kesat dan kasar untuk memdesak mempercepatkan kemasukan biasiswa. Ini tidak menggambarkan seorang mahasiswa. Sepatutnya datang ( berbincang ) begini"

"sebenarnya JPA mempunyai prosidur yang mengambil masa sedikit. Kalau duit saya setakat dua, tiga ribu tidak ada masalah tapi ini melibatkan sekitar 5 juta ringgit yang perlu dimasukkan kepada pemengang biasiswa untuk UKM sahaja"

"untuk makluman JPA telah menghantar surat meminta pihak Universiti ( bendahari ) menghantar nama-nama pelajar pemengang JPA yang aktif ( berdaftar ). Kita ( JPA ) perlu menunggu pihak UKM hantar nama yang aktif mungkin pihak UKM perlukan nama pelajar tersebut dalam tempoh seminggu ke dua minggu. Kemudian, pihak JPA akan menaktifkan nama-nama pelajar tersebut untuk proses transaksi kewangan. 

"setelah nama diaktifkan, pihak JPA perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk memindah transaksi berkenaan. Proses ini melibatkan masa. Perlu dingatkan, kelewatan pelajar mendaftar kurusu juga menjadi penyebab kepada pihak universiti untuk memberi nama kepad pihak JPA"

"jika ada yang masih tercicir, ini kemungkinan pelajar berkenaan lewat mengaktifkan diri, dan mungkin pihak UKM telah menghantar nama berkenaan Kepada JPA. Penghantaran nama ini secara kolektif bukanya secara individu"

"saya agak sedikit tidak selesa bila pelajar tajaan JPA seolah-olah menyatakan biasiswa ini merupakan "hak" mereka, walhal biasiswa ini adalah "bantuan kewangan" kepada mereka"

"saya cukup berterima kasih kepada wakil pelajar UKM yang masih ada yang bersikap rasional yang sudi mendapat penjelasan lanjut dan mendengar tentang perkara ini"

"Perlu dimaklumkan, mereka yang baru memohon ( ditelah diterima sebagai pemengan biasiswa JPA ), mereka akan mendapat dua bulan lebih lewat dari kebiasaan yang lain"

"selain dari faktor prosidur seperti yang disebutkan tadi, kemasukanya juga bergantung kepada bajet negara, jadi saya harap semua pelajar faham perkara ini" jelas pegawai tersebut secara panjang lebar

Kami selaku barisan kepimpinan pelajar mengucapkan terima kasih terhadap kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan.

"Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"




Ahad, September 25, 2011

PMUKM Bersama Masyarakat Bangi Lama


SABTU, 24 SEPTEMBER 2011 : PMUKM berkesempatan untuk bersama dengan penduduk Bangi Lama untuk majlis jamuan hari raya. Rombongan ini diketuai oleh Timbalan Presiden PMUKM, Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff bersama-sama sukarelawan PMUKM.

"Kita cukup gembira pada sambutan hari raya tahun ini kerana Jwatan kuasa kamnpung mukim berjaya menganjurkan aktiviti yang menggabungkan semua kampung dalam daerah Semenyih. Bahkan ini kali pertama mahasiswa turut bersama dalam menjayakan aktiviti jamuan raya untuk kali ini. Kami ucapkan berbanyak terima kasih diatas kunjungan dan bantuan dari semua sukarelawan PMUKM yang terlibat bersama." Datuk Ketua Kampung Batu Lima, En Mohamad bin Ahmad.
Dalam majlis tersebut juga, Timbalan Presiden saudara Mohd Abdullah Mohamed Yusoff juga turut diberi penghormatan untuk memberi sedikit ucapan kepada penduduk kampung,

Menurut beliau, "Kita mengharapkan hubungan mahasiswa tidak berhenti setakat disini bahkan selepas ini kita masih boleh bekerjasama lagi dalam menganjurkan program-program lain seumpama ini. Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Penghulu dan semua tok ketua kampung yang sudi menjemput kami mahasiswa untuk lebih dekat dengan masyarakat.

"Pemimpin pelajar bukan sekadar jaguh di dalam kampus bahkan sepatutnya ia mampu dirasai manfaatnya oleh masyarakat sekeliling, ini bersesuaian dengan sabda Nabi 'sebaik-baik manusia ialah manusia yang mampu memberi manfaat kepada orang lain'. Inilah pegangan kita" Ujarnya lagi.





Turut menyertai program ini adalah mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan, UKM Kampus Kuala Lumpur.



PMUKM mengucapkan kepada semua penduduk Kampung Mukim Semenyih dan semua sukarelawan PMUKM.
 


