Rabu, September 05, 2012

KENYATAAN 1 PMUKM : Status MPP Sekarang Masih Sah.

Setelah mendapatkan nasihat dari Ahli Majlis Peguam, PMUKM telah mendokumentasikan secara lengkap segala bukti-bukti berbentuk rakaman mahupun dokumen bertulis bagi mempertahankan kenyataan PMUKM yang tersiar di dalam web Harakahdaily dengan tajuk “ Minggu Mesra Pelajar UKM tercemar “. 

PMUKM akan dedahkan satu persatu sekiranya dicabar. Untuk kenyataan 1, PMUKM mempertahankan bahawa ahli-ahli PMUKM sekarang masih sah sebagai Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga notis pembubaran secara rasmi dikeluarkan oleh pihak pentadbiran universiti.

Kenyataan ini bagi membetulkan respon  ayahanda TNC HEPA Prof Ir Dr. Othman A. Karim di “wall Facebook”, berhubung tarikh MPP yang dilantik telah tamat pada hujung bulan Jun yang lepas. Respon beliau ini adalah suatu yang mengelirukan bahkan ia tidak berasas.

PMUKM kemukakan fakta

Fakta pertama MPP sekarang masih sah dengan berpandukan kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia 2011, susunan dan penerbitan oleh Unit Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Pelajar ( JPPel ), Bahagian IV, Notis dan Makluman Pemilihan, muka surat 14 : 

Pembubaran MPP, peraturan 14 ( 1 ) menyebut dengan jelas;

Dengan Notis Pemilihan MPP oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP, maka MPP sesi berkenaan disifatkan telah terbubar.
 
Perkara 14 ( 1 ) dibaca bersama dengan Buku Panduan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, susunan dan penerbitan oleh Unit Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Pelajar ( JPPel ), cetakan 2011, muka surat 1:

Peraturan 2.1 dibawah BAHAGIAN I, Notis Pemilihan MPP, perkara 2. Pembubaran MPP menyebut ;
Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar akan berkuatkuasa dengan bermulanya dari tarikh Notis Pemilihan MPP dikeluarkan.
Perkara ini jelas bahawa MPP sekarang masih sah sehingga Notis Pemilihan MPP dikeluarkan. Bahkan sehingga hari ini, barisan MPP tidak menerima sebarang surat pembubaran rasmi daripada pihak  pentadbiran universiti.

Fakta kedua, merujuk kepada surat bertarikh 9 April 2012, Ruj. UKM 3.3.8/261/3 JLD 2, dengan tajuk AHLI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR, merupakan surat makluman pelantikan untuk meneruskan perkhidmatan sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan bukannya surat pembubaran kerana ia bercanggah  dengan Peraturan 14 ( 1 ) dan Peraturan 2.1 seperti yang disebutkan diatas.

Fakta ketiga, walaupun surat berkenaan bercanggah, kami turut kemukakan kandungan surat berkenaan bahawa tarikh tamat perkhidmatan sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar pada 30 Jun 2012,tetapi pihak pentadbiran langsung tidak melantik “Executive Caretaker”. 

Ini menunjukkan bahawa Ahli Majlis Perwakilan Pelajar masih sah selepas tarikh berkenaan. Peruntukan sebagai “Executive Caretaker” disebutkan dengan jelas sekiranya berlaku pembubaran dalam buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia 2011, Bahagian IV, Notis dan Makluman Pemilihan, muka surat 14 dan Buku Panduan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Pusat Penerbitan, cetakan 2011, muka surat 1 yang berbunyi :

14( 2 ) selepas pembubaran MPP seperti subperaturan (1), semua Ahli Jawatankuasa MPP akan bertindak sebagai  “Executif Caretaker” sehingga semua keputusan pemilihan MPP diumumkan.
dan
2.2 pemengang jawatan exco Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ( PMUKM ) akan terus memegang jawatan masing-masing sehingga semua keputusan pemilihan diumumkan tetapi fungsi dan tugasnya sebagainya hendaklah terhad sebagai “Executif Caretaker” kepada PMUKM.
Sangat janggal untuk meletakkan pihak JPPel sebagai pengganti PMUKM atau mengambil jawatan “Executive Caretaker” dan seolah-olah pentadbiran universiti merendah-rendahkan Unit Jabatan Perkhidmatan Pelajar ( JPPel ) dan berusaha menjadi JPPel setaraf dengan PMUKM yang jawatan “Executive Caretaker” hanya diperuntukan kepada PMUKM.

AUKU bukan untuk UKM sahaja tetapi untuk semua universiti, maka sangat pelik jika “penasihat” TNC HEPA mencari perkataan PMUKM di dalam AUKU sebagai hujah PMUKM tiada dalam akta. Sudah pasti dan jelas disebut istilah Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ( PMUKM ) di dalam peraturan 2.2 yang dikemukan diatas merupakan buku yang dikeluarkan oleh pihak pentadbiran universiti sendiri, mana mungkin kenyataan TNC HEPA bahawa PMUKM tidak ada dalam akta.  Apakah kenyataan tersebut didorong oleh 'penasihat' TNC HEPA yang sedang berusaha menjatuhkan kredibiliti beliau secara senyap-senyap? Kami doakan segala “sihir” jahat itu tidak terkena. 

Maka cukup jelas tiga fakta ini dikemukan untuk kenyataan 1 PMUKM berhubung status sah PMUKM sekarang. PMUKM tidak pelik jika ada sesetengah dikalangan MPP yang beria-ia mendakwa MPP telah tamat tempoh lantikan. Hal demikian ini kerana sesungguhnya mereka telah lama tidak menjalankan tanggungjawab sebagai MPP yang diamanahkan oleh mahasiswa.

"BERSAMA MEMPERTAHANKAN PILIHAN MAHASISWA" 

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"