Khamis, September 13, 2012

Hina Nabi Muhammad SAW, Duta AS mati ditembak.

BENGHAZI, 12 Sept - Beribu-ribu orang penduduk bandar ini telah mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan sebuah filem yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens dilaporkan telah terbunuh di Benghazi akibat ditembak dalam insiden bangunan Kedutaan AS di negara itu semalam diserang.

Tiga lagi rakyat AS turut terbunuh akibat terkena tembakan.

Di Kaherah hampir 3,000 penunjuk perasaan, kebanyakan mereka penyokong pergerakan Salafis, berkumpul di Kedutaan AS di Kaherah untuk menyuarakan bantahan yang sama.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan memanjat bangunan Kedutaan AS dan menggantikan bendera negara kuasa besar itu dengan kain rentang yang tertulis 'Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah' dan membakar bangunan konsulat berkenaan.

Polis Mesir terpaksa campur tangan untuk memujuk penunjuk perasaan beredar dan kini masih terdapat beratus-ratus orang berkumpul di luar kedutaan berkenaan.

Dalam pada itu pegawai Kementerian Dalam Negeri Libya, Wanis al-Sharef berkata, Stevens maut bersama tiga pegawai AS lain ketika sekumpulan besar penunjuk perasaan menyerbu pejabat konsulat AS di Benghazi, dengan lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan.

Katanya, pasukan keselamatan Libya tidak mampu berbuat apa-apa ekoran jumlah penunjuk perasaan yang terlalu ramai.

Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagur mengesahkan kematian Stevens dalam akaun laman web Twitternya.

Seorang saksi berkata, terdapat penunjuk perasaan yang melepaskan tembakan senjata automatik dan roket pelancar grenad ke arah bangunan terbabit ketika mereka bertempur dengan pengawal Libya yang ditugaskan mengawal kedutaan tersebut.

Kejadian itu merupakan yang pertama terhadap bangunan diplomatik AS di kedua-dua negara sejak bekas pemimpin, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan di kedua-dua negara itu pada tahun lalu.

Tunjuk perasaan itu tercetus ekoran sedutan filem, Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiarkan dalam laman YouTube dengan menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones, yang pernah mencetuskan kontroversi cuba membakar al-Quran, untuk berkempen membenci Islam di AS.

Bacile yang berketurunan Yahudi Israel berkata, Islam merupakan 'kanser' dan dia berharap filemnya itu dapat menunjukkan kepada dunia mengenai kelemahan Islam.


Himpunan Bantah Filem Hina Nabi
Dalam pada itu, himpunan raksasa umat Islam bakal diadakan pada 14 September di lokasi-lokasi yang tertera pada poster berikut mengikut negeri masing-masing.

Seluruh umat Islam diseru untuk hadir bersama-sama bagi menyatakan kesepaduan ummah membela maruah agama Islam.