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Menifesto MPP Fakulti Pendidikan Dilaksanakan


Sebelum ini, PMUKM menerima surat maklum balas positif dari pejabat dekan fakulti pendidikan terhadap permohonan menifesto MPP fakulti pendidikan, Saudara Izzuddin Bin Pisol. Sehubungan itu, pihak pentadbiran telah dilaksanakan.

Berikutan dari perkara tersebut, Saudara Izzuddin telah beberapa kali membuat susulan terhadap maklum balas yang diterima dari pihak fakulti sebelum ini.

Tempat "Parking Motor" berdekatan GM ( Gerak Minda )

Tambahan tempat motor yang bertahun ditolak

Water Cooler

Mesin Air Minuman berbayar


Water Dispensor
"Alhamdulillah beberapa perkara telah dibuat oleh pihak pentadbiran fakulti. seperti yang dimaklumkan dalam surat maklum balas yang lepas. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan yang mempertimbangkan permohonan kami sebelum ini" MPP Fakulti pendidikan, Izzuddin bin Pisol.

“Kami mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada MPP Izzuddin kerana berusaha untuk menambahbaik frasarana di fakulti pendidikan dengan bantuan pentadbiran fakulti. Sudah lama kawan-kawan merungut berkaitan parking motor dekat GM, akhirnya tahun ini berjaya juga” Aiman Zulkefli, Pelajar Pendidikan Program Sains Kimia tahun empat.

Untuk makluman, Saudara Izzuddin juga terlibat dalam menggerakan Isu GST ( Guru Sandaran Terlatih ) yang belum dibuka lagi. Kami seluruh warga kepimpinan mengucapkan tahniah kepada Saudara Izzuddin atas usaha yang dilakukanya.. 

"Bersama Mahasiswa Meralisasi Varsiti"

Rabu, September 21, 2011

Makluman Terkini e-Pelajar


Berikut merupakan informasi terkini di e-Pelajar untuk makluman kepada semua warga UKM. 

(a) Pembukaan Permohonan Bantuan Zakat Sem 1 sesi 2011/2012 : bermula 12 hingga sehingga 23 September 2011. Semua permohonan perlu melalui sesi temubual dengan pegawai Unit Zakat UKM bagi melancarkan proses permohonan. Harus diingatkan, sila pastikan permohonan dibuat di atas dasar benar-benar memerlukan sahaja.

(b) Pendaftaran kursus ZT1033 TITAS dan ZT1043 Hubungan Etnik : Kepada semua pelajar yang belum mengambil kursus-kursus tersebut, sila daftar bagi kursus tersebut pada semester ini kerana kursus-kursus tersebut tidak akan ditawarkan pada semester hadapan.

(c) Keputusan Peperiksaan Semester 4 Sesi Akademik 2010-2011 : Dimaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Semester 4 Sesi Akademik 2010-2011 boleh disemak mulai 23 September 2011 menerusi web di alamat http://www.ukm.my/smpweb dan menerusi gerbang SMS-UKM.

(d) Pendaftaran Kelab & Sukarelawan di Unit Pembangunan Insaniah, Pusat Sukan : Pendaftaran boleh dibuat secara online di link berikut. Sila kembalikan borang permohonan yang lengkap ke Unit Pembangunan Insaniah, Pusat Sukan UKM. Sebarang pertanyaan sila hubungi : Pn. Umi Kalsom - 03 8921 4192 atau En. Asyraf / En. Azhar - 03 8921 4454

(e) Pesta Tanglung Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-32 2011 : Pelancaran Pesta Tanglung kali ke-32 pada 05 Oktober 2011 (Rabu), 7:00 pm bertempat di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh (DTAMS).

(f) Temuduga Peserta Persembahan Pentas, Pesta Tanglung 2011 : Semua pelajar dijemput untuk mengambil bahagian dalam sesi temuduga ini bertarikh : 8 Oktober 2011 (Sabtu) pada pukul 6.30 Petang di dataran Dewan Kuliah 3B-301, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Sebarang pertanyaan, sila hubungi Ng Jun Xiong 017-9083698

Juga makluman terkini. Exco Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM, saudari Noraini bt Jumahir telah terbabit dalam satu kemalangan malam semalam dan kini sedang ditahan di wad Hospital Kajang.

