Khamis, September 13, 2012

SMM anjur himpunan mahasiswa 16 Sept, Pro-M jangka PRK situasi kelam-kabut

Pro-Mahasiswa Nasional merancang satu perhimpunan sempena Hari Malaysia pada 16 September 2012 untuk menuntut universiti-universiti segera melaksanakan pilihan raya kampus dengan beberapa tuntutan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Anang (gambar) berkata, SMM selaku badan induk gerakan mahasiswa bakal menganjurkan perhimpunan raksasa tersebut di Dataran Merdeka bagi menyuarakan 6 tuntutan mahasiswa dalam menghadapi pilihan raya kampus yang dijangka dijalankan pada minggu terakhir bulan September ini.

Di antara tuntutan tersebut agar kerajaan segera menyiasat dakwaan berhubung penglibatan pemimpin UMNO telah memanipulasi pilihan raya kampus melalui operasi mereka yang dinamakan 'Ops 20/20'

"Kami menuntut diadakan siasatan secara menyeluruh berkenaan Opss 2020 ini atau kami akan melakukan tindakan yang lebih agresif dengan mengadakan pembongkaran demi pembongkaran dan seterusnya akan turun ke kampus-kampus untuk memberikan penerangan," tambah beliau.

Pendedahan Ops 20/20
Penghujung bulan Jun lalu, Pro-Mahasiswa Nasional dan SMM mendedahkan dakwaan pertemuan pemimpin Umno, pembantu menteri, agensi kerajaan dan pegawai polis pada Januari 2012 untuk menjamin kemenangan kumpulan pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus tahun ini.


Pertemuan itu dikatakan sebahagian daripada operasi yang membantu 'menyelaras pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar di institusi pengajian tinggi awam' yang pertama kali didedahkan oleh PMN pada 23 Mei lalu.

UM, UPM adakan PRK 25 Sept.
Sebelum ini, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengumumkan bahawa pilihan raya di kedua-dua universiti berkenaan akan diadakan serentak pada 25 September – selepas hanya 2 minggu kemasukan siswa baru ke kampus tersebut.

Seorang pemimpin Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul sebelum ini mengulas, beliau bimbang jika pihak berkuasa universiti 'tidak berupaya dan bersedia' untuk mengendalikan pilihan raya dalam masa terdekat ini.

Untuk rekod selepas minggu orientasi pelajar, kesemua kampus juga dijangka mengadakan majlis konvokesyen pada bulan Oktober – yang bermakna pihak berkuasa kampus perlu mengendalikan tiga acara penting dalam tempoh dua bulan depan.

Taufiq berkata, beliau bimbang keadaan itu akan menyebabkan pilihan raya kampus pada kali ini akan dijalankan dalam keadaan kelam-kabut.