Rabu, Ogos 04, 2010

Perutusan Khas Bersama Sempena Konvokesyen UKM ke-38


Pertama-tamanya, kami selaku barisan MPP Mahasiswa bersama-sama Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua bakal graduan yang akan menjalani konvokesyen pada 7 hingga 10 Ogos nanti. Kami turut berbangga atas kejayaan kalian memperoleh segulung ijazah yang cukup bermakna.

Harus diingatkan, kekuatan dan keampuhan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat mampu menundukkan kekuatan dan keutuhan masyarakat yang sering bergantung pada orang lain. llmu pengetahuan mempunyai peranan yang sangat besar terhadap diri seseorang seterusnya mampu menyumbang kepada pembinaan tamadun negara bangsa.

Allah Ta'ala ada menjelaskan kepentingan ilmu pengetahuan ini menerusi firmannya dalam surah al-baqarah: ayat 269 yang bermaksud “ Allah memberikan al-hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan al-hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. dan tiadalah yang dapat mengambil peringatan melainkan orang-orang yang menggunakan akal pemikirannya”

Menerusi firman Allah di atas, jelas menunjukkan bahawa dengan ilmu pengetahuan (al-hikmah) yang diberikan oleh Allah itu, ia mampu memberikan banyak kebaikan kepada manusia khususnya kepada golongan yang sudi memanfaatkannya.

Justeru sebagai graduan yang bakal membarisi masyarakat dan mengetuainya suatu hari nanti, kami di peringkat MPP Mahasiswa dan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) amat berbesar hati dengan kejayaan kalian. Memetik kata-kata yang membangkitkan semangat kita semasa mula-mula menjejakkan kaki di UKM untuk menimba ilmu; kalian datang dengan harapan, kalian pulang dengan kejayaan !

Salam hormat, salam graduasi.