Maklumat lanjut, adalah dipelawa rakan-rakan melawat laman e-Pelajar di http://www.ukm.my/e-pelajar

Selasa, September 20, 2011

Makluman : Susunan Sidang Majlis Konvokesyen Ke-39 UKM

SUSUNAN SIDANG MENGIKUT FAKULTI/INSTITUT
MAJLIS KONVOKESYEN KE-39
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Sidang 1 (24 September 2011)(Sabtu / Pagi)
Semua Graduan Doktor Falsafah
Graduan Sarjana Kepakaran Fakulti Perubatan
Graduan Sarjana Sains Fakulti Perubatan
Graduan Doktor Perubatan
Graduan Sarjanamuda Fakulti Perubatan

Sidang 2 (24 September 2011)(Sabtu / Petang)
Graduan Sarjana Kepakaran Fakulti Pergigian
Graduan Sarjana Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN)
Graduan Sarjana Institut Perubatan Molekul (UMBI)
Graduan Doktor Pergigian
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat

Sidang 3 (25 September 2011)(Ahad / Pagi)
Graduan Sarjana Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI)
Graduan Sarjana Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa(IKMAS)
Semua Graduan Sarjana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Graduan Sarjana Muda Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
 Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu
 Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia
 Pusat Pengajian Media dan Komunikasi
 Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran

Sidang 4 (25 September 2011)(Ahad / Petang)
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Pengajian Islam
Graduan Sarjanamuda Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
 Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi
 Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik

Sidang 5 (26 September 2011)(Isnin / Pagi)
Semua Graduan Sarjana Fakulti Sains dan Teknologi
Graduan Sarjanamuda Fakulti Sains dan Teknologi
 Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan
 Pusat Pengajian Sains Matematik
 Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam

Sidang 6 (26 September 2011)(Isnin / Petang)
Graduan Sarjana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Undang-Undang
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Sains Kesihatan
Graduan Sarjanamuda Fakulti Sains dan Teknologi
 Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi
 Pusat Pengajian Fizik Gunaan

Sidang 7 (27 September 2011)(Selasa / Petang)
Graduan Sarjana Graduate School of Business (UKM-GSB)
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Graduan Sarjana Institut Islam Hadhari

Sidang 8 (27 September 2011)(Selasa / Petang)
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Pendidikan
Graduan Sarjana dan Sarjanamuda Fakulti Farmasi
Semua Graduan Diploma Siswazah dan Prasiswazah

Majlis Konvokesyen UKM ( Sekadar Gambar Hiasan )



Sumber : http://www.ukm.my/e-pelajar/pdf/082011/bul_010811-1.pdf

Jom Sertai Rakan PMUKM


Rakan PMUKM - satu entiti baru yang ditubuhkan khusus dalam membina dan menjana mahasiswa yang berintelektual dan mempunyai nilai-nilai 'soft skill' yang tinggi.





Video promo Rakan PMUKM yang dibangunkan khas sempena Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) ini bertujuan menarik dan memberi penerangan yang lebih jelas kepada mahasiswa-mahasiswi untuk menyertai Rakan PMUKM.

Borang penyertaan Rakan PMUKM 'Booth PMUKM yang terletak berhadapan pintu masuk ke Pejabat Urusan PMUKM di Aras 3, bangunan Pusanika.

Bagi mahasiswa-mahasiswi UKM yang berada di luar kampus UKM Bangi, boleh mendapatkan borang-borang penyertaan dengan MPM Kamarul Hatem - 0139702738 (kampus Kuala Lumpur) dan MPM Idrul Daud - 0196604483 (kampus Cheras).

Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

SUARA KAMPUS 3 : Merdeka - Satu Analisis


SUARA KAMPUS merupakan satu siri program yang diadakan secara berkala di UKM bagi membicarakan isu-isu semasa yang menjadi persoalan dalam masyarakat samada di dalam atau di luar negara. Isu-isu tersebut akan dikupas secara ilmiah dan mengikut perspektif akademik. 

'Suara Kampus' juga menjadi satu platform dalam menjelaskan isu-isu semasa melalui perbincangan ilmiah seterusnya dapat diperkembangkan dalam masyarakat, sesuai dengan misi UKM dalam menjadikannya sebagai pusat keilmuan yang terkehadapan.

'Suara Kampus' kali ini tampil dengan membincangkan isu Merdeka: Satu Analisis. Bersempena dengan tahun ini kita telah menyambut kemerdekaan kali ke -54. Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah lahir daripada usaha-usaha pejuang bangsa kita yang terdahulu. Namun ramai dalam kalangan anak-anak muda hari ini tidak menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

Matlamat utama program kali ini diadakan selaras dengan hasrat universiti dalam membentuk sebuah masyarakat yang dinamik dan berilmu. Selain itu, program ini dapat melatih dan memberi pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswi dalam sejarah pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Disamping memberi ruang kepada pelajar dan masyarakat untuk memahami erti kemerdekaan yang sebenar.

Akhir kalam, semoga program ini dapat membentuk masyarakat kampus sebagai masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat patriotik, di samping meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa untuk cakna dalam sejarah kemerdekaan dan cabaran untuk mempertahankan kemerdekaan yang sedia ada pada masa akan datang. Diharapkan program-program seperti ini akan berterusan dalam melahirkan mahasiswa-mahasiswi UKM yang dinamik dan berkebolehan dalam semua aspek.

“BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI”