Selasa, Februari 22, 2011

NEWS PORTAL : Wakil Pelajar diingatkan Tanggungjawab Mereka


SELASA, 22 FEBRUARI 2011 17:09
CetakPDF

Oleh Abdul Ghani Nasir dan Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman

BANGI 22, Feb. 2011 – Pentadbiran UKM telah mengingatkan kesemua 37 wakil pelajarnya yang dipilih menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kelmarin melaksanakan apa yang mereka janjikan dalam manifesto mereka masing-masing.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Ir Othman Abdul Karim memberitahu Portal Berita UKM hari ini bahawa mereka sebagai wakil pelajar bertanggung jawab menjaga dan mengurus isu-isu kebajikan mahasiswa selain dari melaksanakan berbagai kegiatan untuk pelajar.

Buat kali pertamanya MPP bagi sesi 2010-2011 ini akan mempunyai tiga orang perwakilan pelajar siswazah. Bagaimana pun Prof Othman agak kecewa tidak sampai lima peratus daripada pelajar siswazah itu telah keluar mengundi.

“Kita anggarkan hanya sekitar 200 orang pelajar siswazah sahaja yang keluar mengundi. Yang ramai lagi tidak turun melaksanakan tanggungjawab. Mungkin kerana ini kali pertama, mungkin ada beberapa isu yang kita perlu lihat. Mungkin juga masa mengundi tidak sesuai bagi mereka untuk keluar mengundi”, tambah beliau.

Prof Othman juga berharap pelajar antarabangsa UKM akan menjadi calon tetapi agak malang tidak seorang pun mahu bertanding kerana kesemua 76 calon adalah terdiri dari pelajar tempatan.

Dari 34 kerusi untuk pelajar prasiswazah, 22 mewakili 12 buah fakulltinya manakala 12 lagi sebagai perwakilan umum pelajar.

Pilihanraya Kampus untuk 37 kerusi dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu berjalan dengan lancar semalam dengan keputusannya diumumkan oleh Prof Othman sekitar jam 12 tengah malam semalam. Dua orang calun mewakili Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pergigian telah di pilih tanpa bertanding.

Jumlah pelajar yang keluar mengundi telah merosot berbanding tahun lalu kerana kali ini hanya 50.6 peratus sahaja yang mengundi berbanding dengan 78.8 peratus pada tahun lalu. Peratus pelajar prasiswazah yang keluar mengundi tahun ini merosot sedikit ke 74.0%. Kemerosotan keseluruhan tahun ini itu adalah kerana hanya 4.76 peratus daripada jumlah pelajar siswazahnya yang keluar mengundi.

MPP akan diujudkan apabila semua bantahan yang dibuat telah diselesaikan. Wakil pelajar dalam MPP itu akan menjadi jambatan antara pelajar dan pihak pengurusan UKM. Mereka akan menyampaikan keperluan pelajar kepada pengurusan Universiti selain mengatur aktiviti bagi mereka itu.

Keputusan lengkap Pilihanraya kampus boleh di dapati di E-Pelajar dalam laman web UKM.