Sabtu, Februari 19, 2011

UKM Menandatangani MoU dengan makmal swasta untuk sahkan produknya

Oleh Kuah Guan Oo dan Siti Madihah Ahmad Mahir (Pelatih Industri UiTM)
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 18 Feb. –Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah makmal swasta bagi mengesahkan cip bio buatan makmal itu.

MoU itu telah ditandatangani oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM, Prof Dr. Sahrim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Olipro Biotechnology Bhd, Encik Diong Sing Peng di satu upacara ringkas di sini hari ini.

Di bawah pakatan itu, para saintis dan penyelidik dari Kumpulan Keselamatan dan Kualiti Makanan FST akan menguji dan mengesahkan tiga cip bio yang direka oleh Olipro, di mana satunya akan digunakan dalam alat ujian Olipro bagi menguji makanan di kantin sekolah demi mencegah kes keracunan makanan di kalangan murid-murid sekolah.

Alat ujian ini boleh mengesan 9 jenis bakteria, termasuk bakteria yang menyebabkan keracunan makanan.

Alat ujian kedua boleh mengenal pasti jenis daging – lembu, kerbau, kambing, khinzir, ayam, itik dan ikan – manakala yang ketiga adalah untuk mengenal pasti daging itu khinzir atau bukan.

Prof Dr. Sahrim dalam ucapan ringkas di upacara itu berkata pakatan itu adalah satu peristiwa penting dalam kerjasama antara universiti dan industri yang sangat digalakkan oleh pihak atasan universiti.

Menerusi kerjasama itu, mereka boleh berkongsi kepakaran dan kemudahan.

Beliau berkata langkah kedua bagi mereka ialah memorandum persetujuan di mana mereka bukan sahaja menjalan penyelidikan lebih serius dan mendalam tetapi juga pemarasan hasil atau produk mereka, lalu menjanakan kekayaan.

EncikDiong dalam ucapan ringkasnya berkata Olipro yang ditubuhkan pada 2006, telah mendapati melalui penyelidikannya bahawa alat ujiannya ada permintaan atau pasaran .

“Kami juga mendapati bahawa kami boleh menjadi jambatan antara para penyelidik dan komersial,” katanya sambil menambah bahawa makmalnya sedang dalam proses memperoleh sijil ISOnya.

Olipro adalah sebuah makmal membuat platform cip bio diagnosis dan tumpuannya ialah pada penyelidikan dan perkembangan “ Genomic Gene Chips” dan “Proteomic Bio Chips” untuk kegunaan atas manusia, haiwan dan aplikasi keselamatan makanan.

Syarikat itu juga memberi khidmat ujian makmal, penyelidikan dan perkembangan cip bio secara kontrak. Ia telah diberikan taraf BioNexus pada 2007 oleh Malaysian Biotech Corporation, sebuah agensi di bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang membantu memelihara dan mencepatkan pertumbuhan syarikat bio-teknologi di Malaysia.

Kumpulan Keselamatan dan Kualiti Makanan UKM yang terlibat dalam pakatan itu dipimpin oleh Prof Dr Aminah Abdullah