Ramai pihak mungkin sedang kalut memikirkan apakah
langkah alternatif terbaik bagi meningkatkan jumlah pelajar sains pada masa
depan.
Walaupun pelbagai inisiatif sudah diambil bagi menarik
minat pelajar memilih aliran itu, peningkatan disasarkan masih belum lagi
mencapai matlamatnya.
Kurangnya sokongan terhadap usaha itu pastinya
menjejaskan matlamat melahirkan golongan bidang profesional berimpak tinggi
selain meneroka kepesatan teknologi dan inovasi.
Apakah senario ini boleh dikaitkan dengan kelemahan
sistem pendidikan negara yang dilihat masih kurang mampu menawan minat pelajar
mengikuti aliran ini.
Ataupun kerana standard diletakkan begitu tinggi
sehingga gagal dicapai pelajar menerusi kemampuan akademik?
Jika penolakan terus berlaku, apakah impak terpaksa
ditanggung negara pada masa depan?
|
Beras Perang UKM. |
Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012 yang juga profesor kanan di
Universiti Selangor (Unisel), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Ibrahim
berkata, kekurangan pelajar memilih aliran sains perlu dilihat dalam komposisi
berbeza.
Beliau berkata, meskipun ia dianggap aliran
berprestij, kelayakan akademik, keinginan, kekuatan emosi dan mental pelajar
harus diambil kira.
“Aliran sains penuh dengan cabaran yang sukar
ditafsirkan melainkan anda mempunyai kekuatan atau pandangan berbeza
mengenainya.
“Maksudnya, sains bukan sekadar belajar mengira,
menghafal dan memahami tetapi pelajar perlu berusaha membabitkan satu konteks
pemahaman luas.
“Dengan kata lain, aliran ini merangkumi semua
gabungan pelbagai aspek sama ada hukum alam, logik dan tidak logik yang
memerlukan satu tindakan kompleks daripada pelajar, guru dan persekitaran,”
katanya.
Beliau tidak menafikan aliran lain seperti
perdagangan, ekonomi atau sastera mempunyai kepentingan serta cabaran tertentu,
namun sains dilihat lebih ketara.
“Aliran ini antara aset utama untuk menyokong
pembangunan negara terutama dalam menghasilkan inovasi dan teknologi.
“Bagaimanapun, jangan salah anggap, saya tidak kata
aliran lain tidak penting namun kepentingannya menjurus pada aspek lain.
“Setiap aliran ada keutamaan dalam sistem pendidikan
negara. Namun, yang menjadi isunya ialah mengapa aliran sains masih gagal
menarik perhatian pelajar?” katanya.
Beliau berkata, aliran sains dulu dianggap sebagai pemangkin kepada asas
pembangunan negara jangka panjang bagi dinikmati generasi seterusnya.
Menurutnya, kejayaan aliran sains dulu dikaitkan
dengan keterbukaan penerimaan pelajar yang melihatnya sebagai satu konsep cukup
unik.
“Pelajar dulu melihat sains sebagai satu gabungan
subjek merangkumi semuanya bermula dari bilik darjah, makmal, persekitaran
hingga kehidupan.
“Selain itu, daya kreativiti guru yang mengolah sains
sebagai aspek unik serta mudah difahami menjadi penyumbang kepada keterujaan
pelajar memasuki aliran itu.
“Mereka melihat semua proses itu sebagai satu
klasifikasi pembelajaran merangkumi semua konsep pendidikan hingga menjadikan
aliran sains mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, bukan semua pelajar mampu memasuki
aliran itu kerana faktor tertentu seperti kemampuan kewangan walaupun ibu bapa
menggalakkannya.
Menurutnya, biarpun ibu bapa juga pelajar kekurangan
dari segi maklumat, namun keinginan mengikuti aliran itu sangat tinggi.
“Sekarang berbeza pula kerana kemampuan (kewangan)
bukan masalah malah kita juga mempunyai ramai pelajar yang bijak.
“Malangnya masalah kurang minat sains timbul kerana
ada kemungkinan pelajar melihat sains itu dari perspektif berbeza.
“Lebih kritikal, ia melanda ketika negara sedang
bergelut menuju taraf negara maju, sekali gus boleh menimbulkan impak jika
tidak ditangani segera untuk jangka panjang,” katanya.
Menjelaskan impak itu, antaranya boleh memberi kesan
pada pengembangan inovasi dan teknologi serta kerjaya profesional, beliau
berkata, kebimbangan negara terhadap kemerosotan pelajar aliran berkenaan tidak
boleh dipandang mudah.
“Kita berpaksi pada hakikat bahawa apa saja yang ada
di sekeliling ada kaitannya dengan sains.
“Malah, tidak boleh menolak kenyataan sains antara
ciri penting dalam setiap unsur kehidupan manusia.
“Bayangkan jika sains tidak lagi menjadi pilihan,
perancangan dalam aspek lain juga akan terjejas kerana kebergantungan
terhadapnya tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Pelajar kini tanpa mengira sama ada di peringkat
sekolah atau institusi pengajian tinggi, tidak lagi melihat aliran sains
sebagai satu aliran prestij tapi subjek sangat sukar.
Tambahan lagi, katanya, penilaian masyarakat terhadap
keputusan berdasarkan akademik adalah paling utama tanpa mengira aliran.
“Atas faktor itu, pelajar lebih rela mengikuti aliran
lain selain sains bagi memperoleh keputusan cemerlang.
“Penghujungnya, kepincangan terhadap kemerosotan
pelajar aliran ini meruncing seperti yang terjadi kini,” katanya mengakui
adalah wajar semua pihak berasa bimbang terhadap kemerosotan itu.
“Pelajar aliran sains dulu antara mereka yang menjadi
penyumbang utama dalam memastikan kita mampu menikmati kemajuan inovasi dan
teknologi kini.
“Tapi apabila kemerosotan (bilangan pelajar) semakin
ketara, apakah jaminan yang mampu kita berikan untuk generasi masa depan pula?
“Kita sedang menikmati hasil pembangunan teknologi dan
inovasi sains pelajar dulu, bagaimana pula generasi selepas kita andai kata
pelajar sekarang semakin merudum minatnya?” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan dengan senario
itu kerana ia akan membabitkan konflik pengajian peringkat tinggi.
|
Cili Bangi UKM. |
“Apabila pelajar aliran sains di sekolah semakin
kurang, jumlah kemasukan di peringkat tinggi juga akan berkurangan.
“Sebaliknya berlaku peningkatan dalam program lain
yang akhirnya akan melahirkan lambakan graduan dalam bidang bukan kritikal.
“Masalah ini akan saling berkait jika tiada usaha
mengatasinya,” katanya.
Ditanya apakah usaha boleh dilakukan, beliau menyarankan agar penekanan khusus
diberikan kepada sistem sedia ada untuk menjadikan subjek sains pilihan utama
pelajar.
“Kita perlu potretkan sains sebagai satu mekanisme
pendidikan yang bersifat ‘mesra’ untuk menarik minat pelajar.
“Pendekatan harus berubah selari kehendak zaman.
Nampak sukar namun kita perlu melaksanakannya tanpa bertangguh demi
kelangsungan generasi seterusnya,” katanya.
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI