Jumaat, September 30, 2011

PMUKM Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

Apabila membicarakan soal mahasiswa, terdapat banyak aspek dan dimensi perbicaraan yang boleh kita bincangkan. Adalah satu hal yang tidak perlu diterangkan lagi dan tidak perlu diulas panjang bahawa kelompok mahasiswa adalah merupakan kelompok terpenting dalam sesebuah masyarakat.

Sejarah telah banyak melakar contoh bagaimana kelompok mahasiswa memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan dan revolusi. Apa yang telah berlaku dalam sejarah telah membuktikan bahawa peranan mahasiswa dalam sebuah masyarakat ataupun negara bukanlah peranan yang picisan, tetapi adalah merupakan peranan yang sangat signifikan.

Namun, merenungi kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali k.w.j.: “Bukanlah orang muda yang hanya mengatakan: ‘Ayahku begini!’, tetapi orang muda adalah yang mengatakan: ‘Ini aku!’”, bukanlah sejarah itu yang ingin gila-gila dinostalgiakan, tetapi sekadar menyemangatinya dan meneladaninya agar dapat meniupkan semangat mahasiswa untuk membina dan melakar sejarah tersendiri.

Di atas robohan Kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka, Bersatu padulah segenap baka, Membela hak keadilan pusaka. - Dr. Burhanuddin Al-Helmy
Bait-bait pantun yang tersohor tersebut merupakan satu seruan oleh tokoh pejuang kemerdekaan negara yang terkenal, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, yang mengandungi maksud yang begitu mendalam maknanya. Kata-kata tersebut mengajak anak muda, khususnya mahasiswa, untuk bangkit daripada belenggu kongkongan dan memerdekakan jiwa daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar budaya dan jatidiri anak bangsa. Jatidiri bangsa tempatan, tidak lain dan tidak bukan, adalah jatidiri seorang mahasiswa yang sejati.

Justeru, seorang mahasiswa perlu memainkan peranannya dengan sebenar-benarnya. Seorang mahasiswa hadir ke universiti untuk menuntut, menguasai dan mengembangkan ilmu. Itu antara peranan utama mahasiswa.

Namun, noktahnya bukan di situ. Adalah sesuatu yang sangat malang apabila peranan mahasiswa dengan potensinya sebagai generasi perubah itu tersekat, sehingga kini mewujudkan fenomena 3K (kolej, kuliah, kantin) yang begitu menguasai dunia mahasiswa sehingga mereka hilang segala kekuatan idealisme,intelektualisme dan aktivisme.

Mahasiswa perlu kembali memperkasa peranan mereka dalam membina jiwa merdeka. Sepertimana yang pernah diungkapkan oleh seorang pemikiran Islam dari Algeria, Malek Bin Nabi tentang perlunya membina ‘istiqlālul-‘aql ba’da istiqlālul-watan’.

Persoalan yang sudah sekian lama timbul adalah adakah masyarakat di negara ini sudah betul-betul merdeka jiwa dan akalnya? Adakah masyarakat sudah benar-benar merdeka, yakni merdeka daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar jatidiri mereka sebagai masyarakat Islam?

Tentu sekali tidak. Masyarakat masih lagi memandang kepada masyarakat Barat sebagai kelompok yang superior. Produk-produk yang berjenama popular yang asalnya daripada Barat dilihat sebagai lebih berkualiti berbanding produk keluaran tempatan atau negara Islam yang lain. Sistem dan budaya di negara lain sering dijadikan contoh untuk diikuti di negara ini.

Perhatikan, berapa banyakkah rancangan-rancangan televisyen di negara ini yang merupakan carbon copy kepada rancangan-rancangan di Barat?

Sebagai kelompok yang paling berpengaruh dalam masyarakat, mahasiswa perlu keluar daripada kongkongan belenggu gaya hidup yang mewujudkan sifat mati rasa dan jiwa santai.

Justeru itu, sesuai dengan motto pada sesi kali ini, PMUKM mengajak agar kita "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti".


Mohamad Ezuan bin Mohd Saad
Setiausaha Agung
Persatuan Mahasiswa UKM 2010-2011