Isnin, September 05, 2011

MPM Muslimah : Syabas & Tahniah

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi atas limpah dan kurnia-Nya kita semakin hampir memasuki semester baru. Pertamanya saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada bakal mahasiswa/i terutamanya mahasiswi yang bakal berdaftar di kampus UKM yang tercinta ini. Selamat datang diucapkan kepada semua yang terpilih. Dengan pertambahan jumlah siswi yang menuntut di universiti tempatan, maka semakin sengitlah persaingan yang bakal berlaku. Gunakanlah setiap peluang dan ruang yang ada di kampus untuk memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang.

Sedikit sebanyak gambaran awal hari pertama mahasiswa/i baru kita yang bakal menjejakkan kaki ke bumi UKM, pendaftaran baru akan dibuat di kolej masing-masing yang telah ditetapkan bermula seawal jam 9 hingga 12 tengah hari. Kebiasaannya, ibu bapa akan datang seawal mungkin bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Selepas mendaftar, mereka akan ditunjukkan ke bilik masing-masing oleh pemudah cara (PC) yang ditugaskan. Mahasiswa baru juga akan disambut oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMUKM yang akan membuat roadtour bagi beramah-mesra dengan mahasiswa baru.

Tahun ini menjanjikan kelainan buat mahasiswa/i baru apabila mereka bakal disambut oleh MPP dari kepimpinan PMUKM yang kini diterajui oleh Gabungan Mahasiswa (GMUKM). Untuk makluman adik-adik bakal mahasiswa/i, kepimpinan PMUKM kali ini menjadikan kebajikan mahasiswa sebagai salah satu daripada 4 dasar utama yang menjadi keutamaan PMUKM.

Selaku Naib Presiden 2 yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal siswi UKM, saya memandang penting isu berkaitan hal-hal siswi seperti isu keselamatan dan hak-hak wanita. Mahasiswi perlu menggunakan segala ruang dan peluang di universiti dengan sebaiknya. Para bakal mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran bagi memenuhi pasaran kerja pada masa akan datang di samping menjadikan ilmu tersebut sebagai bekalan hidup pada masa hadapan. Sebagai mahasiswi, kita perlu mempersiapkan diri dengan peribadi yang unggul agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang gejala negatif yang kian berleluasa kini.

Siswi perlu sedar matlamat kerajaan untuk menghasilkan 30% tenaga kerja di peringkat tertinggi sektor awam dalam kalangan wanita. Hal ini demikian kerana, pelbagai isu-isu yang berkaitan kepentingan wanita perlu diambil kira bagi memajukan negara. Sebagai contoh, pertambahan cuti bersalin yang diberi sehingga 90 hari merupakan satu perubahan bertitik tolak daripada lantangnya pemimpin wanita bersuara untuk mendapatkan hak golongan wanita. Oleh itu, negara amat memerlukan tenaga fikir dalam kalangan wanita yang sensitif dengan isu-isu sebegini dan isu yang lain yang kritikal bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja wanita di negara.

Jika dahulu isu-isu seperti keselamatan wanita di tempat kerja, penjagaan anak-anak semasa wanita bekerja dilihat sebagai isu yang ringan, kini tidak lagi apabila pemimpin wanita telah bangun dan bersuara. Inilah perlunya wanita untuk menjadi lebih proaktif dan terkehadapan. Walaupun perjalanan masih jauh, di perbukitan ilmu inilah setiap siswi harus mula cakna dengan isu-isu semasa dan tidak terikat dengan sindrom kampus, “3K” yang sering menjadi tabiat iaitu Kafe, Kuliah dan Kolej.

Kesedaran berkaitan persaingan yang tinggi dalam pasaran kerja kelak memerlukan persediaan setiap siswi lebih proaktif. Semoga kejayaan sentiasa diperoleh nanti sehinggalah mendapat segulung ijazah seperti yang semua impikan.


.: Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti :.


Muslimah binti Marsi
Naib Presiden 2 (Hal Ehwal Siswi)
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia