Sabtu, Mei 18, 2013

UKM BANGI : ISU HAIWAN LIAR

MPP Afifah bersama wakil Wisma Aman.
UKM Bangi,14 Mei – Ekoran limpahan aduan daripada mahasiswa dan mahasiswi mengenai masalah haiwan liar di dalam kawasan kampus dan kolej-kolej terutamanya, pihak PMUKM yang  diwakili oleh  MPP Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad dan MPP Nur Afifah bt Abdul Rahim telah mengadakan pertemuan dengan pihak Wisma Aman bagi menyelesaikan isu ini.
Di antara isu yang dibangkitkan ialah masalah monyet-monyet yang menceroboh masuk ke dalam kamar bilik dan mengganggu ketenteraman awam selain aduan mengenai anjing dan babi  yang  berkeliaran  di kawasan kolej dan fakulti, serta beberapa kes terpencil.

Gangguan monyet

Pihak Wisma Aman memaklumkan bahawa mereka telah memasang perangkap monyet di beberapa tempat seperti di Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Keris Mas, Fakulti Undang-undang dan Fakulti Pendidikan. Tangkapan yang dibuat untuk pertengahan tahun ini ialah sebanyak enam ekor daripada bulan Januari hingga April. Bagi makluman mahasiswa/I UKM, tangkapan dan pemasangan perangkap ini adalah berdasarkan kepada aduan daripada mahasiswa yang diberi secara langsung kepada pihak Wisma Aman. Sekiranya aduan secara langsung kepada pihak Wisma Aman tidak dilakukan, maka tindakan susulan tidak mampu dilaksanakan.

Anjing dan Babi

Manakala aduan tentang anjing dan babi yang berkeliaran di sekitar kawasan fakulti dan kolej, pihak Wisma Aman sememangnya sedang giat membuat rondaan dan memasang perangkap mudah alih ke beberapa tempat yang dilaporkan mempunyai jumlah anjing yang banyak. Rakan-rakan mahasiswa disarankan supaya tidak melepaskan anjing yang telah masuk perangkap kerana ia akan menyulitkan gerak kerja pihak berkuasa Wisma Aman.
Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi yang mempunyai sebarang masalah gangguan haiwan liar, anda hendaklah segera membuat aduan di talian ini 03-89214517 @ 4444 @ 4446. Pihak Wisma Aman akan segera ke tempat kejadian yang dilaporkan bagi tindakan seterusnya.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI