Isnin, Ogos 16, 2010

MPP Gesa Buka Semula Permohonan Biasiswa KPM


Cyberjaya- Ahli MPP Fakulti Pendidikan, Khairul Anuar Mat Lazim meminta Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia mempertimbangkan cadangan agar Biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia ditawarkan semula kepada penuntut Sarjana Muda Pendidikan.


Kesan daripada pembekuan permohonan biasiswa KPM buat masa ini, penuntut sesi baru tidak berpeluang untuk menikmati biasiswa kerajaan seperti generasi sebelumnya.

Anuar berkata, pelajar fakulti lain berpeluang untuk menikmati biasiswa kerajaan kerana masih boleh memohon JPA.

"Oleh kerana JPA tidak ditawarkan kepada pelajar sarjana muda Pendidikan, kita harap biasiswa KPM dibuka semula supaya kami turut memperoleh peluang yang sama. Saya juga amat berbesar hati jika kerajaan sudi mempertimbangkan agar biasiswa JPA ditawarkan kepada kami. Selain itu, saya cadangkan pihak KPM kecilkan kuota penerima. Ianya lebih baik daripada menutup terus peluang untuk memohon", tambahnya lagi.

Pegawai KPM, Nor Afidah Abd Karem yang ditemui pula mengulas bahawa kementerian tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk menawarkan biasiswa kepada pemohon baru. Justeru, peruntukan yang ada hanya untuk menampung penerima biasiswa sebelum ini.