Episod kebiadapan tentera Israel terhadap rakyat Palestin berlanjutan dengan beberapa siri serangan.Tahun baru 1434 Hijrah menjadi saksi kekejaman Israel yang tiada berpenghujung ini. Komander Briged Al-Qassam, Ahmed Ja’bari dan anaknya telah gugur syahid apabila kereta yang dipandu, dibedil peluru berpandu Israel.
Bukan itu sahaja, bahkan serangan udara yang dilakukan baru-baru ini turut mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang rakyat Palestin. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara terbuka kelmarin berkata, operasi ini dilakukan oleh Israel Defense Force (IDF) ke atas Gaza. Tanpa rasa berperikemanusiaan, alasan Israel yang digembar-gemburkan adalah kononnya untuk mempertahankan rakyat mereka daripada Hamas yang dianggap sebagai pengganas. Hasilnya, banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban termasuklah wanita hamil dan kanak-kanak.
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) melihat isu ini bukan sekadar isu keagamaan bahkan sebagai isu sejagat, isu yang melibatkan soal keamanan dan kemanusiaan. Berkenaan isu ini, PMUKM:
1. Mengecam dan mengutuk sebarang tindakan dan perbuatan mana-mana pihak yang merelakan dan menyokong kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin
2. Memuji segala tindakan menentang kekejaman Israel termasuklah tindakan Presiden Mesir menarik balik dutanya di Israel dan inisiatif NGO di Malaysia yang mengadakan himpunan aman mengumpulkan suara rakyat yang menolak kebiadapan Israel.
3. Mendesak pihak berwajib PBB, OIC dan Liga Arab untuk segera bersidang bagi mencapai resolusi segera.
4. Menyeru dan mengajak rakyat Malaysia, khususnya mahasiswa/i untuk terus cakna dengan isu sejagat ini dan berusaha dengan kemampuan yang ada untuk menjadi ejen penyampai maklumat bagi membentuk kesedaran menyeluruh buat masyarakat.
5. Bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membincangkan dan berdiskusi ke arah mencapai kata sepakat dan resolusi kepada masalah berkaitan isu ini sekadar termampu.
Saya yakin dan percaya, masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa/i semakin sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam isu sejagat ini. Tidak rugi untuk kita cakna dan sama-sama berdoa agar rejim Zionis berundur. Kini, Israel menerima kecaman daripada Presiden Mesir, Mohamed Morsi apabila gencatan senjata antara Mesir dan Israel 1979 akhirnya terputus, tidak lupa juga Malaysia melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengutuk tindakan Israel dan menggesa PBB untuk ambil tindakan segera. JOM CAKNA ISU GAZA…SAMA-SAMA BERDOA..IRONINYA, SUARA AUTONOMI MAHASISWA MAMPU MENJENTIK DUNIA. Perkembangan Gaza dari masa ke semasa, boleh rujuk di Mini-Pavilion 'From Palestine With Love' (MAP)
AHMAD SHUKRAN BIN SHAHARUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM)
16 NOV 2012/ 2 MUHARAM 1434H
Sumber: THE WASHINGTON POST