Khamis, Februari 17, 2011

Pemimpin Pelajar, Jambatan Pelajar Dengan Pengurusan Universiti


RABU, 16 FEBRUARI 2011 08:28
CetakPDF

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Jabatan Perkhidmatan Pelajar


Melaka, 16 Feb. 2011 - Pemimpin pelajar sebagai perantara dalam hubungan pengurusan Universiti dan pelajarnya harus memanfaatkan kedudukan mereka untuk menyalurkan sebarang aduan atau rungutan pelajar kepada pimpinan Universiti secara langsung.


Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata dengan sikap keterbukaan pimpinan dan pengurusan UKM, mereka boleh mengemukakan sebarang perasaan tidak puas hati dikalangan pelajar secara langsung.


Prof Sharifah Hapsah mengimbas kepada pengalaman dengan kepimpinan pelajar sesi-sesi sebelum ini hingga dapat mengatasi banyak isu dan permasalahan pelajar yang diketengahkan.


Beliau berucap demikian ketika merasmikan Kursus Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM Sesi 2010/2011 di Puteri Resort Melaka, Jumaat 11 Feb lalu. Seramai 240 bakal calon MPP UKM menghadiri kursus tiga hari itu yang tamat semalam.


Turut hadir di majlis Jumaat lalu itu ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan Fakulti, Pengetua Kolej dan pegawai-pegawai UKM.


Prof Sharifah Hapsah menyentuh bagaimana kerjasama pengurusan Universiti dengan pimpinan MPP membawa kepada keputusan kerajaan hingga membolehkan UKM membeli Kolej Za’ba. Pembelian itu membolehkan banyak masalah kebajikan yang dihadapi dapat diselesaikan.


Pengurusan Universiti faham bahawa salah satu tugas utama MPP adalah memastikan kebajikan pelajar secara umum dapat dipenuhi. Namun, dalam masa yang sama, pemimpin pelajar juga harus memahami dalam sesetengah keadaan sesuatu isu tidak dapat diselesaikan dengan segera disebabkan kekangan yang tertentu dan keadaan demikian itu harus disampaikan dengan baik kepada ahli-ahlinya.



Prof. Sharifah Hapsah berkata hasil maklum balas pimpinan pelajar yang lalu, kursus demikian itu merupakan suatu tradisi yang baik untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai sejarah serta perjuangan UKM dan cabaran yang dihadapi.


Dengan kefahaman tersebut, beliau percaya pemimpin pelajar akan bersatu dengan pimpinan Universiti untuk mencapai aspirasi dan cita-cita yang dilakarkan.


Kefahaman itu juga boleh menghasilkan pelbagai aktiviti pelajar yang mampu melonjakkan UKM kepada kedudukan lebih tinggi dan membentuk citra pelajar yang menjadi kebanggaan Universiti.


Beliau mengingatkan peserta perlunya suasana persahabatan diwujudkan dengan menonjolkan budaya kesopanan dan kesantunan semasa mereka berkempen nanti. Ruang dan jadual yang disediakan membolehkan perjalanan proses pemilihan berlangsung dalam suasana yang penuh harmoni dan tertib.


Calon juga harus memanfaatkan Sudut Pidato yang sudah diwujudkan di UKM sejak lebih setahun yang lalu dalam kempen mereka.


Sementara itu, semasa menutup bengkel berkenaan, Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri mengingatkan bakal calon agar proses pemilihan MPP nanti dapat dilaksanakan dengan penuh adab. Walaupun barangkali akan wujud perbezaan pendapat di kalangan calon, jadikannya sebagai rahmat kepada pembinaan keintelektualan pelajar. Dengan perbezaan itu, setiap orang dapat mempelajari sesuatu dan terus melakukan peningkatan diri. Suasana sedemikianlah yang harus dipaparkan kepada masyarakat umum sebagai model kematangan berpolitik di dalam kampus.