Rabu, September 07, 2011

PMUKM Ziarah Rumah Arwah Noramfaizul Mohd Nor

Serdang, 7 Sept. 2011 - Seramai 6 orang wakil yang terdiri dari Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dan Setiausaha Kerja PMUKM telah menziarahi rumah keluarga mangsa Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia semalam setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Rombongan tersebut diketuai oleh Saudara Mohd Abdullah, Timbalan Presiden PMUKM, dan turut serta Saudara Ikram bin Darus (Naib presiden IV), Nor Amalina Bt Sazali (Timbalan Setiausaha), Noraini Bt Jumahir (Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan), saudari Nadhirah Zulkifli dan Nor Aqilah Bahrin.



Kehadiran PMUKM ke rumah mangsa untuk menziarahi dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Selain itu, PMUKM mewakili keseluruhan mahasiswa UKM untuk memberi penghormatan dan tanda sokongan padu mahasiswa terhadap keluarga mangsa.

Semasa kunjungan ziarah tersebut, PMUKM telah memberi sedikit sumbangan dari pensyarah dan mahasiswa kepada keluarga mangsa.

"Kita yakin bahawa arwah Noramfaizul Mohd Nor terkorban dalam menjalankan tugas dan misi yang mulia untuk memberi liputan media keadaan sebenar umat Islam di Mogadishu.

"Pengorbanannya juga menjadi obor semangat untuk meneruskan lagi misi kemanusiaan terhadap umat Islam di mana saja.

"Kami doakan agar Arwah ditempatkan di kalangan para solehin" ujar Timbalan Setiausaha, saudari Nor Amalina Sazali.


Menurut Timbalan Presiden, saudara Mohd Abdullah pula, "Misi kemanusiaan ini adalah suatu yang terpuji. Kita memuji tindakan pihak (penganjur) memberi bantuan kemanusiaan kepada umat Islam di Mogadishu. Bukan (sekadar di) Mogadisu, (bahkan di) Gaza dan mana-mana negara yang tertindas sekali pun, kita turut memberi sokongan penuh.

"Kita (PMUKM) tidak setuju isu menuding jari siapa yang betul dan salah terhadap isu keselamatan ini, cuma cadangan kepada pihak penganjur (sekiranya ingin) untuk misi kemanusiaan (sebegini) ke tempat yang berisiko tinggi seperti ini, perlu (memberi perhatian yang) serius terhadap isu keselamatan terhadap sukarelawan terbabit.

"Kita perlu ambil iktibar (daripada apa yang berlaku sekarang) agar tidak berulang kembali. Saya fikir, ia (perkara ini) perlu berbincang dengan pihak yang lebih pakar tentang isu keselamatan ini supaya akan datang ia lebih baik lagi, insyaallah"

Rakan mangsa, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata kejadian itu berlaku semasa arwah Noramfaizul Mohd Nor bersama rakan media elektronik yang lain sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersil untuk menghantar berita, telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.

Khairulanuar berkata tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia. Arwah Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia.

PMUKM mengharapkan agar keluarga mangsa terus bersabar dengan ujian yang menimpa keluarga mangsa. Semoga roh arwah akan dicucuri rahmat daripada-Nya.

Al-Fatihah.