Jumaat, September 14, 2012

PAS, Umno kecam filem hina Nabi SAW

PAS dan Pemuda Umno hari ini mengecam penerbitan filem Innocence of Muslims oleh karyawan Amerika Syarikat yang didakwa menghina Nabi Muhammad sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pemuda Umno menerusi ketuanya, Khairy Jamaluddin menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi langsung dengan isu jelas mencaci agama Islam seperti Innocence of Muslims.

"Namun pada masa yang reaksi keterlaluan tidak menetapi kehendak ajaran agama Islam kerana agama Islam itu indah dan mendamaikan," tambahnya merujuk kepada insiden kematian duta Amerika Syarikat ke Libya dua hari lalu.

PAS pula dalam responnya mendesak kerajaan Amerika Syarikat mengambil langkah serius di atas provokasi kebencian beragama yang ditimbulkan melalui pengarah dan penerbit filem keturunan Israel dari Amerika Syarikat, Sam Bacile.

"PAS pada asasnya menghormati perlunya kebebasan bersuara dan berkarya, tetapi kebebasan ini hendaklah berteraskan rasa kebertanggungjawaban sehingga tidak menyebabkan keharmonian hidup beragama dan kesucian yang difahami oleh umat Islam atau mana-mana kelompok agama dipermainkan," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan PAS.

Pemuda PAS juga dilaporkan bakal mengadakan perhimpunan besar-besaran hari ini, 14 September sekiranya kerajaan Amerika Syarikat tidak mengambil tindakan berhubung penerbitan filem itu.


Abdul Hadi menambah PAS juga ingin menggesa pihak kerajaan umat Islam di seluruh dunia umumnya, dan Kerajaan Malaysia khasnya untuk melindungi serta memastikan keselamatan para diplomat dan kakitangan diplomatik yang bertugas di negara ini.

"Ingin saya tegaskan bahawa Islam memberi pengiktirafan tinggi terhadap kehadiran mereka dan kerajaan umat Islam wajib menjaga keselamatan para kakitangan diplomatik ini yang menjadi sebahagian tanggungjawab pihak kerajaan tuan rumah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

"PAS terkilan, sedih, dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga kakitangan diplomatik dan keselamatan Kedutaan Amerika di Libya yang telah terbunuh dalam protes yang bertindak di luar kawalan itu,"

Untuk rekod semalam telah dilaporkan berlaku demonstrasi besar di kedutaan Amerika Syarikat di Mesir oleh penunjuk perasaan yang tidak puas hati - yang dijangka merebat ke pelbagai dunia Islam dalam masa terdekat.

Dalam tunjuk perasaan di ibu negara Mesir itu semalam semalam, berpuluh-puluh orang memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera Amerika Syarikat dan menggantikannya dengan bendera hitam tertulis dua kalimah syahadah.

Lebih buruk lagi, kemarahan itu juga menyebabkan duta Amerika Syarikat di Libya Chris Stevens terbunuh akibat serangan di Benghazi.


Filem berjudul 'Innocence of Muslims', telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile. Trailer filem dengan durasi hampir seminit setengah tersebut juga telah dimuat naik di dalam laman Youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu.

Menurut Bacile dia mendapat suntikan dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi.