BOLEH BERJAYA..Contohi kebolehan kepimpinan mereka untuk membina sikap lebih proaktif di Universiti. - Gambar sekadar hiasan |
SUNGUTAN mengenai
tahap pencapaian mahasiswa kita yang sentiasa sederhana sudah lama kedengaran
malah graduan yang naik ke pentas dengan keputusan cemerlang juga boleh
dibilang jari. Biarpun berjaya menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi
dengan peluang sama rata, tidak semua menggunakan kesempatan itu untuk mengubah
pencapaian diri.
Tambah menyedihkan lagi, biarpun memasuki alam pengajian tinggi, mereka masih dikongkong dengan sikap pasif seperti di alam persekolahan.
Tambah menyedihkan lagi, biarpun memasuki alam pengajian tinggi, mereka masih dikongkong dengan sikap pasif seperti di alam persekolahan.
Adakah sikap itu menjadi punca mereka gagal mencapai kecemerlangan?
Dan, benarkah tanggapan yang dilemparkan masyarakat bahawa mahasiswa kita sukar diubah?
Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salina Nen berkata, memang ada kebenarannya apabila masyarakat melabelkan sikap mahasiswa kita masih di takuk lama dan sukar diubah. Beliau berkata, tanggapan itu bukan dibuat secara suka-suka namun didorong perasaan tidak yakin apabila melihat sikap mahasiswa hari ini.
“Saya percaya masyarakat tidak mudah membuat persepsi itu, tapi mereka membuat penilaian berdasarkan senario semasa.”
“Cuba lihat bagaimana reaksi dan sikap sebahagian besar mahasiswa kita sewaktu di menara gading? Mereka malu bertanya, jarang berkomunikasi secara ilmiah serta mengamalkan sikap serba tahu biarpun sebenarnya tidak tahu.
“Apa yang berlaku itu sudah pasti mempengaruhi pemerhatian masyarakat kerana mereka sendiri yang membenarkan diri dinilai sebegitu.
“Cuba mahasiswa menunjukkan sikap sebaliknya, sudah tentu penilaian masyarakat juga berbeza,” katanya.
Biarpun dalam setiap majlis konvokesyen, masih ada graduan memperoleh keputusan
cemerlang peratusannya masih kecil berbanding keputusan sederhana. Pencapaian
itu mencerminkan bagaimana lewa dan cuai mahasiswa memanfaatkan peluang di
depan mata dengan tidak belajar bersungguh-sungguh. Lebih memeritkan, sikap
pasif yang hanya mengharapkan belas ihsan pensyarah atau rakan lain
menjadikan mereka mudah berpuas hati.
Beliau berkata, mahasiswa di menara gading seharusnya akur mereka sudah
memasuki satu frasa baru yang mengkehendaki mereka berubah sikap.
“Di sini (menara gading) semuanya perlu dilakukan sendiri, usah bermimpi adanya
bantuan dari orang lain untuk mencapai sesuatu.
“Universiti adalah frasa peralihan alam persekolahan, justeru warganya perlu
bijak berdikari, lebih matang, rasional serta memandang jauh ke depan, bukan
mengambil jalan mudah.
“Mahasiswa perlu mengemudi arah masa depan mengikut perancangan sendiri,”
katanya mengakui kebanyakan tenaga pengajar juga berasa tertekan dan kecewa
dengan sikap ditonjolkan itu.
“Kami (tenaga pengajar) sentiasa mengharapkan sesi pembelajaran berlangsung
dalam komunikasi dua hala, wujudnya interaksi bagi mencambah pengetahuan baru
dan kritis.
“Malangnya, ia tidak berlaku kerana kebanyakan mahasiswa seperti ‘tidur’ dan
tidak mahu memberi reaksi memberangsangkan.
“Berbanding mahasiswa asing, reaksi mereka berbeza. Berani bertanya, suka
berdebat, mampu memberi buah fikiran biarpun salah dan sebagainya.
“Kami tertanya-tanya mengapa mahasiswa kita tidak begini. Dalam ribuan
mahasiswa, hanya sekelumit yang aktif manakala lain hanya membatu,” katanya.
Bukan mahu menidakkan kemampuan mahasiswa kerana yakin mereka yang terpilih
adalah dari golongan bijak. Bagaimanapun, beliau berpendapat sikap pasif itu
berpunca dari keengganan diri menerima keadaan baru dan selesa dengan persekitaran
lama.
“Mahasiswa kita boleh berubah dan melakukan kejutan namun mereka kebanyakannya
malas selain selesa dengan persekitaran sedia ada.
“Mereka berpendapat, aktif dalam kuliah tidak boleh membantu untuk memperoleh
keputusan baik berbanding sesi mengulang kaji.
“ Memang merugikan kerana berdasarkan kajian, aktif bertanya dalam kuliah juga
mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan pencapaian mahasiswa dalam
peperiksaan,” katanya.
Mahasiswa yang aktif dalam kuliah mahupun aktiviti, juga katanya mempunyai
banyak kelebihan tersembunyi.
“Antaranya lebih kenali pensyarah yang boleh membantu mereka memperoleh sedikit
kelebihan berbanding tidak dikenali. Hubungan mesra boleh terjalin selain
pemahaman mengenai sesuatu subjek juga lebih mendalam.
“Malangnya kelebihan ini jarang mahu direbut kerana beranggapan jika banyak
bertanya, bermakna mereka kurang bijak atau khuatir mengganggu perjalanan
kelas.
“Dan, berdasarkan pemerhatian, mereka yang pasif ini memang akan bermasalah
dari segi membina pemahaman, pembinaan jati diri selain sukar memperoleh
keputusan baik,” katanya.
Mengulas tanggapan sikap itu ada kaitan dengan sistem pendidikan sekolah,
beliau tidak meletakkan kesalahan seratus peratus padanya.
“Sebagai mahasiswa, mereka harus tahu alam pengajian di universiti cukup
berbeza. Perlu ada keinginan sendiri, bijak menyesuai diri dengan persekitaran
dan sebagainya.”
“Tiada lagi istilah ‘manja’ atau perlu ditatang sentiasa. Universiti tempat
persediaan untuk melangkah alam dewasa.”
“Jika dalam tempoh itu mereka masih sama dan terus mengekalkan sikap
keanak-anakan, apakah mereka mampu berdepan cabaran lebih hebat selepas itu,”
soalnya.
Pensyarah juga diharap dapat menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian
mahasiswa supaya lebih proaktif dalam dewan kuliah.
“Ada kalanya cara pembelajaran pensyarah yang pasif juga gagal memikat
perhatian mahasiswa menjadikan mereka kurang berminat.”
“Untuk itu, kedua-dua pihak perlu peka dan saling berusaha menghidupkan suasana
supaya proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan memberi manfaat bersama,”
katanya.
Begitupun masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan dan berharap
mahasiswa alaf baru mesti berani bangkit melakukan anjakan minda dan keluar
dari kepompong keselesaan.
“Biarpun senario mahasiswa pasif sudah lama, mereka boleh mengubah keadaan
dengan berani memulakan langkah pertama.”
“Setiap orang boleh berubah kecuali mereka yang mahu gagal saja tidak mahu
melakukannya,” katanya.
Sumber : www.hmetro.com.my
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI