Sabtu, Februari 12, 2011

P'raya kampus: Universiti perkenal peraturan baru

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) di beberapa kampus "terkejut" dengan beberapa "peraturan baru" yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran universiti menjelang pilihan raya kampus masing-masing yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Februari ini.

Antaranya ialah dakwaan pengurangan kerusi umum, anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) tidak dibenarkan menjadi calon, pencadang atau menyokong serta pelajar iajazah sarjana dibenarkan mengundi.

Pengerusi Pro-Mahasiswa (Pro-M) UPM Syed Syafiq Syed Hashim berkata dapat beberapa peraturan baru yang "memeranjatkan" itu diperkenalkan menjelang pilihan raya kampus berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, beliau berkata antaranya ialah pengurangan sembilan kerusi umum daripada 16 kerusi tahun lalu, menjadi tujuh kerusi umum yang dipertandingkan pada tahun ini.

"Berdasarkan peraturan, kerusi umum (yang dipertandingkan) perlulah separuh daripada kerusi fakulti," katanya sambil menambah sebanyak 32 kerusi fakulti dipertandingkan tahun lalu.

Apatah lagi katanya, terdapat kerusi fakulti yang dipertandingkan pada tahun ini bertambah empat, menjadi 36 kerusi.

Empat kerusi tersebut adalah masing-masing dua kerusi di Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan dan Sekolah Pengajian Siswazah.

Sehubungan itu, Syed Shafiq berkata beliau bersama dua lagi wakil mahasiswa bertemu dengan Naib Canselor Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi kelmarin mendapatkan penjelasan berhubung peraturan baru tersebut.

Menurut Syed Syafiq, dalam pertemuan itu, Dr Radin Umar berkata pihak pentadbiran akan berbincang semula dengan merujuk peraturan yang ditetapkan sebelum ini dan jika benar bantahan tersebut, pihak pentadbiran universiti akan mengubahnya kembali kepada asal.

Mengulas mengenai dakwaanya bahawa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh PALAPES UPM "menghalang" anggotanya menjadi calon, pencadang serta penyokong pencadang, Syed Syafiq berkata peraturan tersebut "tidak ada sebelum ini".

Ini kerana katanya, terdapat seorang anggota PALAPES dari pro-Aspirasi pernah bertanding dalam pilihan raya tahun lalu dan pada kali ini, mereka "hanya dibenarkan" mengundi sahaja.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak PALAPES segera menarik balik arah tersebut "agar proses demokrasi di kampus dapat berjalan sebaiknya".

Sementara itu di UTM, jurucakap pro-M berkata pihak pentadbiran universiti kali ini membenarkan pelajar sarjana mengundi dalam pilihan raya kampus.

"Tahun lalu pelajar Master tidak dibenarkan (mengundi). (Tetapi) pada tahun ini ia telah diluluskan. Mereka dibenar mengundi, tetapi tak boleh menjadi calon.

"Sebelum ini tak ada (peraturan macam ni)," katanya yang enggan namanya didedahkan.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata peraturan baru itu juga tidak menjejaskan kempen pro-M kerana kemungkinan "mereka akan menyokong kumpulan pro-M" demi mencapai kemenangan.

Manakala di UIA dan USM setakat ini, tidak ada perubahan atau peraturan baru yang "memeranjatkan" diperkenalkan oleh pihak pentadbiran universiti.

Jurucakap pro-M USM Mohd Hanif Alias bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya "ada mendengar ura-ura" satu kerusi diberikan kepada pelajar Ijazah Sarjana untuk dipertandingkan.

Katanya, ura-ura tersebut masih dalam pertimbangan Dewan Senat USM dan "sebelum ini tidak ada pelajar Sarjana yang mengundi dan menjadi calon" dalam pilihan raya kampus berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) utama akan melangsungkan pilihan raya kampus masing-masing pada 21 dan 22 Februari ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 16 dan 17 Februari.

Mahasiswa di empat universiti utama - Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) - akan menjalankan proses pengundian serentak pada 21 Februari ini manakala penamaan calon pada 17 Februari ini.

Manakala mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijadualkan mengundi pada 22 Februari ini dan penamaan calon pada 16 Januari ini.

Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan pilihan raya kampus UKM dijadualkan berlangsung pada 21 Februari, manakala penamaan pada 16 Februari.

Tahun lalu, sebanyak 16 kerusi umum dan 32 kerusi fakulti dipertandingkan yang menyaksikan pro-M di kampus UPM menang tujuh kerusi umum dan empat kerusi fakulti.

Sementara, pro-M UIA memenangi 17 daripada 24 kerusi keseluruhannya manakala di USM, pro-M hanya memenangi tujuh kerusi daripada 33 kerusi - yang merangkumi satu kerusi umum dan enam kerusi fakulti.

Manakala pro-M UTM memenangi 18 daripada 51 kerusi yang dipertandingkan secara keseluruhannya.

Pada tahun ini, sebanyak 26 kerusi fakulti - bertambah dua kerusi - akan dipertandingkan di UIA. Sementara di USM, sebanyak enam kerusi umum dan 33 kerusi fakulti akan menjadi rebutan termasuk cawangannya di Kubang Kerian dan Nibong Tebal.

Sumber : Malaysia Kini