Isnin, Mac 25, 2013

FSSK : LAPORAN RASMI 'ADUAN PELAJAR' DISAMBUT BAIK DEKAN FAKULTI


MPP Azrai menerima borang aduan.
UKM Bangi, 15 Mac 2013 - MPP FSSK Tahun 3, saudara Azrai Bin Ahmad Zamri telah menerima satu set borang aduan mengenai permasalahan prasarana di FSSK daripada seorang wakil pelajar. Sebagai inisiatif awal, beliau sendiri telah turun ke lapangan fakulti sejurus selepas itu bagi meninjau sendiri tahap permasalahan kemudahan seperti yang disampaikan.

Laporan Rasmi :
Borang Aduan Pelajar
Setelah menganalisa secara terperinci kesemua borang aduan tersebut, satu laporan rasmi yang lengkap telah dikemukan kepada Dekan FSSK, Prof. Dr. Hazita Azman dalam satu mesyuarat khas yang diadakan pada jam 4.00 petang tadi. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua Unit HEJIM FSSK, Prof. Madya Dr. Tg. Nor Rizan Tg. Mohamad Maasum dan Penolong Pendaftar (Prasiswazah), En. Abdul Karim Osman. MPP Azrol, Syahrul dan Syahir juga antara yang hadir dalam mesyuarat kali ini.

Secara ringkasnya, beberapa perkara yang dibangkitkan oleh MPP Azrai melalui Laporan Rasmi Aduan Pelajar FSSK telah mendapat respon balas segera untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan fakulti. Antaranya termasuklah;

·         Membuka palang penghalang kawasan parkir pensyarah dan pegawai fakulti selepas daripada waktu pejabat bagi membolehkan pelajar menggunakannya di waktu malam atau pada hujung minggu.

·         Memastikan pengusaha kafeteria mempamerkan harga bagi setiap menu jualan dan ianya perlulah ditetapkan pada harga yang berpatutan.

·         Permasalahan tandas yang rosak khususnya bagi pintu yang tidak boleh dikunci akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

·         Berkenaan isu keadaan surau fakulti pula, ianya telah dibangkitkan sejak Disember 2012 lagi dan telah diperbincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Fakulti sebelum ini. Dekan bersetuju untuk memberi perhatian khusus kepada perkara ini dengan meletakkanya di bawah tanggungjawab Kelab Kakitangan Fakulti (KESUKA FSSK) buat sementara waktu, sebelum kerja-kerja naik taraf surau dilakukan oleh pihak JPP UKM.

·         Berkaitan isu pengubahsuaian bilik gerakan kelab dan persatuan fakulti sepertimana yang dicadangkan sebelum ini, Dekan memaklumkan bahawa ianya sudah berada dalam proses penilaian tender oleh pihak Bendahari.

·         Lain-lain permasalahan seperti akses wifi yang lemah dan kerosakan prasarana di dewan kuliah juga ditegaskan untuk dibangkitkan kembali di dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian, setelah aduan kepada JPP sebelum ini mengambil masa yang terlalu lama untuk diselesaikan.

Mesyuarat khas.
MPP Azrai turun ke lapangan dewan
kuliah fakulti.
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI