Sabtu, Mac 09, 2013

PANDAI DAKWAH BELUM PANDAI POLITIK

Anda Bertanya, Dr Mohd Asri Menjawab

APABILA dunia Islam bergolak disebabkan kebosanan dan keme‘nyampah’an rakyat kepada rejim ataupun penguasa mereka yang korupsi dan tidak jujur, mereka mula mencari alternatif pemimpin baru untuk diberikan amanah memimpin negara.

Dalam carian mereka, tokoh-tokoh agamawan ataupun mereka yang dilihat sebagai pendakwah antara yang dicalonkan untuk amanah tersebut. Malangnya, dalam masa yang sama, kelompok agama ini pula ada yang seakan dalam dilema ataupun kekaburan dalam melihat persamaan dan perbezaan antara tugasan dakwah dan tugasan politik.

Persamaan

Sebelum kita sebut perbezaan, kita tahu dakwah dan siasah dalam Islam ini ada persamaan dalam beberapa sudut. Antaranya, keduanya hendaklah dilakukan sebagai menunaikan perintah ALLAH SWT. Maka keikhlasan wajib untuk keduanya.

Dakwah ke jalan Islam bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam yang begitu luas. Siasah syar’iyyah itu pula sebahagian dari ajaran Islam. Dalam gerak kerja dakwah, seseorang mungkin menyeru atau memfokuskan seruan dakwahnya kepada mana-mana ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak muamalat dan juga siasah.

Dengan itu seruan kepada menghayati siasah syar’iyyah merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah. Kerja dakwah itu menyuruh kepada yang baik, mencegah dari kemungkaran, itulah juga tanggungjawab seseorang Muslim yang mendapat kuasa siasah.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hajj ayat 41 (maksudnya): “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi ALLAH SWT jualah kesudahan segala urusan.”

Dari ayat di atas kita tahu kekuasaan bagi membolehkan manusia aman menunaikan ibadah badaniyah dan maliyah yang diwakili oleh solat dan zakat. Kemudian dengan kekuasaan ditegakkan yang makruf iaitu segala bentuk kebaikan untuk kehidupan manusia daripada akidah, ibadah, kebajikan kehidupan harian seorang insan tanpa mengira latar agama, keadilan dan ihsan.

Begitu dengan kuasa dicegah kemungkaran yang diperintahkan oleh Islam untuk cegah. Kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya. Menegakkan kemaslahatan rakyat adalah tugasan penguasa, sementara mengajak manusia kepada kemaslahatan awam adalah tugasan pendakwah.

Konsep al-Khair ataupun kebaikan dengan makna yang luas yang diminta oleh al-Quran untuk pendakwah seru kepadanya, al-Khair yang sama dituntut kepada pemerintah untuk menegakkannya.

Justeru, Pemerintah yang soleh sebenarnya melakukan tugasan dakwah, sementara pendakwah yang soleh membantu kepada menegakkan siyasah syar’iyyah. Maka Ta’awun ‘ala al-Birr wa al-Taqwa boleh berlaku antara dua pihak.

Perbezaan

Walaupun terdapat persamaan antara gerak kerja ataupun tugasan dakwah dibandingkan siasah, namun di sana juga terdapat perbezaan antara keduanya yang jika tidak difahami dengan betul akan menyebabkan kekeliruan kepada yang terlibat. Ia juga akan membawa kepada sesetengah keliru dan berada dalam dilema dalam memahami perbezaan antara keduanya.

Antaranya, dalam dakwah, yang penting ialah kejelasan mesej yang disampaikan kepada mad’u. Ini kerana tujuannya untuk memudahkan mereka beriman dan beramal. Sementara dalam dakwah yang penting adalah terlaksananya kemaslahatan sekalipun mungkin tidak difahami oleh orang bawahan.

Inilah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Majoriti sahabat Nabi SAW melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunaikan umrah ke Makkah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.

Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi SAW: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Tidakkah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?!

Jawab Nabi SAW: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan ALLAH SWT belum lagi menurunkan hukuman-Nya antara kita (siapa yang menang ataupun kalah). Jawab Nabi SAW: “Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, ALLAH SWT tidak akan mensia-siakan aku sama sekali”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Namun Nabi SAW melihat perjanjian itu di sudut politik yang mempunyai kesan yang lebih mendalam dan berterusan. Perjanjian itu telah memberi nafas baru dalam penyebaran risalah Islam dengan cara yang lebih luas dan berwibawa. Semangat dakwah menolak, tetapi strategi siasah menerimanya.

Pemimpin

Mereka yang boleh melakukan tugasan dakwah belum tentu boleh melakukan tugasan politik. Justeru, Nabi SAW memberikan jawatan kepimpinan kepada mereka yang soleh tetapi tidak mempunyai kemampuan kepimpinan.

Sabda Nabi SAW kepada sahabatnya yang soleh Abu Zar: “Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam Sirah, Rasulullah SAW melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak’ tetapi tangkas dan menetapi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan Nabi SAW mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam.

Senioriti dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis “Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kurang soleh

Dakwah itu menentu menuntut kepada uswah hasanah ataupun teladan yang baik. Mereka yang tertonjol dalam dakwah itu terdiri dari mereka yang terpuji akhlak di khalayak manusia. Hal ini tidak semestinya berlaku dalam politik.

Dalam politik amanah kepimpinan dirujuk kepada tuntutan ataupun keperluan jawatan. Sekalipun akhlak dan nilai diri amat penting, namun kadang-kala keadaan menuntut jawatan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu jawatan.

Ini disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut.

Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan-  diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: “Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri . Adapun yang soleh tetapi lemah maka kesolehannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam”.

Maka berperang bersama yang kuat dan jahat.”. RasululLah SAW juga pernah bersabda: Sesungguhnya ALLAH SWT menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [Ibn Tamiyyah, al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’iy wa al-Ra’iyyah, m.s 29. Kuwait: Dar al-Arqam]

Kerjasama

Secara umumnya, Muslim tidak kita perlu perkongsian dengan penganut agama lain dalam menyeru kepada akidah dan ibadah. Namun, dalam politik kerjasama dibolehkan jika ada keperluan untuk melakukan hal tersebut demi kemaslahatan awam.

Bahkan kadang-kala tolak ansur antara pihak Muslim dan selain Muslim dibolehkan jika kemaslahatan menuntut berbuat demikian. Justeru Nabi SAW mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas.

Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Nabi SAW bersabda:  “Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai.”.

Banyak lagi perbezaan yang perlu difahami oleh golongan agamawan tentang neraca politik serta gerak kerjanya yang mungkin berbeza sebelum mereka menyertai dan mengulas mengenainya.


AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI