Khamis, September 29, 2011

Hiburan: Prinsip dan Pelaksanaan

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kammu sekalian kepada Allah dan berkatalah perkataan betul nescaya Allah memperbaik kerja-kerja kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dia sudah berjaya dengan mendapat kejayaan yang besar.”
(Surah al-Ahzab, ayat 70-71)

Melihat kepada polemik yang berlaku, adalah menjadi suatu keperluan kepada PMUKM untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku, terutama dalam isu konsert hiburan tempoh hari. Kami yakin bahawa ini adalah suatu hikmah ilahiyyah yang membuka ruang yang lebih luas kepada PMUKM untuk menjelaskan, sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.

Terlebih dahulu, kami mulakan perbahasan ini dengan menjelaskan prinsip-prinsio umum hiburan dalam Islam.

Hiburan : Islam membenarkan
Islam bukan agama antihiburan dan seni. Cuma setiap perkara dalam Islam ada batasan dan disiplinnya. Ringkasnya, Islam mengharuskan hiburan. Kita harus mengakui bahawa manusia tidak selamanya dapat berterusan dalam keadaan seriua san tegas.

Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia menegaskan, “Hiburan itu merehatkan hati dan mengurangkan beban pemikiran. Hati ini apabila dipaksakannya ia akan menyebabkannya menjadi tumpul sementara merehatkannya akan membantunnya menjadi lebih bersungguh. Orang yang selalu sibuk dengan ilmu umpamanya terpaksa berehat pada hari Jumaat; kerana berehat satu hari akan membantunya untuk menjadi segar pada hari-hari yang lain. Berehat akan membantu dalam pekerjaan dan bersabar akan membantu untuk menjadi lebih tekun. Seseorang tidak akan selamanya dapat berada dalam keadaan serius. Realiti itu adalah pahit melainkan unti jiwa para Nabi ‘Alaihimussalam.”

Hiburan adalah ubat hati yang dapat merawat penyakit susah dan kebosanan. Ia wajar menjadi halal, namun ia tidak perlu diperbanyak sepertimana pengambilan ubat tidak boleh diperbanyak juga. Lantaran itu, berhibur dengan niat sebegini akan menjadi ibadat.

Islam meletakkan beberapa syarat agar sifat hiburan tersebut tidak tergelincir daripada lingkungan yang dibenarkan syara’. Dalam hal ini, kita harus meyakini bahawa syarat-syarat tersebut memiliki hikmah yang sangat banyak, sejajar dengan maqasid Islam, iaitu memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan / keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka. Antaranya:
  1. Isi kandungannya hendaklah bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajaran-ajarannya. Perlu dielakkan nyanyian yang menyanjung taghut, menyokong kemungkaran dan lain-lain yang sifatnya bercanggah dengan kebaikan dalam Islam.
  2. Cara persembahan mesti diambilkira. Getaran suara yang boleh memberangsangkan untuk mengghairahkan para pendengar yang mempunyai hati-hati yang berpenyakit boleh menjadi satu-saut nyanyian tersebut perlu dijjauhi, diragui atau makruh.
  3. Nyanyian tidak diiringi dengan perkara yang negatif, seperti minum arak, mendedahkan aurat atau bercampur aduk antara lelaki dan wanita, tanpa batas dan had.
  4. Seperti perkara-perkara yang harus lain, nyanyian harus diseimbangkan. Dalam erti kata lain, ia tidak berlebih-lebihan. Terutama nyanyian yang menyentuh perasaan serta berkisar tentang percintaan dan kerinduan. Menurut al-Qardawi, kita juga perlu untuk mempunyai nyanyian, program dan kehidupan dunia dan akhirat yang seimbang.

Dalam hal ini kami bersetuju dengan konsep hiburan terarah. Hal ini selari dengan pandangan mantan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin yang berkata, “Sekali lagi, saya bukan anti artis, hiburan atau seni. Anda boleh baca temu bual dengan saya oleh majalah Pentas terbitan Istana Budaya bulan Mac 2007. Namun saya sering membicarakan soal untung rugi dalam jangka masa panjang terhadap umat jika terus dibiarkan generasi kita tenggelam dalam arus hiburan yang tidak berdisiplin yang sedang pesat sekarang. Saya tidak anti artis secara melulu. Bahkan ada saya tahu ada artis-artis yang ternama juga membaca artikel saya. Setiap orang ada sumbangannya. Namun saya mengharapkan agar kegiatan seni tidak melanggari disiplin agama dan memusnahkan masa depan negara.”

