Jumaat, September 28, 2012

Bajet 2013 : Berita gembira buat mahasiswa


Bertemakan "Memakmur Negara Mensejahtera Rakyat: Suatu Janji Ditepati" Bajet 2013 telah dibentangkan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen petang tadi.

Antara yang menarik dalam pembentangan bajet sebentar tadi adalah bonus sebulan setengah bagi penjawat awam, pemberian BR1M 2.0 yang diperluaskan lagi kepada golongan bujang, rebat RM200 untuk pembelian telefon bimbit bagi belia 21-30 tahun, dan lain-lain lagi.

Bagi mahasiswa, pemberian Baucar Buku 1Malaysia diteruskan lagi dengan penambahan nilai meningkat menjadi RM250.

Bagi pelajar-pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN pula, diskaun 20% akan diberikan sekiranya pembayaran secara penuh dijelaskan sebelum 1 Oktober 2013 manakala diskaun 10% diberikan sekiranya bayaran dijelaskan secara baik dan berterusan.

Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000. - BERNAMA