Bangi,18 Sept – Sempena Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) UKM, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) menyeru semua mahasiswa UKM, khususnya mahasiswa tahun satu, untuk terlibat secara optimum dalam aktiviti berpersatuan di UKM.
Naib Presiden III (Kolej, Fakulti & Anak Negeri) saudara Mohd Faizal Ahmad berkata, "Mahasiswa perlu melihat aktiviti berpersatuan sebagai wadah yang mampu memupuk bakat kepimpinan dan ketrampilan diri yang positif. Mereka perlu menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya untuk menggilap potensi dan bakat yang ada”
Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) pada tahun ini disertai oleh lebih 100 persatuan atau pertubuhan mahasiswa, seperti Persatuan Mahasiswa Fakulti, Persatuan Mahasiswa Anak Negeri dan pertubuhan berkaitan keagamaan, sukan dan kesenian. M3P ini berlangsung selama 5 hari, bermula esok 19 haribulan sehingga 23 September.
“Dengan kepelbagaian pilihan berpersatuan yang ada, kami (PMUKM) menyeru semua mahasiswa, khususnya mahasiswa tahun satu, untuk mendaftarkan diri (dan terlibat) secara optimum dengan persatuan-persatuan (yang ada) berdasarkan kecenderungan mereka.
"Penglibatan (secara optimum) akan melatih kita untuk menguruskan masa dengan baik, selain mengembangkan 'soft skill' dan kemahiran insaniah mereka. Ini akan membantu mereka (apabila mereka berada) di alam pekerjaan kelak." jelas saudara Faizal yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Pesta Konvokesyen UKM Ke-39.
Beliau juga turut memuji kesungguhan setiap persatuan dalam mempromosikan pendaftaran keahlian masing-masing.
“(Dalam hal ini) Kita harus melihat saingan (mencari keahlian) dari sudut yang positif. Jangan kita bimbang (sebaliknya) tingkatkan usaha mencari ahli-ahli (baru).
"Dalam pada itu, PMUKM juga turut membuka pendaftaran Rakan PMUKM. Mahasiswa yang berdaftar sebagai Rakan PMUKM akan mendapat pelbagai manfaat, seperti dianugerahkan jam kredit (yang bersesuaian) di bawah Kontrak Pembelajaran (Learning Contract-LC), Kad Keahlian UNIKEB dan program aktiviti (mengikut biro PMUKM) yang menarik” tambah beliau.
Untuk makluman, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) juga turut membuka kaunter yang boleh dilawati di aras 3, berhadapan hadapan Pejabat PMUKM di Bangunan Pusanika.
Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) merupakan minggu yang menjadi amalan saban tahun anjuran Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) untuk semua persatuan untuk mempromosikan persatuan-persatuan mahasiswa di UKM.
Ia bakal diadakan esok, 19 hingga 23 September 2011 bertempat di Pusanika UKM Bangi. Selain di kampus Bangi, ia turut diadakan di Kampus Kuala Lumpur dan Cheras.