Perlaksanaan: Bagaimana?
Islam bukanlan merupakan semata-mata pensyariatan dan perundangan. Sebaliknya Islam juga merupakan akidah yang menafsirkan erti kehidupan, ibadah yang mendidik rohani, akhlak yang membersihkan jiwa, pemahaman-pemahaman yang memperbetul pandangan, gambaran dan sistem nilai yang mengangkat martabat manusia dan adab kesopanan yang menghiasi kehidupan.

Masyarakat tidak dibina berdasakan pensyariatan sahaja, sebaliknya ia memerlukan kepada jalan yang lain iaitu dakwah dan pemahaman, kemudian pengajaran dan pendidikan di samping pensyariatan dan perundangan.

Islam bukan hanya sekadar datang untuk mengubati mereka yang menyeleweng, bahkan ia datang untuk membimbing mereka yang baik dan memelihara mereka dari menyeleweng.

Tidak dinafikan syariat Islam telah pun sempurna, namun perlaksanaan di zaman ini memerlukan kepada penyediaan dan persiapan untuk mengislahkan/mentransformasikan masyarakat kepada beriltizam dengan ajaran Islam sebenar setelah mana mereka melalui zaman pembaratan.

Hal ini memerlukan kepada pengembelengan tenaga untuk mengatasi cabaran dan halangan serta mewujudkan alternatif dan melatih pelaksana-pelaksana yang dapat mengintegrasikan antara kekuatan dan amanah. Untuk memperoleh kedua-dua perkara ini terhadap seseorang pun adalah sukar, apatah lagi orang-orang terdahulu pun sudah mengadu tentang hal ini seperti yang diadukan oleh Umar al-Khattab r.a kepada Allah SWT:

“Ya Allah Ya Tuhanku, aku mengadu kepadaMu tentang kelemahan orang-orang yang dipercayai dan kekuatan orang yang jahat”

Oleh yang demikian, menurut al-Qardhawi, tidak menjadi kesalahan jikalau syariat Islam itu dilaksanakan secara-secara berperingkat-peringkat. Sunnah tadarruj (berperingkat-peringkat) ini dimabil daripada ibrah manhaj Allah SWT yang mengharamkan arak secara berperingkat-peringkat.

Walaupun bagitu, al-Qardhawi dengan tegas meyatakan Perkara ini (berperingkat-peringkat) janganlah sampai dijadikan alasan untuk mengangguhkan usaha untuk melaksanakan syariat Islam dan dengan harapan ia mati dengan berlalunya masa atas alasan beransur-ansur dan membuat persediaan. Maksud di sini adalah jangan dbiarkan satu hari berlalu melainkan berlakunya pembaikan dan transformasi positif di samping hilangnya unsur negatif. Dengan ini, terlaksanalah unsur sunnah berperingkat yang dituntut. Berperingkat ini memberi erti: menentukan matlamat, menyediakan perancangan, meletakkan tahap-tahap tertentu dan memperkuatkan keupayaan untuk berkhidmat sehingga tercapainnya sasaran yang dirangkakan”.

Al-Qardawi menambah lagi,"Syariat Islam tidak mungkin akan dilaksanakan secara hakiki melainkan oleh orang-orang yang beriman dengan kesuciannya, Rabbaniyyah sumbernya, keadilan hukumnya dan ketinggian matlamatnya. Ia juga tidak dilaksanakan melainkan oleh orang-orang yang menjadikan perlaksanaannya sebagai ibadat. Ini akan menjadikan mereka prihatin untuk memahami syariat, hukum-hukum serta matlamat-matlamatnya secara mendalam. Mereka juga akan bersungguh-sungguh untuk mengatasi segala halangan yang merentanginya. Begitu juga mereka akan berusaha menjadi imej baik kepada prinsip-prinsip syariat dan teladan yang baik bagi orang-orang yang tidak berpuas hati dengannya sehinggakan mereka kelihatan sentiasa berada dalam keimanan dan berakhlak. Oleh kerana itu, orang-orang yang melihat mereka akan mencintai Syariat lantaran mereka melihat kesannya terhadap kehidupan mereka”.

Ringkasnya, usaha perlaksanaan tersebut tidak dilakukan melainkan oleh mereka yang faham dan bersungguh-sungguh melakukannya, berdasarkan segala kemampuannya.

PMUKM dalam pada itu bersedia bersama-sama ISIUKM untuk menjelaskan polemik ini. Semoga penulisan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua warga universiti.


Wan Ahmad Fahmi Wan Abdullah
Pengerusi Biro Kerohanian dan Pembangunan Insan
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia 2010/2011